• Mengapakah kerajaan bayar sewa RM29.2 bilion untuk tanah sendiri?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 18hb Oktober 2014

    Mengapakah kerajaan bayar sewa RM29.2 bilion untuk tanah sendiri?

    Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru pada tahun 2013 melaporkan fakta yang jarang diketahui berkenaan syarikat milik Kementerian Kewangan, iaitu Pembinaan PFI Sdn Bhd yang telah mengumpul hutang sebanyak RM27.9 juta dan berada di tempat ketiga syarikat milik kerajaan yang mempunyai hutang terbanyak selepas Petronas dan Khazanah.

    Pinjaman pembiayaan Pembinaan PFI adalah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Untuk membayar balik pinjaman bernilai RM20 juta yang pertama, kerajaan telah merangka struktur perjanjian yang sangat rumit dan meragukan. Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC) telah menandatangani perjanjian di mana ia akan memberi kepada PFI pajakan sebanyak 186 plot tanah di seluruh Malaysia. FLC kemudian akan membuat sub-pajakan daripada PFI dengan membayar sewa untuk tanah yang asalnya dimiliki oleh FLC. (Lihat Lampiran 1 untuk dua muka surat pertama perjanjian sewa).

    Dengan kata lain, kerajaan membuat sub-pajakan tanah ke atas tanah sendiri. Ia adalah umpama saya menyewa sebuah apartmen yang dimiliki oleh saya kepada isteri saya dan kemudiannya menyewa balik apartmen tersebut dengan membuat bayaran kepada isteri saya!

    Pembayaran sewa daripada FLC kepada PFI dipecahkan kepada pembayaran berperingkat sebanyak 30 kali selama 15 tahun bermula daripada 15 Febuari 2013 hingga 13 Ogos 2027. Jumlah bayaran sewa adalah sebanyak RM29.2 juta. (Lihat Lampiran 2)

    Saya menggesa Kementerian Kewangan untuk menjelaskan mengapa perjanjian ini dibuat di mana kerajaan perlu membayar sewa untuk tanah sendiri. Apakah tujuan perjanjian ini sebenarnya untuk menyembunyikan perbelanjaan kerajaan dari defisit belanjawan supaya ia kelihatan berkurang?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Perjanjian sub-pajakan antara Pembinaan PFI Sdn Bhd dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan

    Lampiran 2: Jadual pembayaran sewa oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (FLC) kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Leave a reply.