• Mengapa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi kontrak 3 tahun berjumlah RM 3.56 juta kepada syarikat yang sama, XCN Teknologi untuk meneruskan kesilapan mereka dalam mengurus insinerator di Pangkor?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 12hb November 2014

    Mengapa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi kontrak 3 tahun berjumlah RM 3.56 juta kepada syarikat yang sama, XCN Teknologi untuk meneruskan kesilapan mereka dalam mengurus insinerator di Pangkor?

    Laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini tentang pembinaan dan pengurusan 4 buah insinerator berskala kecil di Pangkor, Langkawi, Cameron Highlands dan Pulau Tioman menunjukkan satu kesilapan besar dilakukan oleh pihak meluluskan kontrak untuk pembinaan insinerator.

    PAC mendapati bahawa Kementerian telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk melakukan usaha wajar yang betul dalam memilih teknologi yang dicadangkan oleh XCNT memandangkan prototaip sebelum ini yang digunakan oleh syarikat yang sama di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MPKT) telah gagal dan prototaip di UiTM Shah Alam hanya digunakan membakar sisa kertas sahaja. PAC juga mendapati bahawa pakar daripada UTM dan Kumpulan IndustriKerajaan untuk Teknologi Tinggi Malaysia (MiGHT) telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menilai teknologi XCNT ini.

    PAC juga telah mencadangkan agar tindakan sesuai diambil terhadap kesilapan yang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, XCNT dalam kapasitinya sebagai kontraktor utama, Prof Dr Rozainee Taib dari UTM dan Dr Sivapalan Katsiravale, Penganalisis Utama dari MiGHT yang terlibat dalam memilih, merancang dan melaksanakan projek-projek incinerator tersebut.

    Laporan Ketua Audit Negara 2012 juga telah mendedahkan kelemahan ketara dalam operasi insinerator Pulau Pangkor. Pada 15hb September 2014, ahli-ahli Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI), sebuah NGO yang berkempen menentang projek insinerator yang dicadangkan di Taman Beringin, Kepong, telah melawat insinerator Pulau Pangkor dan mendapati bahawa masalah yang dikenal pasti dalam laporan Ketua Audit Negara masih lagi berterusan, misalnya kegagalan untuk mengasingkan sisa sebelum pembakaran dan pelupusan abu terbang (fly ash) yang tidak diuruskan dengan baik. (Lihat gambar dalam Rajah 2 di bawah)

    Walaupun kegagalan XCNT untuk menguruskan insinerator Pulau Pangkor telahpun dikesan, namun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memberikan kontrak tiga tahun bermula dari tahun 2014 yang berjumlah RM3.56m bagi meneruskan operasi insinerator ini. (Lihat Rajah 1 di bawah)

    Rajah 1: Kontrak 3 tahun bernilai RM3.56 juta diberi kepada XCNT bermula dari tahun 2014

    Pemberian kontrak untuk mengendalikan dan menyelenggara insinerator Pulau Pangkor membuktikan bahawa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersikap acuh tak acuh terhadap XCNT yang secara terang-terangan melanggar piawaian alam sekitar, malah Kementerian tidak mengambil kira aspek kesihatan dan kesejahteraan penduduk Pulau Pangkor. Biarpun adanya laporan Ketua Audit Negara dan mesyuarat PAC, Kementerian seolah-oleh tidak mempelajari apa-apa dan terus beroperasi seperti sebelum ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Rajah 2: Gambar yang diambil di insinerator Pulau Pangkor semasa lawatan pada 15hb September 2014


    Sampah bertimbun di tapak insinerator


    Sisa tidak diasingkan mengikut kategori dalam kawasan insinerator


    Pengumpulan abu dasar (bottom ash) di insinerator Pulau Pangkor

Leave a reply.