• Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Tan Sri Kong Cho Ha perlu menjelaskan mengapa LPK memutuskan untuk menarik balik saman RM720 juta terhadap KDSB atas skandal PKFZ

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 24hb November 2014

    Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Tan Sri Kong Cho Ha perlu menjelaskan mengapa LPK memutuskan untuk menarik balik saman RM720 juta terhadap KDSB atas skandal PKFZ

    Dilaporkan pada hari ini bahawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membuat keputusan pada Jumaat lepas, 21hb November 2014, untuk menggugurkan salah satu daripada tindakan samannya terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) berhubung bayaran faedah RM720 juta ke atas tanah yang dibeli daripada KDSB untuk membangunkan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).[1]

    Keputusan yang mengejutkan ini perlu dijelaskan secara terbuka oleh Tan Sri Kong Cho Ha, Pengerusi LPK yang baru dilantik, kerana ini melibatkan duit pembayar cukai. PKA menanggung kerugian sebanyak RM201 juta bagi tahun kewangan 2013 dan jumlah kerugian terkumpul adalah RM674 juta sejak tahun 2010. Jika bukan kerana bantuan yang berterusan daripada Kerajaan Persekutuan melalui pinjaman kerajaan jangka panjang pada kadar faedah yang rendah iaitu 4% setahun dan bayaran faedah yang ditunda sehingga tahun 2018, keupayaan LPK untuk terus berdiri sangat diragui, seperti yang dinyatakan oleh pejabat Ketua Audit Negara dalam Laporan Tahunan 2013 LPK.

    Jika LPK mampu untuk mendapatkan balik sebahagian daripada pembayaran RM720 juta yang dipertikaikan daripada KDSB, ia akan membantu dalam mengurangkan beban kewangan LPK dan membolehkan LPK untuk membayar balik sebahagian daripada hutang jangka panjang kepada kerajaan. Malah, menurut Laporan Tahunan 2013 LPK, RM1.82 bilion telah diperuntukkan sebagai Aset Kontingen yang boleh dituntut kembali jika saman sivil terhadap KDSB berjaya dimenangi. Walaupun tidak semua daripada RM1.82 bilion boleh dituntut balik, namun sebahagian sahaja wang tersebut akan dapat membantu untuk mengukuhkan kedudukan kewangan semasa LPK.

    Kementerian Kewangan juga perlu menjelaskan mengapa wakilnya di dalam organisasi – Datuk Dr Mohd Isa Hussain – tidak hadir di mesyuarat lembaga pada Jumaat lepas di mana keputusan untuk menggugurkan tuntutan mahkamah itu dibuat. Semua bantuan kewangan semasa dan untuk masa hadapan serta sokongan yang diberikan kepada PKA datang daripada Kementerian Kewangan, dan ketidakhadiran ke mesyuarat apabila sebarang keputusan penting perlu dibuat tidak dapat dibayangkan sama sekali.

    Adakah keputusan oleh lembaga LPK baru-baru ini merupakan satu petanda untuk menggugurkan saman yang ke-2 oleh LPK terhadap KDSB (dan arkitek – BTA Architect) untuk mendapatkan kembali RM920 juta dalam caj yang dipertikaikan atas perjanjian pembangunan untuk membina PKFZ? Adakah saman LPK terhadap bekas Pengurus Besar LPK, OC Phang kerana melanggar kewajipan fidusiari juga digugurkan?

    Adakah dengan pembebasan Tun Dr Ling Liong Sik dan penarikan balik 3 pertuduhan terhadap Tan Sri Chan Kong Choy dan kini pengguguran saman yang pertama terhadap KDSB, kita akan melihat satu keadaan di mana semua yang terlibat dalam skandal PKFZ akan dilepaskan begitu sahaja sehingga tinggallah pembayar cukai untuk menanggung segala pembayaran tersebut?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/klang-port-drops-suit-against-developer-in-pkfz-case#sthash.yq2nAlU2.dpuf

Leave a reply.