• Ucapan Parlimen 27 Oktober 2014 – Hutang Besar Syarikat GLC dan Swasta kepada Kerajaan Persekutuan

    Ucapan Parlimen – Hutang Besar Syarikat GLC dan Swasta kepada Kerajaan Persekutuan (27 Oktober 2014)

    Saya ingin tujukan beberapa soalan kepada pihak Kementerian Kewangan. Di sini, saya merujuk kepada Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2013 dan khususnya kepada “Penyata Akaun Memorandum Pinjaman Boleh Dituntut” ataupun “Statement of Memorandum Account of Recoverable Loans”.

    Pinjaman jenis ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori.

    (i)               Kategori pertama ialah pinjaman daripada syarikat swasta yang ada tunggakan pinjaman seperti yang disenaraikan dalam Laporan Audit Negara 2012 (Jadual 2.28 dalam Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Kementerian / Jabatan Kerajaan Persekutuan).

    Saya nak memberi beberapa contoh:

    Syarikat Tunggakan (RM juta) (2012) Write-Off (RM juta) (2012) Baki Pinjaman (RM juta) (2012)
    Perwaja Steel 32.3 58.1 117.1
    Equal Concept 22.52 41.5 83
    National Feedlot Corporation 17.8 250
    Lebuhraya Shapadu 79.15 83.9
    PKPS Agro Industries Sdn Bhd 10.53 40.1
    Agro Qas Sdn Bhd 9.95 19.1
    White Heron Dairy Farm Sdn Bhd 8.54 10.4
    MY Ikan Sdn Bhd 5.68 10.0

    Perwaja Steel dan syarikat yang berkaitan, iaitu Equal Concept, mempunyai baki pinjaman berjumlah RM201 juta kepada kerajaan. Ini tidak termasuk pinjaman Perwaja Terengganu berjumlah RM3.3 bilion yang telah diambil alih oleh kerajaan akibat ketirisan pengurusan di bawah kroni-kroni tertentu. Pada tahun ini, Perwaja Steel telah tidak mampu membayar bil elektrik kepada Tenaga Nasional dan juga bil gas kepada Petronas. Perwaja Steel dan Equal Concept bukan sahaja tidak membayar satu sen pun bayaran tunggakan kepada kerajaan persekutuan pada tahun 2012, malah tunggakan Perwaja Steel sebanyak 58.1 juta telah diselaraskan ataupun di ‘write-off’ oleh kerajaan persekutuan dan tunggakan Equal Concept sebanyak RM41.5 juta juga di ‘write-off’ oleh kerajaan persekutuan.

    Apakah rancangan kerajaan untuk menuntut balik pinjaman ini daripada Perwaja Steel dan Equal Concept? Ataupun pinjaman pihak swasta ini juga akan diambil alih oleh pihak kerajaan dalam satu ‘bailout’?

    Satu lagi contoh ialah Lebuhraya Shapadu yang diberikan pinjaman sebanyak RM83.9 juta oleh kerajaan persekutuan. Tetapi malang sekali, syarikat ini tidak membayar balik tunggakan pinjaman sebanyak RM79.15 juta pada tahun 2012.

    Adakah ini akan dijadikan modal untuk projek lebuh raya yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri seperti SUKE dan DASH di mana ‘soft loan’ akan diberikan kepada syarikat swasta, tol akan dikutip oleh syarikat swasta tetapi beban pinjaman itu akan ditampung oleh kerajaan dan pembayar cukai?

    Saya juga inginkan Menteri memberi berita terkini mengenai tindakan yang sedang diambil untuk menuntut bayaran balik ke atas pinjaman sebanyak RM250 juta kepada National Feedlot Cooperation (NFC). Mengikut Laporan Audit 2012, satu sen tunggakan RM17.8 juta oleh NFC pun tidak dibayar. Apa penjelasan Kementerian atas isu ini?

    (ii)              Kategori yang kedua ialah syarikat yang dimiliki kerajaan persekutuan dan juga badan berkanun.

    Saya nak memberi beberapa contoh:

    Pada tahun 2013, jumlah pinjaman Port Klang Authority (PKA) daripada kerajaan persekutuan adalah RM3.8 bilion akibat pinjaman untuk membiayai bondholder PKFZ. Bekas pengerusi PKA, Datuk Teh Kim Poo, telah mengakui bahawa PKA tidak mampu membayar balik jumlah hutang ini dan ini juga telah dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2012. Mengikut maklumat yang saya terima, PKA telah menghentikan bayaran balik kepada kerajaan persekutuan mulai tahun 2012. Saya hendak mendapatkan pengesahan daripada pihak Kementerian sama ada maklumat ini benar atau tidak. Saya juga minta pihak kerajaan mengeluarkan laporan tahunan PKA untuk tahun 2012 dengan secepat mungkin supaya butir-butir kewangan boleh diketahui dengan lebih mendalam lagi.

    Perbadanan Aset Keretapi (PAK) ataupun Railway Assets Corporation (RAC) mempunyai tunggakan sebanyak RM1.07 bilion mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2012.

    Kita tahu bahawa KTM mengalami kerugian yang besar setiap tahun dan tidak mampu membayar balik kerajaan persekutuan. Apa rancangan kerajaan seterusnya?

