• Mengapa Ahli Parlimen memerlukan penyelidik parlimen yang bagus

    Mengapa Ahli Parlimen memerlukan penyelidik parlimen yang bagus

    Untuk pemerhati biasa, sidang Parlimen di Malaysia mungkin akan kelihatan seperti satu pembaziran masa. Gambaran mereka terhadap persidangan Parlimen mungkin termasuk adegan Ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak menjerit kepada satu sama lain, Yang Dipertua Dewan mengarahkan Ahli Parlimen untuk keluar dewan kerana masalah disiplin di dalam dewan, dan Ahli Parlimen mengoyak kepingan kertas sebagai tanda protes dan bantahan.

    Namun di sebalik tadbir di luar perhatian liputan langsung perbahasan Parlimen ini, sebenarnya terdapat banyak lagi tugas yang perlu dilakukan oleh seorang Ahli Parlimen. Tetapi, bagi seseorang Ahli Parlimen untuk menjalankan tugas sebagai penggubal undang-undang yang efektif, kami memerlukan penyelidik parlimen yang berkebolehan dan berpengalaman.

    Di peringkat yang paling asas, penyelidik parlimen diperlukan untuk membantu dalam penyediaan soalan dan ucapan parlimen. Seorang penyelidik yang baik akan dapat menggunakan isu-isu harian untuk ditimbulkan sebagai perkara penting melalui soalan Parlimen (lisan dan bertulis) dan juga ketika tempoh perbahasan. Untuk soalan Parlimen sebanyak 10 soalan lisan dan 5 soalan bertulis, Ahli Parlimen perlu mencari keseimbangan yang baik antara untuk bertanyakan soalan mengenai isu-isu nasional, untuk mendapatkan maklumat yang tepat atau sebaliknya tidak akan diberikan perhatian dan juga tindakan susulan ke atas pelbagai isu yang berkaitan dengan kawasan pilihan raya masing-masing. Untuk membantu Ahli Parlimen mencapai keseimbangan ini, seorang penyelidik yang baik bukan sahaja perlu tahu tentang isu-isu penting di peringkat kebangsaan, tetapi juga perlu mengetahui tentang selok-belok dan perkara berbangkit di peringkat kawasan pilihan raya. Untuk perbahasan parlimen, penyelidik mesti berupaya untuk memproses bil perundangan dan boleh mengekstrak perkara penting untuk dibahaskan. Seorang Ahli Parlimen dengan penyelidik berpengalaman akan dapat menggunakan apa sahaja yang dipersoalkan dan diperkatakan di Parlimen sebagai kenyataan akhbar dan publisiti di luar Parlimen. Dalam dunia yang sempurna, seperti yang diperkatakan oleh rakan sejawat saya, Tony Pua, Ahli Parlimen akan menemukan bahawa kenyataan akhbar dan ucapan parlimen beliau telah disediakan sejurus selepas bangun pagi.

    Selain sidang Parlimen sebenar, seorang Ahli Parlimen akan menerima banyak dokumen penting sewaktu sesi. Sebagai contoh, semasa sesi bajet akhir tahun baru-baru ini, saya menerima 100 Laporan Tahunan, 7 Laporan Jawatankuasa Kira-kira (PAC) Parlimen, 21 Akta Parlimen, 5 Laporan Ketua Audit Negara (Kerajaan Persekutuan), 26 Laporan Ketua Audit Negara (Kerajaan Negeri), jawapan balas soalan lisan Parlimen, penyata rasmi (Hansard) untuk persidangan selama 28 hari dan juga 5 laporan berkaitan bajet (Lihat gambar di bawah). Dokumen seterusnya adalah berupa jawapan balas kepada hampir 1000 soalan Parlimen bertulis.

    Gambar: Dokumen yang diterima ketika sesi pembentangan bajet 2014 (Oktober hingga November 2014)

    Ahli Parlimen tidak akan mempunyai masa untuk meneliti semua dokumen ini satu persatu. Lantaran itu, penyelidik parlimen diperlukan untuk tugas ini. Penyelidik Parlimen perlu menapis segala maklumat ini untuk diberikan kepada Ahli Parlimen supaya ia dapat diketengahkan. Peranan penyelidik adalah amat besar kerana kebanyakan dokumen yang diberikan adalah tidak akan didapati dalam talian untuk kegunaan awam. Di samping itu, kebanyakan wartawan tidak mempunyai masa dan minat untuk menyelidik satu persatu dokumen berkenaan. Oleh itu, ia menjadi tugas seorang Ahli Parlimen untuk menimbulkan isu penting yang ditemui dalam laporan-laporan tersebut dan juga jawapan balas Parlimen. Ahli Parlimen banyak bergantung kepada penyelidik atau pembantu untuk melakukan kerja-kerja awal meneliti dan menapis laporan-laporan itu.

    Sebagai contoh, tiga daripada laporan tahunan yang ada pada saya dan akan saya teliti adalah Laporan Tahunan Lembaga Pelabuhan Kelang 2013 untuk mengetahui kerugian akibat skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Laporan Tahunan PTPTN 2013 untuk menganalisa pertumbuhan dalam pinjaman keseluruhan pelajar dan memastikan kemampanannya, serta Laporan Tahunan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) 2013 untuk memeriksa kemajuan tenaga boleh diperbaharui di negara ini. Salah satu laporan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang saya rujuk dengan sungguh teliti adalah berkenaan pemberian kontrak membina insinerator berskala kecil di Pangkor, Langkawi, Cameron Highlands dan Tioman, kerana saya sedang membantu penduduk Taman Beringin, Kepong membantah pembinaan insinerator dengan kapasiti 1000 tan sehari.

    Dengan dibantu keupayaan dan kebolehan seorang penyelidik parlimen yang berpengalaman, saya mampu melakukan kerja dengan lebih efektif dan lebih berkesan dengan meringkaskan pelbagai isu penting yang mungkin akan terlepas dari perhatian media.

    Kerja seorang Ahli Parlimen tetap perlu diteruskan walaupun ketika Parlimen tidak bersidang. Terdapat pelbagai isu dan polisi baru yang perlu diberi maklum balas yang sudah pastinya memerlukan kajian, pembentangan bagi mendapatkan penglibatan awam, kenyataan media yang akan diterbitkan berkenaan hal nasional dan setempat, laporan baru dan analisa untuk dicerna, ditapis dan sebagainya.

    Nilai seorang penyelidik parlimen yang berpengalaman dan efektif adalah sangat signifikan. Penyelidik boleh bertindak sebagai ketua strategis kepada Ahli Parlimen. Beliau boleh mengutamakan kawasan di mana tumpuan boleh diberi oleh Ahli Parlimen tersebut dan menyediakan bahan yang perlu untuk menyokong kerja Ahli Parlimen. Penyelidik bukan sahaja merupakan aset yang amat bernilai bagi seorang Ahli Parlimen secara individu, tetapi juga kepada pejabat Ahli Parlimen atau kawasan beliau mahupun parti.

    Oleh itu, pada masa hadapan jika anda bertanyakan bahawa seseorang Ahli Parlimen itu berhak mendapat kenaikan gaji atau tidak, mungkin soalan yang lebih relevan yang boleh ditanyakan adalah “Adakah Ahli Parlimen layak untuk mempunyai penyelidik parlimen yang bagus?” Hakikatnya, seorang penyelidik parlimen yang bagus adalah lebih berharga daripada emas.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.