• Jelaskan mengapa Syarikat GLC dan Syarikat Milik Kerajaan tidak membayar balik pinjaman kerajaan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 29 Oktober 2014

    Jelaskan mengapa Syarikat GLC dan Syarikat Milik Kerajaan tidak membayar balik pinjaman kerajaan

    Semalam, saya bertanya mengapa kerajaan tidak memburu syarikat-syarikat swasta yang gagal membayar balik pinjaman kerajaan berjumlah berjuta-juta ringgit. Hari ini, saya menekankan fakta bahawa bukan sahaja syarikat-syarikat swasta, malahan GLC dan syarikat-syarikat milik kerajaan juga gagal membayar balik pinjaman yang diperoleh dari kerajaan persekutuan.

    Jadual 1 di atas menyenaraikan syarikat milik kerajaan yang mempunyai tunggakan bayaran balik pada tahun 2012 kerana gagal membayar pinjamannya daripada kerajaan persekutuan. Jumlah tunggakan bagi syarikat-syarikat milik kerajaan ini adalah RM1.3 bilion pada akhir tahun 2012. Mereka sepatutnya membayar RM640.4 juta dalam pembayaran balik pada tahun 2012 tetapi hanya berjaya membayar RM221.98 juta (35%). Pada akhir tahun 2012, syarikat-syarikat ini masih mempunyai hutang berjumlah RM4.5 billion terhadap kerajaan persekutuan.

    Syarikat-syarikat ini yang gagal membayar balik pinjaman kerajaan termasuk Indah Water Konsortium (IWK) yang gagal membayar walau satu sen daripada RM165.58 juta pada tahun 2012 dan mempunyai hutang tertunggak sebanyak RM1.94 bilion pada akhir tahun 2012 yang kini telah meningkat kepada lebih dari RM2 bilion. Ia termasuk beberapa syarikat yang mencatatkan keuntungan dalam portfolio terbaru syarikat mereka seperti Cyberview, pemaju induk Cyberjaya, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.7 juta pada tahun 2013; Malaysia Debt Ventures dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM23.7 juta pada tahun 2013; Composites Technology Research Malaysia (CTRM) dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM12 juta, pada tahun 2012.

    Kegagalan syarikat-syarikat ini telah menimbulkan dua persoalan di sini.

    Pertama, mengapa kerajaan kekurangan proses dalaman bagi memastikan bahawa syarikat-syarikat, terutamanya yang telah menjana keuntungan, membayar balik pinjaman yang diperoleh daripada kerajaan? Mengapa syarikat-syarikat ini seperti mendapat ‘pas percuma’ manakala berjuta-juta peminjam PTPTN yang lain diberikan tindakan begitu berat termasuk kemungkinan disenaraihitam kredit? Mengapa mempunyai piawaian yang tidak konsisten bagi individu dan syarikat-syarikat yang berhutang kepada kerajaan persekutuan?

    Kedua, untuk syarikat-syarikat yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang kerajaan kerana aliran tunai yang lemah, kadar keuntungan yang rendah dan rizab negatif, berapa banyak lagi duit yang akan digunakan oleh kerajaan untuk “menyelamatkan” syarikat-syarikat seperti IWK yang mencatatkan kerugian sebanyak RM213 juta dan mempunyai kapasiti simpanan negatif RM1.2 billion dengan modal saham hanya RM100 juta? Mengapa kerajaan tidak konsisten dalam mengenakan tindakan disiplin dalam hal kewangan kepada peminjam PTPTN dan pada masa yang sama, ia terus menyelamatkan syarikat-syarikat milik kerajaan?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.