• Kerajaan harus merombak SPRM agar bebas sepenuhnya dan memberikan semua kontrak awam melalui tender terbuka untuk menunjukkan komitmen dalam usaha membanteras rasuah

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 4hb Disember 2014

    Kerajaan harus merombak SPRM agar bebas sepenuhnya dan memberikan semua kontrak awam melalui tender terbuka untuk menunjukkan komitmen dalam usaha membanteras rasuah

    Kami menyambut baik berita bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (Corruption Perception Index atau CPI) oleh Transparency International telah meningkat daripada kedudukan 53 pada tahun 2013 ke 50 pada tahun 2014 dan daripada skor 50 kepada 52. Ini merupakan peningkatan yang agak ketara dari kedudukan dan skor Malaysia pada 2011 iaitu pada kedudukan 60 dan skor 4.3 (daripada 10) masing-masing.

    Tahniah harus diucapkan kepada pasukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), NGO yang membantu membanteras rasuah seperti Transparency International, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), pertubuhan National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW) dan Center to Combat Corruption and Cronyism (C4)) dan juga wakil-wakil rakyat di peringkat negeri dan persekutuan atas kerja keras dan sumbangan mereka dalam menaruh perhatian terhadap rasuah kerajaan dan mencari jalan mengurangkannya.

    Namun, kita tidak harus berpuas hati begitu sahaja dengan peningkatan dalam kedudukan dan skor CPI tahun 2014. Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menunjukkan bahawa peningkatan dalam kedudukan dan skor bukan sahaja kerana publisiti baik yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

    Bagi menunjukkan komitmen politik dalam memerangi rasuah, kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap memberi lebih kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menambah ketelusan kontrak kerajaan.

    Pertama sekali, kebebasan SPRM perlu dipertingkatkan dengan menjadikannya satu suruhanjaya perkhidmatan yang berasingan dengan kuasa untuk melantik dan memecat kakitangan sendiri, memberi kuasa kepada Ketua Pesuruhanjaya untuk elak dari disingkirkan dengan mudah, dan memberi kuasa pendakwaan bebas dengan pengawasan yang sewajarnya termasuk daripada masyarakat awam dan juga ahli Parlimen.

    Kedua, semua kontrak kerajaan MESTI dianugerahkan melalui tender terbuka yang kompetitif. Jika terdapat kes di mana rundingan terus adalah diperlukan, kerajaan perlu MENERANGKAN mengapa ini berlaku. Di samping itu, syarat-syarat tender dan kontrak seterusnya perlu diumumkan kepada semua. Buat masa ini, hanya sebilangan kecil daripada kontrak yang dirunding secara terus boleh didapati di laman web MyProcurement. Di samping itu, tidak semua keputusan tender terbuka boleh didapati dalam talian. Yang membimbangkan, kerajaan terus melindungi sesetengah pihak swasta dengan tidak bersedia untuk menerbitkan kontrak seperti konsesi lebuh raya yang dirundingkan secara langsung untuk KIDEX, DASH, WCE, SUKE, SKIP dan EKVE mahupun dokumen-dokumen tender bagi projek insinerator di Kepong, dengan berasaskan bahawa pemegang konsesi perlu bersedia bagi mendedahkan dokumen-dokumen tersebut. Kerajaan perlu meletakkan PENDEDAHAN sebagai salah satu syarat yang perlu untuk dalam proses tender. Semua syarikat yang tidak bersedia untuk mendedahkan kontrak kepada orang awam tidak harus dibenarkan mengambil bahagian dalam proses tender.

    Tanpa perubahan substantif yang dinyatakan di atas, peningkatan dalam kedudukan CPI dan skor baru-baru ini mungkin hanya sementara sahaja dan tidak dapat memberi keyakinan kepada orang ramai yang sudahpun ragu terhadap sistem yang digunapakai.

    Akhir sekali, saya menyeru semua wakil rakyat, NGO dan orang ramai yang mengambil berat terhadap pembasmian rasuah agar mengambil bahagian dalam “Walk Against Corruption” anjuran Transparency International Malaysia yang akan bermula pada pukul 7 pagi, Sabtu 13hb Disember, di Taman Titiwangsa. [1]

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://transparency.org.my/media-and-publications/press-release/walk-against-corruption-on-saturday-13-december-2014/

Leave a reply.