• Adakah perbelanjaan operasi universiti awam akan dipotong dalam semakan bajet yang terkini?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 23hb Januari 2015

    Adakah perbelanjaan operasi universiti awam akan dipotong dalam semakan bajet yang terkini?

    Dalam pengumuman Datuk Seri Najib baru-baru ini tentang semakan bajet 2015, rasionalisasi perbelanjaan terbesar merupakan kajian semula peruntukan RM3.2 bilion berkenaan pindahan dan geran kepada badan berkanun, GLC dan Akaun Amanah Kerajaan, terutamanya kepada badan / organisasi yang mempunyai aliran pendapatan yang stabil dan dana rizab yang tinggi. Impak kajian perbelanjaan ini amat besar; oleh itu, institusi yang terlibat perlu tahu jumlah sebesar mana akan dipotong daripada bajet operasi mereka. Orang awam juga berminat tahu jumlah peruntukan kepada universiti awam yang akan terjejas akibat kajian semula perbelanjaan ini.

    Menurut Laporan Ekonomi 2014-2015, pemberian geran kepada badan berkanun daripada perbelanjaan operasi dianggarkan sebanyak RM16.7 bilion. Sebahagian besar daripada geran ini diperuntukkan kepada institusi pengajian tinggi awam iaitu universiti awam. Semua universiti awam, kecuali Universiti Islam Antarabangsa, merupakan badan berkanun.

    Menurut Anggaran Perbelanjaan 2015, RM7.4 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi 20 universiti awam. Ini mewakili 44% daripada jumlah RM16.7 bilion yang diperuntukkan kepada badan-badan berkanun. Agaknya, universiti-universiti awam kita tidak akan terlepas dari pemotongan bajet akibat kajian semula perbelanjaan RM3.2 bilion bagi peruntukan kepada badan berkanun, GLC dan Akaun Amanah Kerajaan. Persoalannya adalah, jumlah pemotongan itu sebesar mana?

    Terdapat lebih daripada 120 badan berkanun di peringkat persekutuan, sekurang-kurangnya 10 Akaun Amanah Kerajaan dan banyak GLC, malah kebanyakan daripada organisasi ini menerima dana peruntukan daripada kerajaan persekutuan.

    Namun, disebabkan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk membentangkan pecahan semakan bajet beliau di Parlimen, Ahli-ahli Parlimen dan saya mengesyaki bahawa pihak yang terjejas seperti badan berkanun, GLC dan Akaun Amanah Kerajaan sendiri tidak tahu sama ada mereka diimpak oleh kajian semula perbelanjaan.

    Adalah tidak adil bagi universiti awam kita untuk mengalami pemotongan bajet apabila program dan jenis perbelanjaan lain seperti RM30.7 juta yang diperuntukkan untuk PERMATA di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak disentuh sama sekali.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Peruntukan kepada 20 universiti awam dari Anggaran Belanjawan 2015

Leave a reply.