• Mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan penggunaan keputusan percubaan SPM dan bukan keputusan ramalan SPM untuk kemasukan awal ke program pra-universiti dan foundation?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 2 Oktober 2014

    Mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan penggunaan keputusan percubaan SPM dan bukan keputusan ramalan SPM untuk kemasukan awal ke program pra-universiti dan foundation?

    Daripada mendengar suara ibu bapa dan pelajar yang akan terjejas oleh peraturan terbaru Kementerian Pendidikan untuk menghentikan penggunaan keputusan ramalan sebagai cara kemasukan awal ke program foundation dan pra-universiti program di kolej dan universiti swasta, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, telah memilih untuk mempertahankan keputusan tidak bijak yang dibuat oleh kementerian beliau.

    Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dipetik sebagai berkata, larangan terhadap pelajar SPM menggunakan keputusan ramalan untuk mendaftar ke kolej swasta ‘bukan perkara baru’.[1] Selain itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan pada hari Selasa 29 September 2014, Menteri berkata bahawa untuk mengatakan bahawa keputusan ramalan “tidak boleh lagi digunakan” adalah tidak tepat, kerana hanya keputusan SPM sebenar diperlukan untuk mendafter masuk ke kursus matrikulasi, pra-universiti dan diploma yang diluluskan Kementerian.[2]

    Pertama, saya ingin membalas bahawa tidak tepat untuk Kementerian mengatakan bahawa keputusan ramalan digunakan oleh kolej dan universiti swasta sebagai syarat kemasukan ke dalam program pra-universiti dan foundation. Adalah lebih tepat jika dikatakan bahawa kemasukan awal ke dalam program-program ini adalah berdasarkan keputusan ramalan tetapi pendaftaran seterusnya adalah berdasarkan sama ada pelajar mencapai tawaran bersyarat dari kolej masing-masing berdasarkan keputusan SPM sebenar mereka. Oleh itu, jika pelajar gagal mencapai keputusan ini, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan program tersebut.

    Kedua, Kementerian dilaporkan berkata bahawa ‘ia lebih mementingkan kualiti perkhidmatan ditawarkan institusi dan peraturan yang mematuhi ‘amalan terbaik’ Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).’ Jika Kementerian merasakan penggunaan keputusan ramalan untuk kemasukan awal ke program pra-universiti dan foundation tidak konsisten dengan “amalan terbaik”, kementerian perlu mendedahkan bilangan dan peratusan pelajar yang diterima masuk program pra-universititetapi kemudian tidak memenuhi tawaran bersyarat. Menurut statistik yang dibentangkan oleh Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MACPU), kebanyakan sekolah melaporkan kadar keciciran pelajar “kurang daripada 1% dan 2%” disebabkan tidak memenuhi tawaran bersyarat untuk keputusan SPM.[3] Malah, terdapat sekolah yang melaporkan 0% pelajar tidak memenuhi tawaran bersyarat tersebut.

    Ketiga, jika Kementerian merasakan bahawa menggunakan keputusan ramalan adalah tidak konsisten dengan “amalan terbaik”, maksudnya terdapat sekolah yang sengaja mengubah keputusan ramalan supaya ia lebih baik daripada keputusan SPM sebenar, mengapa tidak membenarkan penggunaan keputusan percubaan SPM sebagai syarat awal ke program foundation dan pra-universiti? Lagipun, keputusan percubaan SPM terletak di bawah kuasa Kementerian Pendidikan dan Kementerian sentiasa boleh meminta kolej dan universiti swasta membuat pengesahan dalam talian terhadap keputusan percubaan SPM.[4]

    Kita harus sedar bahawa syarat minima ditetapkan MQA untuk kemasukan ke program pra-universiti dan foundation di kolej swasta adalah sekurang-kurangnya 5 kredit bagi mana-mana 5 subjek SPM. Kemungkinan seseorang yang mendapat lima kredit SPM dalam peperiksaan percubaan tetapi gagal mencapai standard keputusan SPM sebenar adalah sangat rendah, seperti mana ditunjukkan oleh statistik MACPU.

    Saya menggesa kedua-dua Menteri Pendidikan mendengar suara pelajar, ibu bapa dan juga rakan kabinet mereka – Datuk Dr Wee Ka Siong – yang secara terbuka tidak bersetuju dengan dasar ini. Penggunaan keputusan ramalan SPM untuk kemasukan awal ke dalam program pra-universiti dan foundation perlu diguna semula. Jika Kementerian benar-benar mempunyai keraguan tentang ketepatan dan kualiti keputusan ramalan, polisi ini boleh ditukar kepada penggunaan keputusan percubaan SPM yang diluluskan oleh KPM untuk kemasukan awal ke dalam program-program tersebut. Pendaftaran pelajar ini hanya boleh disahkan selepas keputusan SPM sebenar mereka dikeluarkan, yang merupakan amalan sekarang.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/09/30/Idris-Jusoh-SPM/

    [2] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/09/30/education-ministry-never-allow-spm-forecast-results/

    [3] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/09/28/Form-Five-students-unhappy-with-forecast-result-ruling/

    [4] http://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/index.php

Leave a reply.