• ‘Bailout’ PKFZ akan berterusan sekurang-kurangnya hingga ke tahun 2036

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 23hb November 2014

    ‘Bailout’ PKFZ akan berterusan sekurang-kurangnya hingga ke tahun 2036

    Dalam Laporan Tahunan 2013 Lembaga Pelabuhan Kelang (Port Klang Authority atau PKA) yang diberi kepada Ahli Parlimen pada awal minggu ini, pejabat Ketua Audit menyatakan perkara berikut:

    “Sepertimana yang terdapat dalam Nota 15 untuk Penyata Kewangan, liabiliti jangka panjang Lembaga Pelabuhan Kelang setakat 31 Disember 2013 berjumlah RM4.24b. Berdasarkan kedudukan kewangan semasa Lembaga Pelabuhan Kelang, keupayaan untuk menyelesaikan liabiliti jangka panjang adalah tertakluk kepada sokongan kewangan berterusan daripada kerajaan.”

    LPK telah mengalami kerugian akibat daripada komitmen kewangan yang besar hasil daripada pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Dalam tempoh empat tahun sejak 2010, LPK telah mengalami jumlah kerugian bersih sebanyak RM674 juta. Pada tahun 2013, jumlah kos kewangan yang dibayar oleh LPK berjumlah RM203.8 juta, hanya kurang sedikit daripada jumlah pendapatan LPK iaitu RM217.4 juta.

    Pinjaman jangka panjang LPK telah meningkat dari RM3.5b pada tahun 2010 kepada RM4.24b pada tahun 2013. Manakala jumlah pinjaman bagi LPK, termasuk pinjaman jangka pendek, telah meningkat daripada RM4.06b pada tahun 2010 kepada RM4.41b pada tahun 2013. RM3.81b daripada RM4.24b pinjaman tempoh panjang adalah daripada Kerajaan Malaysia.

    Laporan Tahunan 2013 LPK telah menyatakan bahawa “pada 19 Disember 2013, Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyusun semula baki dalam Pinjaman Kerajaan LPK (Lembaga Pelabuhan Klang). Kadar faedah dikenakan ialah 4% setahun bersama-sama dengan penalti sebanyak 2% setahun ke atas baki tertunggak. Tempoh penangguhan adalah 4 tahun bermula dari tahun 2014 sehingga 2017. Tempoh pembayaran adalah 19 tahun bermula dari tahun 2018 sehingga 2036.

    Walaupun adanya tempoh penangguhan ini dan kadar faedah sebanyak 4%, LPK perlu membuat pembayaran faedah bernilai kira-kira RM285 juta untuk setahun selama 19 tahun bermula dari tahun 2018 sehingga 2036. Pendapatan semasa LPK bernilai RM217.4 juta. LPK juga perlu membayar perbelanjaan lain seperti kos kakitangan dan kos susut nilai.

    Selain itu, keupayaan PKFZ menjana pendapatan yang mencukupi untuk menampung pembayaran faedah ini jelas boleh dipersoalkan. Pendapatan PKFZ bagi Tahun Kewangan 2013 adalah RM10.1j dan keuntungan sekadar RM209,615. Bekas Pengerusi LPK, Lee Hwa Beng, dalam satu temu bual dengan akhbar The Edge Weekly minggu ini menyatakan keraguan beliau tentang sama ada PKFZ boleh menjana keuntungan disebabkan kos pelaburan yang besar. Dalam The Edge Weekly minggu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Chia Kon Leong berkata bahawa pelan pemulihan PKFZ bergantung kepada peluang mendapatkan kesepakatan dengan syarikat China, SM International Wholesale (China) Center Sdn Bhd untuk menjadikan PKFZ sebagai hab borong antarabangsa (international wholesale hub). Namun, pada masa ini, kita masih tidak tahu sama ada pelaburan ini akan terjamin atau tidak, dan sama ada pelaburan ini dapat membantu LPK menjana keuntungan atau tidak.

    Walaupun kita tidak mahu melihat PKFZ gagal, yang akan menyebabkan lebih banyak duit pembayar cukai digunakan untuk menyelamatkan LPK, kerajaan seolah-olah akan menyusun semula pinjaman kewangan kepada LPK. Dalam erti kata lain, pembayar cukai akan terus menderita akibat skandal LPK sekurang-kurangnya sehingga tahun 2036.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.