• Ucapan Parlimen 7 Oktober 2014 – Akta untuk Meminda Akta Lembaga Dalam Negeri Malaysia 1995

    Ucapan Parlimen – Akta untuk Meminda Akta Lembaga Dalam Negeri Malaysia 1995 – Dr. Ong Kian Ming, MP Serdang (7 Oktober 2014)

    Tuan Speaker,

    Terima kasih atas peluang yang diberikan kepada saya untuk menyertai perbahasan DR 9/2014 iaitu “Suatu Akta untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995”.

    Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri atas kepekaan beliau dalam mendengar suara rakyat dan juga pihak pembangkang dan seterusnya mengambil tindakan untuk membatalkan kesemua fasal yang berkaitan dengan Panel Pelaburan. Harapan saya ialah Menteri akan terus peka kepada kehendak dan suara rakyat.

    Sebenarnya, apa yang kami di pihak pembangkang mempertikaikan bukan keanggotaan Panel Pelaburan. Tadi sahabat saya Lenggong kata bahawa jikalau Panel Pelaburan ini ditubuhkan, ia mesti dianggotai oleh pakar-pakar, wakil daripada Pejabat Peguam Negara, wakil daripada Perbendaharaan, dan sebagainya. Untuk makluman YB Lenggong, keanggotaan LHDN yang sedia ada dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, dan termasuk Peguam Negara ataupun wakilnya. Tetapi sebahagian besar daripada pertikaian kami ialah matlamat untuk menubuhkan Panel Pelaburan ini dan yang lebih penting, instrumen kewangan yang diluluskan sebagai pelaburan di bawah Panel Pelaburan.

    Pindaan ini, di bawah Fasa 6, membenarkan panel pelaburan untuk melaburkan Kumpulan Wang LHDN dalam saham yang disenaraikan dalam bursa saham dan juga bon dan debentur syarikat awam. Saham di bursa saham tentu melibatkan risiko yang lebih tinggi berbanding dengan deposit tetap dan pandangan saya ialah LHDN tidak patut bertindak seperti suatu dana pelaburan ataupun “sovereign wealth fund” seperti Khazanah.

    Pada masa yang sama, Seksyen 28 (1) (f) juga memberi kuasa kepada Menteri untuk meluluskan apa-apa bentuk pelaburan lain. Kuasa yang diberikan kepada Menteri terlalu luas dan tidak terbatas dan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa. Misalnya, jikalau sebuah syarikat yang telah mendapatkan konsesi untuk membina sebuah lebuhraya, pindaan ini membolehkan Kumpulan Wang LHDN dilaburkan di atas bon syarikat swasta ini dengan kelulusan Menteri walaupun risiko mungkin tinggi dan syarikat swasta ini tidak ada sebarang ‘track record’ dari segi pinjaman ataupun pendapatan.

    Tapi tak apa, sekarang Menteri sudah membuat keputusan untuk menarik balik semua fasa-fasa yang berkaitan dengan Panel Pelaburan dan saya mengalu-alukan tindakan ini.

    Tuan Speaker,

    Saya nak rujuk Menteri kepada Laporan Tahunan LHDN untuk tahun 2012, di mana ekuiti LHDN pada 31 Disember 2012 adalah RM1.59 bilion. Ini termasuk dana daripada Kumpulan Wang Pembangunan / Development Fund (RM857m), daripada Kumpulan Wang Amanah / Trust Fund (RM3.8m), daripada Kumpulan Wang Lain / Other Fund (RM36m), daripada Rizab Penilaian Aset / Valuation Reserve (RM74m) dan Lebihan Terkumpul / Accumulated Reserves (RM619m).

    Jadual 1: Ekuiti LHDN pada 31 Disember 2012

    Sumber: Laporan Tahunan LHDN 2012

    Saya mengucapkan tahniah kepada pihak LHDN atas kejayaan meningkatkan ekuiti daripada RM135m pada tahun 2000 kepada lebih daripada RM1.5b setakat ini. Dengan prestasi LHDN yang saya rasa cukup memuaskan, kenapa pula Seksyen baru 28A perlu diperkenalkan?

