• Ketelusan diperlukan dalam penstrukturan semula MAS

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 28hb November 2014

    Ketelusan diperlukan dalam penstrukturan semula MAS

    Syarikat MAS yang sihat dan menguntungkan adalah penting untuk negara kita kerana (i) ia akan dapat membayar cukai dan menyumbang kepada bajet kerajaan (ii) liabiliti kewangannya terhadap Khazanah, iaitu pemegang saham terbesar, akan berkurangan, dan ini akan meningkatkan keupayaan Khazanah membayar lebih dividen kepada kerajaan dan (iii) ia akan dapat menjamin pekerjaan yang stabil kepada para pekerjanya.

    Rang Undang-Undang (Pentadbiran) Sistem Penerbangan Malaysia 2014 atau “Rang Undang-Undang MAS” yang diluluskan di Parlimen semalam adalah bertujuan membantu penstrukturan semula MAS untuk mengembalikan MAS ke landasan keberuntungan yang mampan. Rang undang-undang ini memberi kuasa yang luas kepada Pentadbir entiti baru atau “NewCo” yang akan menggantikan Malaysian Airline System Berhad atau MAS.

    Dalam memastikan bahawa kuasa diberikan kepada Pentadbir dan “Newco” tidak disalahgunakan, ia adalah penting bahawa prinsip-prinsip berikut perlu dipatuhi semasa penstrukturan semula MAS:

    • Memastikan ketelusan dalam proses penstrukturan semula kewangan

    Perkara 2 di dalam Pelan Pemulihan MAS (12 Perkara) oleh Khazanah menyatakan bahawa “di mana yang sesuai dan perlu, MAS akan mengkaji pilihan untuk penstrukturan semula kewangan dan perundingan – termasuk penukaran hutang kepada ekuiti.”[1] Rang undang-undang MAS memberi kuasa yang luas kepada Pentadbir untuk memindahkan harta dan liabiliti milik MAS.

    Adalah diakui bahawa penstrukturan semula kewangan MAS diperlukan disebbakan pinjaman MAS yang melebihi RM11b. Oleh kerana Perdana Menteri[2] dan juga Pengarah Urusan Khazanah[3] telah mengeluarkan kenyataan bahawa suntikan modal RM6 bilion ke dalam “NewCo” tidak termasuk bailout, syarat-syarat penstrukturan semula kewangan ini perlu diumumkan kepada orang ramai. Sebagai contoh, apa yang akan berlaku kepada bayaran MAS kepada tiga buah syarikat yang telah ditubuhkan untuk membeli aset (kapal terbang dan bangunan) dan kemudian menyewakannya (kembali) kepada MAS? Hutang ketiga-tiga syarikat – Aset Global Network Sdn Bhd (RM961m), Penerbangan Malaysia Berhad (RM5.8b) dan Turus Pesawat Sdn Bhd (RM5.3b) – berjumlah RM12.1b yang dijamin oleh kerajaan. Sebarang perubahan kepada terma pembayaran “NewCo” kepada ketiga-tiga syarikat akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan dan dengan itu perlu didedahkan demi ketelusan dan untuk memastikan bahawa janji-janji Perdana Menteri dan Pengarah Urusan Khazanah akan dikotakan.

    • Memastikan rundingan semula kontrak bekalan yang sedia ada yang adil dan telus

    Keupayaan “NewCo” untuk merundingkan semula kontrak bekalan yang sedia ada, terutamanya kontrak yang kelihatan terlampau mahal, diperuntukkan di bawah Seksyen 18 “Rang Undang-Undang MAS.” Di samping itu, Seksyen 14 yang telah dipinda semalam akan memastikan bahawa tiada gangguan terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh MAS dan syarikat-syarikat subsidiarinya. Kebimbangan yang dinyatakan oleh beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan semalam adalah bahawa Seksyen 14 akan digunakan untuk mengekalkan sebahagian daripada kontrak bekalan sedia ada seperti kontrak RM6.25bilion selama 25 tahun yang diberikan pada tahun 2003 kepada Brahim’s Airline Catering (BAC) yang dianggap sebagai terlalu mahal.[4]

    Untuk meredakan kebimbangan dan memastikan ketelusan, sebarang rundingan semula kontrak bekalan utama oleh “NewCo” mesti didedahkan kepada umum.

    • Memastikan kebajikan dan hak-hak pekerja MAS dilindungi

    “Rang Undang-Undang MAS” membolehkan “NewCo” untuk dikecualikan daripada sebarang obligasi untuk terus menggaji pekerja MAS yang sedia ada berdasarkan terma kontrak. Rang undang-undang baru ini juga mengecualikan “NewCo” daripada dinamakan sebagai pihak dalam apa-apa tuntutan yang didaftarkan oleh pekerja semasa atau bekas pekerja MAS dan anak-anak syarikatnya. Perkara 8 Pelan Pemulihan MAS (12 Perkara) oleh Khazanah menganggarkan pengurangan bersih sebanyak 6,000 pekerja daripada kira-kira 20,000 pekerja yang sedang bekerja dengan MAS.

    Khazanah perlu memastikan ketelusan dan keadilan dalam pengambilan pekerja oleh “NewCo” dan juga pekerja yang akan dilepaskan hasil daripada pelan pemulihan tersebut. Butir-butir “Panel Perundingan Pekerja” (ECP) yang dijanjikan oleh Khazanah sebagai ‘saluran untuk menyuarakan kebimbangan pekerja’ mestilah telus bagi memastikan kebajikan pekerja terpelihara. Butiran mengenai “Pusat Latihan Semula Korporat” yang akan ditubuhkan untuk memenuhi keperluan latihan semula kakitangan MAS yang tidak berhijrah ke “NewCo” juga perlu didedahkan.

    Janji oleh Pengarah Urusan Khazanah untuk menyediakan maklumat terkini mengenai penyusunan semula MAS setiap tiga bulan adalah satu langkah ke arah yang betul dan patut dipujui. Kami meminta Pengarah Urusan memberi maklum balas kepada isu-isu yang dibangkitkan di sini dalam kemas kini maklumat MAS seterusnya yang akan berlaku pada akhir minggu ini.[5]

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.khazanah.com.my/docs/140829%20Khazanah%20mengumumkan%2012%20mata%20Pelan%20Pemulihan%20MAS.pdf

    [2] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/08/29/Najib-confident-MAS-turnaround/

    [3] http://english.astroawani.com/news/show/mas-recovery-plan-not-a-bailout-says-khazanah-42807

    [4] http://www2.nst.com.my/business/nation/catering-deal-eating-into-mas-profit-1.489221

    [5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/update-on-mas-restructuring-by-sunday-says-khazanah-bernama

Leave a reply.