• Persempadanan Semula SPR

    KENYATAAN MEDIA BERKENAAN PERSEMPADANAN SEMULA SPR OLEH NURUL IZZAH ANWAR, DR MOHD HATTA RAMLI DAN DR ONG KIAN MING

    Pada 7 November 2014, pihak BERSIH dan Tindak Malaysia telah mengeluarkan kenyataan untuk menegur Pakatan Rakyat supaya tidak menyetujui untuk menambahkan kerusi parlimen dalam persempadanan semula yang akan bermula tidak lama lagi.[1]

    Kami, yang mewakili jawatankuasa persempadanan semula Pakatan Rakyat, hendak menegaskan bahawa tidak ada sebarang perjanjian yang telah dibuat oleh Pakatan Rakyat dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan persempadanan semula. Pakatan Rakyat tidak boleh menerima ataupun menolak penambahan kerusi parlimen sebelum peta-peta baru dikemukakan oleh SPR. Kami ingin juga menegaskan bahawa sebarang penambahan kerusi yang bersifat tidak adil dan saksama akan ditolak oleh Pakatan Rakyat.

    Kami mengulangi cadangan jawatankuasa persempadanan Pakatan Rakyat yang telah dinyatakan dalam kenyataan media pada 26hb Mac 2014 untuk penubuhan satu jawatankuasa bebas untuk mengendalikan persempadanan semula kawasan pilihan raya seperti yang diamalkan di United Kingdom kerana integriti dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sangat diragui. Sekurang-kurangnya, SPR perlu melibatkan pihak-pihak dan pakar-pakar pemerhati pilihanraya seperti Merdeka Centre, UMCEDEL dan IDEAS dalam jawatankuasa ini untuk memastikan persempadanan semula yang adil dan saksama untuk semua.

    Kami juga ingin sekali lagi menyatakan sokongan kami terhadap permintaan daripada Majlis Persempadanan Semula Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang meminta agar SPR bekerjasama dengan mereka secara terus dalam urusan persempadanan semula yang akan dilakukan. Kami sedar bahawa sebelum ini SPR telahpun bekerjasama secara dekat bersama-sama UMNO, jadi tidak ada sebab mengapa SPR enggan bekerja sama dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

    Sikap memilih bulu dalam gerakan persempadanan semula boleh merosakkan demokrasi. Masanya telah tiba untuk SPR menjadi pemangkin ke arah menjadikan Malaysia demokrasi terbaik didunia.

    Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai (KEADILAN)
    Dr. Mohd Hatta Ramli Ahli Parlimen Kuala Krai (PAS)
    Dr. Ong Kian Ming Ahli Parlimen Serdang (DAP)

    [1] http://proham.blogspot.com/2014/11/bersih-tindak-say-no-to-any-pakatan-ec.html dan http://www.kinitv.com/video/12539O8

Leave a reply.