    Seksyen baru 28A memberikan kuasa kepada LHDN, dengan kelulusan Menteri, untuk menubuhkan syarikat “untuk menjalankan dan bertanggungjawab pada atau terlibat dalam apa-apa projek, skim atau perusahaan yang telah dirancangkan atau dijalankan oleh Lembaga dalam melaksanakan fungsinya atau menjalankan kuasanya di bawah Akta ini”.

    Tadi, YB Tasek Gelugor membangkitkan isu pendapatan yang diperlukan oleh LHDN untuk meningkatkan kebolehan mereka untuk mengutip cukai. Tetapi apa yang ketara daripada ekuiti yang dipegang oleh LHDN ialah ia memang mencukupi pada masa sekarang. Dan ekuiti ataupun simpanan ini tetap akan menaik setiap tahun berdasarkan ‘track record’ LHDN sejak tahun 2008. Dengan ‘accumulated reserves’ yang begitu banyak, kenapa LHDN perlu kuasa untuk tubuhkan syarikat baru untuk menjalankan tugas mereka seperti mana yang dibangkitkan tadi oleh Tasek Gelugor?

    Tadi, YB Lenggong memberi contoh Singapura yang telah menubuhkan satu Tax Academy untuk melatih pakar cukai dan meningkatkan lagi pengetahuan dan kajian mengenai isu cukai. Jadi, mungkin LHDN perlukan Seksyen 28A untuk menubuhkan satu Tax Academy yang serupa. Saya nak maklumkan kepada YB Lenggong bahawa Akademi Percukaian Malaysia (APM) telah ditubuhkan oleh LHDN sejak tahun 1994. Alamatnya di Persiaran Warisan, Bandar Baru Bangi, di kawasan saya. Kumpulan Amanah ataupun Trust Fund pun diperuntukkan kepada Akademi ini. Lebihan terkumpul mengikut Laporan Tahunan LHDN 2012 adalah RM3.75juta. Jadi, kalau nak beri contoh, pun beri contoh yang lebih wajar lah.

    Tuan Speaker,

    Saya memberi contoh LHDN yang sekarang ini bertindak sebagai ejen pemungut bagi pihak PTPTN sejak bulan Julai 1997. LHDN boleh menjalankan tugas seperti ini dengan tidak perlunya penubuhan sebuah anak syarikat. Lenggong, sebagai pengerusi PTPTN sepatutnya tahu tentang butir-butir seperti ini tetapi saya tak tahu kenapa beliau tidak bangkitkan tadi.

    Jadi, soalan pokok adalah apa yang sedia ada dalam Akta ini yang sedang menyekat LHDN daripada menjalankan tugasnya dengan baik? Kenapa perlunya Seksyen baru 28A?

    Seksyen baru 28A boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Misalnya, Seksyen baru 28A ini boleh memberi peluang kepada LHDN untuk menubuhkan sebuah syarikat khususnya untuk menuntut cukai pendapatan yang masih terhutang. Di bawah syarikat ini, kontraktor boleh diupah dengan komisi yang tinggi untuk menuntut cukai yang lapuk.

    Ini adalah satu “precedent” yang sangat membimbangkan dan pada pandangan saya, tidak ada apa-apa keperluan untuk penubuhan syarikat oleh LHDN. Jikalau kuasa LHDN perlu ditambah untuk menjalankan tugas dengan lebih baik, undang-undang patut dipinda, bukan syarikat ditubuh.

    Saya juga hendak tanya Menteri mana lagi negara yang mengamalkan pindaan ini untuk membenarkan pihak yang bertanggungjawab untuk mengutip cukai pendapatan untuk menubuhkan anak syarikat sendiri. Adakah pindaan ini mengikut ‘best practices’ yang dilakukan di negara maju yang lain?

    Pendapat saya ialah Seksyen Baru 28A ini tidak diperlukan dan patut dibatalkan seperti Fasal 3, 5, 6 dan 8.

Leave a reply.