• Kerajaan harus agresif mengejar syarikat yang mempunyai hutang besar dengan kerajaan dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada peminjam PTPTN

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 28 Oktober 2014

    Kerajaan harus agresif mengejar syarikat yang mempunyai hutang besar dengan kerajaan dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada peminjam PTPTN

    Dalam ucapan bajet saya semalam, saya menyenaraikan beberapa syarikat yang mempunyai hutang tertunggak atas pinjaman dari kerajaan persekutuan yang bernilai beberapa juta hingga ada yang mencecah billion ringgit. Ini termasuklah segelintir syarikat swasta serta syarikat yang dimiliki oleh kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Khazanah Nasional.

    Tunggakan bayaran balik syarikat-syarikat ini disenaraikan dalam Jadual 2.28 Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Kementerian / Jabatan Kerajaan Persekutuan sebagai sebahagian daripada Laporan Ketua Audit Negara 2012.[1] Sebagai contoh, Perwaja Steel Sdn Bhd dan Equal Concept Sdn Bhd, yang memegang saham tidak langsung dalam Perwaja Steel, telah disenaraikan mempunyai tunggakan RM 32.27 juta dan RM 22.5 juta pada akhir tahun 2012. Laporan itu juga menunjukkan jumlah pinjaman yang tertunggak, yang harus dilangsaikan dan amaun yang telah dibayar oleh syarikat-syarikat ini.

    Sebagai contoh, pembayaran balik pinjaman yang perlu dibayar oleh Perwaja Steel dan Equal Concept ini masing – masing adalah sebanyak RM 30.42 juta dan RM 21.57 juta. Kedua-dua syarikat ini tidak membayar walau satu sen pinjaman mereka pada tahun 2012.

    Bukan itu sahaja, hutang pembayaran balik pinjaman oleh Perwaja Steel dan Equal Concept kedua-duanya telah dihapuskan / disusun semula kepada RM 58.06 juta dan RM 41.52 juta. Dengan kata lain, bukan sahaja Perwaja Steel dan Equal Concept tidak dihukum kerana kegagalan mereka untuk membayar balik pinjaman, malahan mereka mendapat ‘hadiah’ oleh kerajaan persekutuan untuk menghapuskan/ menyusun semula hutang bayaran balik pinjaman.

    Malahan, ini bukan hanya dua syarikat swasta yang mempunyai tunggakan pembayaran balik dengan kerajaan persekutuan yang tidak diuruskan dengan betul. Menurut Jadual 1 di atas, syarikat lain termasuklah National Feedlot Corporation (NFC) yang tidak membayar walau satu sen tunggakan RM 17.49 juta pada tahun 2012, Lebuhraya Shapadu (yang dalam proses pembubaranpada tahun 2011) yang gagal membayar sepenuhnya pembayaran balik RM 23.92 juta pada tahun 2012, Premium Agro Products yang gagal untuk membuat apa-apa pembayaran balik RM 8.29 juta pada tahun 2012, Agro Qas yang hanya membayar RM 0.97 juta daripada pembayaran balik RM 3.69 juta pada tahun 2012, White Heron Dairy Farm yang gagal melakukan sebarang bayaran bagi pembayaran balik RM 2.84 juta pada tahun 2012, MY Ikan yang gagal untuk membuat apa-apa bayaran pada pembayaran balik RM1.9 juta pada tahun 2012, A-Winn Global Market Service yang gagal untuk membuat apa-apa pembayaran balik RM 1.11 juta pada tahun 2012 dan Airport Limo (M) yang gagal untuk membuat apa-apa bayaran pada pembayaran RM 2.2 juta pada tahun 2012.

    Malah ini tidak termasuk pinjaman kepada syarikat-syarikat swasta di mana kerajaan terpaksa menghapus kira pinjaman misalnya bayaran tertunggak berjumlah RM 244 juta oleh Invent QJaya, sebuah syarikat yang diasaskan dan dikendalikan oleh Dr Sadeg Fareq, yang terpaksa dibubarkan pada tahun 2006 selepas menghadapi pertuduhan melakukan pemindahan wang secara haram bagi pemiliknya[2].

    Ini juga tidak termasuk pinjaman mudah (soft loan) RM 4.6 bilion yang diberikan oleh kerajaan kepada Lembaga Pelabuhan Kelang untuk ‘bail-out’ projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).[3]

    Kerajaan persekutuan harus konsisten dalam pendekatan ke arah mengejar peminjam untuk membuat bayaran balik. Buat masa ini, kerajaan seolah-olah melepaskan mereka yang berhutang berjuta-juta, ratusan juta malah berbilion ringgit, tetapi mereka yang berhutang beberapa ribu ringgit seringkali diburu tanpa henti. Peminjam PTPTN diancam dengan senarai hitam kredit manakala pengarah dan pemilik syarikat yang berhutang berjuta-juta kepada kerajaan bebas untuk terus menjadi pengarah, memiliki dan menjalankan syarikat-syarikat lain.

    Seperti apa yang diperkatakan oleh John Paul Getty, “Jika anda berhutang beberapa ratus ringgit kepada kerajaan, itu adalah masalah anda; jika anda berhutang berjuta ringgit dengan kerajaan, itu adalah masalah kerajaan.” Inilah masalah kerajaan kita dengan sikapnya terhadap pinjaman dan hutang kerajaan.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]or “Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Kementerian / Jabatan Kerajaan Persekutuan

    [2]http://promahathir.blogspot.com/2006/12/court-orders-inventqjaya-to-be-wound.html

    [3]http://www.pkfz.com/content/news/pressclippings/local/2007/nov07/Nov%2030%20-%20TheEdgeDaily_BW.pdf

Leave a reply.