• Di Malaysia, ancam bakar kitab Bible dan bangunan bukan lagi kesalahan?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 8hb Oktober 2014

    Di Malaysia, ancam bakar kitab Bible dan bangunan bukan lagi kesalahan?

    Pada 22hb Mei 2014, sekumpulan pemimpin dan ahli–ahli Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Razlan Rafii telah berdemo di hadapan Ibu Pejabat DAP di Jalan Yew, off Jalan Pudu. Semasa demo ini, Razlan Rafii mengancam untuk membakar Ibu Pejabat DAP. Saya telah membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Pudu (Laporan Polis Pudu / 004003/14) dan memberikan bukti dalam bentuk video kepada polis berkenaan ugutan yang dibuat oleh Razlan Rafii.

    Pada 26hb Mei, polis telah menahan 6 pemimpin Pemuda UMNO, termasuk Razlan Rafii. Dilaporkan bahawa mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan kerosakan dan Seksyen 506 bagi ugutan jenayah.[1] Adalah sangat jelas di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bahawa ancaman untuk menyebabkan kemusnahan sebarang harta menggunakan api adalah kesalahan yang boleh dihukum (lihat di bawah).

    Seksaan bagi kesalahan menakutkan secara jenayah

    506. Barang siapa melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya; dan jika ugutannya itu ialah ugutan hendak menyebabkan kematian atau cedera parah, atau hendak menyebabkan kebinasaan apa-apa harta dengan api, atau hendak menyebabkan sesuatu kesalahan yang boleh diseksa dengan bunuh atau penjara, atau dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau hendak mentomahkan seseorang perempuan sebagai jalang, maka ia hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

    Saya telah membangkitkan soalan Parlimen untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan kes ini dalam sesi Parlimen semasa dan semalam saya menerima jawapan berikut dari Menteri Dalam Negeri:

    Kertas Siasatan telah lengkap dan telah diedarkan ke Pejabat Peguam Negara pada 17 September 2014 dan telah memutuskan kes No Further Action (NFA). Siasatan diteruskan bagi kesalahan di bawah Sekysen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman kerana berhimpun tanpa kebenaran atau notis.

    Saya mengecam keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara kerana tidak mendakwa dan mengenakan tindakan kepada Razlan Rafii walaupun beliau telah jelas mengugut untuk membakar Ibu Pejabat DAP. Tindakan beliau telah dilaporkan secara meluas oleh akhbar, direkod dan dimuat naik di Youtube untuk tatapan umum. Saya juga dapat mengenal pasti kelibat Razlan Rafii dalam line-up yang dijalankan oleh pihak polis. Adakah ini bermakna bahawa Peguam Negara memberi restu kepada orang lain untuk mengancam membakar bangunan yang menempatkan pejabat parti-parti pembangkang? Adakah tidak mengapa untuk membakar bangunan milik orang lain tanpa perlu berdepan dengan sebarang tindakan?

    Dalam soalan Parlimen semalam, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bagan, juga bertanya sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap Presiden Perkasa, Ibrahim Ali, atas ugutan beliau untuk membakar Al-Kitab Melayu[2]. Jawapan Parlimen adalah seperti berikut:

    Berhubung kes membabitkan Dato’ Ibrahim bin Ali, Presiden PERKASA, hasil siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa:

    (a) Kata-kata yang diucapkan oleh beliau adalah ditujukan kepada individu-individu yang telah mengedar naskhah “Bible” yang mengandungi kalimah Allah dan juga tulisan Jawi kepada pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang termasuk pelajar Melayu.

    (b) Kenyataan yang dibuat oleh beliau tersebut tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan agama tetapi hanya untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

    Adakah ini bermakna bahawa seseorang boleh mengancam untuk membakar kitab suci agama lain semata–mata atas nama melindungi agama sendiri?

    Mengambil keputusan kedua-dua kes ini, adakah ini bermakna bahawa kini dibenarkan untuk mengancam untuk membakar gereja di mana Al-Kitab versi Melayu atau Indonesia yang mengandungi perkataan Allah digunakan oleh orang Kristian?

    Keputusan-keputusan ini merupakan penghinaan kepada percubaan Perdana Menteri Najib untuk ‘menjenamakan’ Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara bersifat “sederhana” apabila kerajaan membenarkan mereka yang mengancam untuk membakar bangunan dan Al-Kitab terlepas daripada hukuman.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] https://my.news.yahoo.com/cops-arrest-6-umno-youth-leaders-over-burn-134500460.html

    [2] http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/01/19/burn-allah-bibles-perkasa-chief-tells-muslims/

Leave a reply.