• Kerajaan cuba menyembunyikan perbelanjaan RM30b oleh Pembinaan PFI Sdn Bhd yang mempunyai liabiliti terbesar ke-3 antara semua syarikat-syarikat milik kerajaan pada tahun 2012

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 13hb November 2014

    Kerajaan cuba menyembunyikan perbelanjaan RM30b oleh Pembinaan PFI Sdn Bhd yang mempunyai liabiliti terbesar ke-3 antara semua syarikat-syarikat milik kerajaan pada tahun 2012

    Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014, Siri Ke-3, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan yang kurang dikenali – iaitu Pembinaan PFI Sdn Bhd – telah mengumpul liabiliti sebanyak RM27.8b pada tahun 2012. Ini menjadikannya syarikat dengan liabiliti ke-3 terbesar antara semua syarikat-syarikat milik kerajaan selepas Petronas dan Khazanah (Lihat Rajah 1 di bawah)[1].

    Rajah 1: 3 syarikat milik kerajaan dengan liabiliti terbesar pada tahun 2012

    Namun, tidak seperti Petronas atau Khazanah yang merupakan syarikat milik kerajaan yang paling mengaut untung pada tahun 2012 (Lihat Rajah 2 di bawah), Pembinaan PFI Sdn Bhd tidak mempunyai aliran pendapatan sendiri dan dengan itu, tidak berupaya mengaut keuntungan.

    Rajah 2: Petronas dan Khazanah merupakan dua syarikat milik kerajaan yang paling mengaut keuntungan pada tahun 2012

    Menurut dokumen syarikat, jenis perniagaan Pembinaan PFI adalah untuk “mendapatkan pembiayaan bagi projek-projek kerajaan”. Menurut laporan yang meluas dalam The Edge, PFI telah ditubuhkan untuk mengagihkan peruntukan bernilai RM20b di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 pada tempoh 2006-2010.[2] Di samping itu, keutamaan bagi kontrak di bawah PFI akan diberikan kepada kontraktor bumiputera kecil.

    Sehingga hari ini, hampir tiada ketelusan tentang bagaimana sebenarnya RM20b ini telah dibelanjakan dan juga terma-terma perjanjian konsesi antara kontraktor dan kerajaan untuk sewa atau pajakan bangunan yang dibina di bawah PFI. Tiada sebuah laman web pun yang didirikan untuk Pembinaan PFI! Ini sangat berbeza dengan Pembinaan BLT Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada tahun 2005 sebagai sebuah syarikat bertujuan khas untuk membina pejabat polis dan kuarters kakitangan yang kemudian disewakan semula kepada kerajaan, dan bukan sahaja mempunyai laman web tetapi turut menyenaraikan semua bangunan yang telah disiapkan sejak tahun 2008.[3]

    Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini juga menyebut bahawa pusingan kedua pembiayaan bernilai RM10b telah diperuntukkan kepada PFI di mana RM7.57 bilion telah diperuntukkan untuk 16 Kementerian / Agensi bagi melaksanakan 313 projek. Sehingga 31hb Disember 2013, sebanyak RM4.9b telah dibelanjakan daripada pembiayaan kedua ini. Menurut fail syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd, semua pinjamannya adalah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    Apa yang lebih merisaukan adalah hakikat bahawa kerajaan cuba menyembunyikan perbelanjaan tersebut daripada Bajet. Kerajaan telah mewujudkan satu perjanjian yang berbelit di mana 186 bidang tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) telah dipajak kepada PFI dan selepas itu PTP telah diminta untuk membuat sub-pajakan tanah ini kembali daripada PFI dengan separuh pembayaran tahunan dari tahun 2012 hingga tahun 2027 berjumlah RM29.2b (Lampiran 1). Kemudiannya, PFI akan menggunakan bayaran daripada PTP ini untuk membayar faedah yang dikenakan oleh KWSP. Perjanjian pajakan tanah (dilampirkan dalam e-mel) adalah penting kerana tanah yang ‘dimiliki’ oleh PFI disenaraikan sebagai sebahagian daripada asetnya. Ini adalah sebab mengapa laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini juga menunjukkan bahawa PFI mempunyai 3 pegangan aset terbesar di kalangan semua syarikat milik kerajaan, selepas Petronas dan Khazanah (Rajah 3 di bawah). Pada hakikatnya, ‘aset’ ini adalah pegangan tanah yang bukan dimiliki PFI sendiri tetapi telah dipajak daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

    Rajah 3: Senarai tempat ketiga teratas syarikat milik kerajaan yang mempunyai aset terbesar pada tahun 2012

    Saya menggesa Kementerian Kewangan untuk mendedahkan senarai penuh projek-projek dan kos setiap projek yang telah dianugerahkan oleh Pembinaan PFI demi menjamin ketelusan penuh projek yang akan datang. Saya juga menggesa Ketua Audit Negara untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas Pembinaan PFI termasuk sama ada Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh kerajaan dipatuhi atau tidak semasa penganugerahan kontrak.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran A: Artikel PFI Forum Article dalam The Edge, 2006

    Lampiran B: Perjanjian Pembinaan PFI Sdn Bhd dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan

    Lampiran C: Profil Syarikat Pmbinaan PFI Sdn Bhd, 11 Nov 2014

    Lampiran 1: Jadual pembayaran daripada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd

    [1] Jika pelaksanaan yang sama telah dilakukan untuk 2013 akaun, 1MDB mungkin akan menduduki tempat ketiga.

    [2] http://www.mbam.org.my/mbam/images/MBJ3Q06(pdf)/@PFIforum.pdf

    [3] [3] http://www.pblt.com.my/ver4/project.html

Leave a reply.