• Tiada bantuan daripada Putrajaya untuk kanak-kanak yang terpinggir dan gelandangan di Chow Kit pada Krismas tahun ini

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 23 Disember 2014

    Tiada bantuan daripada Putrajaya untuk kanak-kanak yang terpinggir dan gelandangan di Chow Kit pada Krismas tahun ini

    Sambutan Krismas secara tradisinya adalah dikaitkan dengan pemberian hadiah dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Walau bagaimanapun, pada sambutan Krismas tahun ini, golongan miskin dan terpinggir di kawasan Chow Kit telah mendapat berita bahawa peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan ditarik balik daripada dua NGO yang sedang berkhidmat memenuhi keperluan mereka.

    Pada 19 Disember, dilaporkan bahawa peruntukan Kementerian berjumlah RM700,000 untuk Pusat Bantuan Khidmat Sosial (PBKS) yang disalurkan melalui Majlis AIDS Malaysia (MAC) akan dihentikan bermula pada tahun 2015.[1] Sejak penubuhannya pada tahun 2007 sebagai satu usaha sama antara NGO dan Kementerian, PBKS telah bertindak sebagai pusat sehenti kepada golongan terpinggir di kawasan Chow Kit.[2] Menurut laporan dan testimoni sukarelawan,[3] PBKS menyediakan perkhidmatan sepertimana yang diperkatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan, akan diberi oleh DBKL.[4] Namun dengan pemberhentian peruntukan daripada Kementerian, keupayaan PBKS untuk meneruskan perkhidmatan dan aktivitinya telah dijejaskan dengan teruk.

    Sejurus selepas itu, pada 23hb Disember 2014, dilaporkan bahawa program lain – iaitu sebuah pusat remaja dan belia yang dikenali sebagai KL Krash Pad yang dikendalikan oleh Yayasan Chow Kit – juga akan berhenti menerima dana sebanyak RM300,000 setahun daripada Kementerian bermula pada tahun 2015.[5]

    Ironinya, bajet keseluruhan operasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah meningkat hampir dua kali ganda dari RM1.04 bilion pada tahun 2010 kepada kira-kira RM2.04 bilion pada tahun 2015! Bajet untuk kebajikan masyarakat telah meningkat daripada RM195.6 juta pada tahun 2010 kepada kira-kira RM314.6 juta pada tahun 2015, iaitu peningkatan sebanyak 61%. RM1 juta yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti PBKS dan KL Krash Pad untuk setahun adalah hanya merupakan 0.3% daripada jumlah bajet untuk kebajikan masyarakat.

    Adakah Kementerian begitu kekurangan dana hinggakan ia tidak boleh meneruskan dua program yang menelan belanja RM1 juta untuk tempoh setahun, sedangkan bajet operasi keseluruhan Kementerian telah meningkat sebanyak 100% dalam 5 tahun dan bajet operasi untuk kebajikan masyarakat telah meningkat sebanyak 60% dalam tempoh yang sama? Apakah Menteri, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim kurang berhati perut dengan mengabaikan golongan kanak-kanak yang terpinggir, miskin dan gelendangan dalam kawasan Chow Kit yang sungguh memerlukan perkhidmatan yang ditawarkan oleh kedua-dua NGO tersebut?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/group-undeterred-by-funding-cut-vows-to-keep-serving-chow-kits-needy

    [2] http://www.themalaysianinsider.com/opinion/lyana-khairuddin/article/being-a-part-of-the-solution

    [3] http://www.gua.com.my/seroja/kamu_dia/Amal_Firdausi_Lambang_Cinta_Abadi.html

    [4] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/07/05/Tengku-Adnan-I-know-the-plight-of-the-homeless/

    [5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/centre-for-chow-kit-street-kids-left-in-the-lurch-after-ministry-cuts-fundi

Leave a reply.