• Kementerian Pendidikan harus segera menarik balik sekatan bahawa keputusan ramalan SPM tidak boleh digunakan untuk kemasukan ke program pra-universiti dan program asas (foundation) di IPTS

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 29hb September 2014

    Kementerian Pendidikan harus segera menarik balik sekatan bahawa keputusan ramalan SPM tidak boleh digunakan untuk kemasukan ke program pra-universiti dan program asas (foundation) di IPTS

    Ramai terkejut apabila dilaporkan semalam bahawa Kementerian Pendidikan telah mengenakan syarat bahawa keputusan ramalan SPM tidak lagi boleh diterima untuk kemasukan ke program pra-universiti dan foundation di IPTS.[1] Langkah ini telah menerima banyak kritikan di media sosial.[2] Kementerian Pendidikan harus segera menarik balik sekatan ini kerana ia adalah sangat tidak adil bagi pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka ke kolej dan universiti swasta.

    Dengan tidak membenarkan pengunaan keputusan ramalan SPM sebagai syarat kemasukan ke program pra-universiti dan foundation, Kementerian sedang silap menghukum pelajar yang ingin mendaftar ke program-program kolej dan universiti swasta. Majoriti pelajar ini memasuki program pra-universiti dan foundation di kolej-kolej swasta dan universiti pada bulan Januari berdasarkan keputusan ramalan mereka. Ramai antara mereka mempunyai perancangan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Kalendar akademik program-program pra-universiti dan foundation juga dirancang selari dengan tarikh pengambilan universiti luar negara.

    Sebagai contoh, bagi pelajar yang ingin melanjutkan ijazah di Australia, program Matrikulasi Australia yang ditawarkan di Sunway College bermula pada bulan Januari dan tamat dalam masa 8 hingga 10 bulan supaya keputusan ini boleh diguna oleh pelajar untuk memohon dan memasuki universiti-universiti di Australia pada bulan Januari tahun seterusnya.[3]

    Bagi mereka yang ingin melanjutkan ijazah di UK, ramai akan mengambil program A-Level selama 1 ½ tahun bermula pada bulan Januari, agar mereka dapat memasuki universiti di UK pada bulan September atau Oktober tahun seterusnya.

    Memaksa pelajar menunggu 3 bulan sehingga keputusan rasmi SPM dikeluarkan pada akhir bulan Mac bermakna pelajar perlu melalui program foundation yang padat; contohnya menghabiskan masa 15 bulan untuk mengambil peperiksaan A-level dan bukannya 18 bulan seperti biasa atau kemasukan mereka ke universiti akan tertangguh selama setahun.

    Tambahan pula, bagaimana jika terdapat kebocoran dalam kertas SPM yang memerlukan pelajar menduduki semula peperiksaan? Jika keputusan SPM diumumkan lambat disebabkan hal ini, pelajar-pelajar akan terhukum dan ketidakadilan berlaku sekali lagi kerana mereka tidak dapat memulakan program pra-universiti atau foundation selagi keputusan SPM belum diumumkan.

    Saya belum melihat sebarang pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan kepada kolej dan universiti swasta tentang keputusan ini. Namun setakat ini, tiada sebarang laporan yang menyatakan alasan yang diberikan oleh Kementerian untuk perubahan kepada polisi baru ini. Jika tiada masalah besar dengan kualiti keputusan ramalan SPM, yang biasanya lebih sukar berbanding dengan peperiksaan SPM sebenar, mengapa Kementerian ingin membatalkan penggunaan keputusan peperiksaan percubaan untuk masuk awal ke kolej dan universiti swasta? Selagi tiada sebab kukuh diberikan oleh Kementerian Pendidikan, sekatan baru ini harus segera ditarik balik.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/09/28/A-worthless-piece-of-paper-Forecast-results-no-longer-acceptable/

    [2] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/09/29/Surprise-move-sends-shock-waves-over-social-media/ and http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/09/28/reschedule-spm-exams-to-solve-problem-say-netizens/

    [3]https://onlineapplication.sunway.edu.my/index.php?m=link&c=entry_requirement&academic_type=1

Leave a reply.