• Bajet 2015 membuktikan bahawa Perdana Menteri telah memungkiri janji beliau untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan meningkatkan ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 10hb Oktober 2014

    Bajet 2015 membuktikan bahawa Perdana Menteri telah memungkiri janji beliau untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan meningkatkan ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan bahawa Bajet 2015 akan merangkumi perbelanjaan anggaran RM273.94 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM9.74 bilion dari Bajet 2014 yang diumumkan iaitu RM264.2 bilion atau peningkatan sebanyak 3.7%.

    Pada masa yang sama, menurut Laporan Ekonomi 2014/2015, jumlah yang dianggarkan akan dibelanjakan untuk subsidi akan dikurangkan daripada RM40.6 bilion kepada RM37.7 bilion, iaitu penurunan sebanyak RM2.9 bilion atau 7.1%. Ini adalah hasil daripada Program Rasionalisasi Subsidi yang berterusan dan peningkatan harga petrol dan diesel yang dijangkakan.

    Walaupun rakyat akan terbeban dengan peningkatan kos sara hidup akibat Program Rasionalisasi Subsidi dan pengenalan GST pada tahun 2015 nanti, namun, Bajet 2015 jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengetatkan tali pinggang sendiri.

    Menurut Laporan Ekonomi 2014/2015, jumlah yang dibelanjakan untuk bekalan dan perkhidmatan, di mana banyak pembaziran yang dilaporkan berterusan di dalam Laporan Audit Negara berlaku, dijangka meningkat daripada RM36.4 bilion kepada RM38.1 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM1.7 bilion atau 4.6%.

    Ini bercanggah dengan janji Perdana Menteri Najib bahawa sektor awam akan melakukan 11 pemotongan dalam perbelanjaan.[1]

    Pada masa yang sama, anggaran perbelanjaan di Pejabat Perdana Menteri dijangka meningkat sebanyak RM2.6 bilion iaitu peningkatan paling banyak di kalangan semua Kementerian, malah mengatasi peningkatan peruntukan RM2.03 bilion untuk Kementerian Pendidikan. (Lihat Jadual 1 di bawah)

    Ini termasuk perkara-perkara dalam perbelanjaan pembangunan yang kurang telus dari segi tujuannya. Sebagai contoh, di bawah nama ‘Projek Khas’, perbelanjaan pembangunan telah meningkat daripada RM180 juta pada tahun 2014 kepada RM1.61 bilion pada tahun 2015, iaitu peningkatan sebanyak RM1.43 bilion atau 793.1%!

    Jenis perbelanjaan samar sebegini yang cuba dikurangkan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Anti-Rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Malangnya, Perdana Menteri seolah-olah tidak mempedulikan nasihat daripada unit dalam Kementeriannya sendiri.

    Sesi perbahasan seterusnya akan memberikan peluang kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mempersoalkan perbelanjaan dan dasar-dasar yang dikemukakan dalam Bajet 2015 dan untuk kami membentangkan dasar-dasar alternatif kami, yang antaranya telah digariskan di dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2015.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Jadual 1: Perubahan dalam Peruntukan Bajet Kementerian-Kementerian Utama (2014 hingga 2015)

    [1] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/12/31/Costcutting-measures-start-tomorrow-Public-sector-will-see-11-steps-implemented-to-compensate-for-pr/

Leave a reply.