• Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya memilih untuk tidak menambah kerusi Parlimen dalam persempadanan semula Sarawak untuk menyempatkan ia dilaksanakan pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 8hb Januari 2015

    Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya memilih untuk tidak menambah kerusi Parlimen dalam persempadanan semula Sarawak untuk menyempatkan ia dilaksanakan pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang?

    Persempadanan semula Sarawak yang secara rasmi bermula pada Isnin, 5hb Januari 2015, menunjukkan paparan peta Sarawak yang sangat mengejutkan kerana buat kali pertama dalam sejarah Sarawak, kerusi DUN ditambah tanpa walau satu pun peningkatan dalam bilangan kerusi Parlimen.

    Jadual 1 di bawah menunjukkan bilangan kerusi Parlimen dan DUN yang ditambah dalam 5 kajian persempadanan semula sejak tahun 1968. Dengan pengecualian pada tahun 1968 dan 1977 di mana kajian persempadanan semula tidak menghasilkan penambahan kerusi Parlimen dan kerusi DUN di Sarawak, hakikatnya adalah kerusi untuk kedua-dua Parlimen dan DUN telah ditambah di Sarawak dalam setiap daripada tiga kajian persempadanan semula pada tahun 1986, 1996 dan 2005.

    Jadual 1: Bilangan kerusi Parlimen dan DUN yang ditambah di Sarawak sejak tahun 1968.
    g

    Dalam kajian persempadanan semula Sarawak yang baru didedahkan, 11 kerusi DUN baru telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Ini akan meningkatkan jumlah kerusi DUN di Sarawak dari 71 kepada 82 kerusi.

    Apakah rasional untuk menambah bilangan kerusi DUN sebanyak 11 kerusi tetapi tidak menambah walau satu kerusi Parlimen? Jika kewajaran penambahan kerusi DUN ini dilihat dari segi peningkatan populasi pengundi, mengapa rasional tersebut tidak dipakai bagi kerusi Parlimen?

    Perkara tersebut menimbulkan syak bahawa sebab mengapa tiada penambahan kerusi Parlimen adalah kerana penambahan kerusi Parlimen memerlukan pindaan perlembagaan di peringkat parlimen di mana BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Jika kerusi Parlimen baru dicadangkan, maka persempadanan semula seluruh Sarawak mungkin tertangguh kerana ia mungkin akan tersekat di peringkat parlimen.

    Dengan tiada penambahan kerusi Parlimen tetapi dengan adanya penambahan kerusi DUN pada masa yang sama, jelas bahawa SPR tidak mematuhi prinsip-prinsip demokrasi tetapi tunduk kepada kepentingan politik kerana mahu persempadanan semula Sarawak sempat dilaksanakan menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan tidak lebih daripada tahun 2016. Sekali lagi, ini membuktikan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bebas sepenuhnya dan gagal untuk menghasilkan persempadanan semula yang bebas, adil dan telus. Parti-parti politik, badan bukan kerajaan dan orang ramai yang mengambil berat tentang pilihan raya yang bebas dan adil perlulah bergabung tangan untuk menolak persempadanan semula Sarawak yang tidak adil dan tidak demokratik ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.