    Hutang Indah Water Konsortium mencecah RM2 bilion pada tahun 2013. IWK adalah milik Kementerian Kewangan (Diperbadankan) ataupun Ministry of Finance Incorporated. Kerugian IWK pada tahun 2013 adalah RM213 juta. Rizab IWK adalah negatif RM1.2 bilion manakala share capital adalah RM100 juta sahaja. Apakah rancangan kerajaan persekutuan untuk menangani hutang IWK yang akan terus naik jikalau kerugian operasi ini berterusan?

    Saya juga memohon Kementerian memberi penjelasan mengapa GLC-GLC berikut yang berhutang kepada kerajaan persekutuan ini gagal membayar balik tunggakan:

    –         Malaysian Technology Development Corporation dengan hutang sebanyak RM690 juta pada tahun 2013 dan tunggakan sebanyak RM25 juta pada tahun 2012

    –         Malaysian Venture Capital Management Berhad dengan hutang sebanyak RM490 juta pada tahun 2013 dan tunggakan sebanyak RM222.84 juta pada tahun 2012

    –         Syarikat Prasarana Negara dengan hutang sebanyak RM475 juta dan tunggakan sebanyak RM0.8 juta pada tahun 2012

    –         Jikalau syarikat-syarikat ini tidak dapat membayar hutang disebabkan kerugian yang berterusan, apakah rancangan kerajaan untuk menangani masalah ini?

    Yang aneh sekali, terdapat syarikat GLC yang ada keuntungan tetapi juga tunggakan seperti:

    –         Malaysian Debt Ventures – keuntungan RM23 juta pada tahun 2013, tunggakan RM194.06 pada tahun 2012, hutang kerajaan sebanyak RM622 juta pada tahun 2013.

    –         Composite Technology Research Malaysia (CTRM) – keuntungan RM12 juta pada tahun 2013, tunggakan RM11.7 juta pada tahun 2012, hutang kerajaan sebanyak RM88 juta pada tahun 2013.

    Mengapakah pinjaman Columbia Aircraft Manufacturing Corporation yang mempunyai tunggakan sebanyak RM49.7 juta pada tahun 2012 telah dihapuskan pada 2013?

    (iii)            Kategori ketiga ialah pinjaman pihak swasta yang tidak disenaraikan sebagai mempunyai tunggakan pinjaman tetapi ada kemungkinan besar pinjaman daripada kerajaan persekutuan tidak dapat dibayar balik.

    Contohnya:

    Invent QJaya mempunyai pinjaman sebanyak RM244 juta pada tahun 2013. Namun, syarikat ini tidak lagi beroperasi di Malaysia. Mengikut ‘company filing’ pada tahun 2004, Invent QJaya mengalami kerugian sebanyak RM26.9 juta dan telah digulung pada tahun 2006.

    (iv)             Kategori keempat ialah pinjaman pihak GLC yang tidak disenaraikan sebagai mempunyai tunggakan pinjaman tetapi ada kemungkinan besar pinjaman daripada kerajaan persekutuan tidak dapat dibayar balik.

    Contohnya:

    Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mempunyai hutang sebanyak RM528 juta pada tahun 2013, meningkat daripada RM397 juta pada tahun 2012.

    Pada tahun 2013, kerugian SYABAS selepas cukai adalah RM98 juta. Rizabnya adalah negatif RM2.1 bilion manakala share capital adalah RM65 juta sahaja. Adakah hutang SYABAS akan dibayar dengan mengenakan harga air yang lebih tinggi ke atas penduduk di Selangor akibat projek Langat 2? Adakah kerajaan persekutuan bersedia untuk ‘declassify’ MOU di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor yang ditandatangani oleh bekas Menteri Besar Selangor, Bandar Tun Razak?

    Saya juga minta Kementerian Kewangan menyenaraikan semua projek-projek yang telah dibiayai oleh Pembinaan PFI Sdn Bhd yang telah meminjam sebanyak RM20 bilion daripada KWSP / EPF. Pembinaan PFI Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2006 tetapi sampai hari ini, tiada maklumat yang dikeluarkan tentang projek yang menggunakan dana Pembinaan PFI Sdn Bhd.

    Cadangan:

    –         Saya mencadangkan supaya Ketua Audit Negara membuat satu audit yang terperinci untuk semua GLC yang mempunyai hutang kepada kerajaan persekutuan dan mengenalpastikan sebab-sebab kenapa hutang ini tidak dibayar balik.

    –         Saya juga mencadangkan supaya Ketua Audit Negara mengemukakan syor-syor spesifik yang boleh membantu syarikat-syarikat GLC mengurangkan tunggakan dan juga hutang kepada kerajaan persekutuan.

    Soalan terakhir:

    –         Mengapakah kerajaan tidak mengambil tindakan yang agresif terhadap syarikat dan individu yang berhutang banyak kepada kerajaan dan tidak bayar balik satu sen pun kepada kerajaan? Pada masa yang sama, kerajaan mengambil langkah yang begitu keras terhadap peminjam PTPTN yang berhutang dengan jumlah yang jauh lebih rendah berbanding dengan syarikat-syarikat dan individu-individu yang berkaitan yang hutang besar kepada kerajaan.

    Terima kasih.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.