• Jawapan Parlimen oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri menunjukkan bahawa beliau tidak memahami Konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-kanak (United Nations Child Rights Convention, UNCRC)

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 26hb November 2014

    Jawapan Parlimen oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri menunjukkan bahawa beliau tidak memahami Konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-kanak (United Nations Child Rights Convention, UNCRC)

    Semalam, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat telah membenarkan perbahasan selama satu jam di Parlimen berhubung dokumentari siaran East 101 stesen Al-Jazeera yang bertajuk “Malaysia’s Unwanted.” Dokumentari yang sangat mengejutkan ini mengisahkan layanan buruk oleh Malaysia terhadap para pelarian. Perbahasan ini telah dibenarkan di bawah Usul 18(1) Peraturan Mesyuarat Parlimen kerana Yang Di-Pertua Dewan menilai usul ini sebagai (i) spesifik (ii) melibatkan kepentingan orang ramai (iii) memerlukan perhatian segera. Usul ini telah difailkan oleh rakan sejawat saya, Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Segambut.

    Namun malangnya, jawapan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaffar, menunjukkan bahawa beliau tidak sedar betapa seriusnya tuduhan yang didedahkan dalam program Al Jazeera walaupun beliau sendiri ditemubual dalam program ini.

    Secara khususnya, jawapan beliau menunjukkan bahawa beliau sangat jahil tentang Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak (CRC PBB) di mana Malaysia turut menandatangani konvensyen ini.

    Dalam perbahasan semalam, saya membangkitkan dua contoh dalam dokumentari Al Jazeera yang menunjukkan bagaimana Malaysia telah melanggar CRC PBB. Yang pertama, seorang pelarian Myanmar dimasukkan dalam lokap dan tidak lama selepas itu telah bersalin dan dipisahkan dari anaknya. Kedua, seorang pelarian dari Afghanistan di pusat tahanan memberitahu wartawan Al-Jazeera bahawa beliau hanya dibenarkan bertemu anaknya sebulan sekali yang juga berada di pusat tahanan itu. Namun selepas setahun di pusat tahanan itu, anaknya sudah tidak mengenali diri beliau sebagai bapanya.

    Dua contoh di atas adalah bercanggahan dengan 6 perkara di dalam Konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-Kanak, termasuk Perkara 4, 8, 9, 10, 20, dan 22. (Rujuk Lampiran di bawah)

    Menteri telah menjawab bahawa kanak-kanak terpaksa ditahan di pusat tahanan atas dasar kemanusiaan supaya mereka boleh berada dekat dengan ibu bapa mereka.

    Ini mengabaikan sama sekali keperluan khusus yang dinyatakan dalam CRC untuk melindungi kebebasan kanak-kanak termasuk bahawa mereka hanya akan ditahan sebagai langkah terakhir dan untuk masa singkat yang sesuai.

    Ini sudah tentu tidak digunapakai untuk kes tahanan Afghan di mana anak beliau juga ditahan di pusat tahanan yang sama selama setahun. Tambahan pula, dasar kemanusiaan yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri sama sekali telah diabaikan dalam hal ini kerana bapa tersebut hanya dapat bertemu anaknya sekali dalam sebulan hinggakan anaknya sudah tidak mengenali beliau sebagai bapa!

    Hakikatnya, Timbalan Menteri gagal untuk menjawab soalan spesifik saya yang berkaitan dengan kes pelarian Afghan dan anaknya. Mungkin Timbalan Menteri sendiri tidak melihat dokumentari itu!

    Penderitaan pelarian di pusat tahanan bukanlah isu baru. Bekas Pesuruhjaya SUHAKAM, Chiam Heng Keng, telah menekankan perkara ini dalam laporan bertarikh 5 Disember 2008.[1] Malangnya, jika kerajaan ingin terus menafikan isu-isu ini, masalah-masalah ini akan terus menjejaskan kebajikan pelarian dan juga reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang 

    Lampiran: Senarai perkara yang berkaitan dari Konvensyen PBB Mengenai Hak Kanak-kanak 

    Perkara 4

    Negara – negara Pihak hendaklah mengaku janji segala langkah perundangan, pentadbiran yang sesuai dan langkah lain untuk melaksanakan hak – hak yang diiktiraf dalam Konvensyen ini.

    Perkara 8

    1. Negara – negara Pihak mengaku janji untuk menghormati hak kanak – kanak untuk memelihara identitinya, termasuk kerakyatan, nama dan hubungan kekeluargaan sebagaiama yang diiktiraf oleh undang – undang tanpa campur tangan yang menyalahi undang – undang.
    2. Jika seseorang kanak – kanak dilucuthakkan secara menyalahi undang – undang sesetengah atau semua unsur identitinya, Negara – negara Pihak hendaklah memberikan bantuan dan perlindungan yang sewajarnya, dengan tujuan untuk memcepatkan pemantapan semula identitinya. 

    Perkara 9

    1. Negara – negara Pihak hendaklah memastikan bahawa seseorang kanak – kanak itu tidak dipisahkan daripada ibu – bapa tanpa kerelaannya, kecuali apabila pihak berkuasa yang berwibawa yang tertakluk kepada kajian semula kehakiman, memutuskan mengikut undang – undang dan tatacara yang terpakai, bahawa pemisahan sedemikian adalah perlu bagi kepentingan terbaik kanak – kanak itu.  

    Perkara 10

    1. Mengikut obligasi Negara – negara Pihak di bawah perkara 9, perenggan 1, permohonan oleh seseorang kanak – kanak atau ibu bapanya untuk memasuki atau meninggalkan suatu Negara Pihak bagi maksud penyatuan semula keluarga hendaklah diuruskan oleh Negara – negara Pihak mengikut cara yang positif, berperikemanusiaan, dan cepat serta cekap. Negara – negara Pihak hendaklah memastikan pengemukaan permintaan sedemikian itu sendiri tidak mendatangkan akibat yang buruk kepada pemohon – pemohon dan bagi ahli keluarga mereka.  

    Perkara 20

    1. Seseorang kanak – kanak yang dilucuthakkan persekitaran kekeluargaannya secara sementara atau kekal, atau yang menikut kepentingan terbaiknya sendiri tidak boleh dibenarkan untuk terus tinggal dalam persekitaran itu, berhak mendapat perlindungan dan bantuan khas yang diperuntukkan oleh Negara.

    Perkara 22

    1. Negara – negara Pihak hendaklah mengambil langkah – langkah yang sewajarnya untuk memastikan bahawa seseorang kanak – kanak yang meminta taraf pelarian atau yang dianggap pelarian mengikut undang – undang dan tatacara antarabangsa atau domestik yang terpakai hendaklah sama ada tidak ditemani atau ditemani oleh ibu bapanya atau mana – mana yang Negara tersebut menjadi Pihak.

    [1] http://www.suhakam.org.my/wp-content/uploads/2013/12/Arrest-Detention.pdf

     

Leave a reply.