• PDRM perlu memberi penjelasan mengapa mereka cuba menghentikan upacara Gereja Bethany Kajang pada Ahad lepas

    Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming pada 2hb Disember 2014

    PDRM perlu memberi penjelasan mengapa mereka cuba menghentikan upacara Gereja Bethany Kajang pada Ahad lepas

    Saya merujuk kepada laporan berita berkenaan dua anggota polis yang menganggu upacara gereja BM di Gereja Bethany, Kajang. Saya telah bercakap dengan paderi gereja, Paderi Nelson, dan beliau telah mengesahkan kejadian seperti yang dilaporkan dalam berita. Beliau memberitahu saya bahawa kedua-dua polis meminta beliau menghentikan upacara dengan serta-merta dan mereka meninggalkan gereja sejurus selepas Paderi Nelson meminta mereka untuk bercakap melalui telefon dengan Pastor Alfred Tais, Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya BM National Evangelical Christian Federation (NECF).

    Melainkan jika seseorang melakukan jenayah atau terdapat kecemasan yang mengancam nyawa, pihak polis tidak mempunyai hak untuk mengganggu upacara mana-mana pertubuhan agama. Apa yang dilakukan oleh kedua-dua anggota polis di Gereja Bethany adalah melanggar hak perlembagaan kebebasan beragama ahli-ahli gereja dan Paderi Nelson.

    Tambahan pula, isu sama ada rumah kedai berkenaan boleh atau tidak digunakan sebagai tempat ibadat bukan perkara yang boleh diputuskan oleh polis, tetapi ia terletak dalam bidang kuasa majlis tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam kes ini. Untuk pihak polis mengambil tindakan tanpa kehadiran MPKj atas dasar terdapat beberapa ‘aduan’ adalah tidak boleh diterima dan tidak berasas terutama apabila tiada jenayah yang dilakukan.

    Saya menyeru Ketua Polis Daerah Kajang, Abdul Rashid Abdul Wahap untuk menjalankan siasatan secara terperinci bagi kes ini dan jika perlu, meminta para pegawainya untuk memohon maaf kepada Paderi Nelson dan jemaah beliau. Saya juga akan bertemu dengan Ketua Polis Daerah Kajang untuk menuntut jaminan bahawa kejadian sedemikian tidak akan berlaku lagi di kawasan di bawah bidang kuasanya.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.