• Adakah kedua-dua Menteri Pendidikan akan ‘diberi tugas lain’ atas kegagalan mereka untuk menjalankan penyiasatan dengan cepat ke atas kebocoran kertas-kertas UPSR?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 23hb September 2014

    Adakah kedua-dua Menteri Pendidikan akan ‘diberi tugas lain’ atas kegagalan mereka untuk menjalankan penyiasatan dengan cepat ke atas kebocoran kertas-kertas UPSR?

    Rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan dua insiden kebocoran kertas soalan Sains UPSR pada 10hb September di mana ia terpaksa ditunda ke 30hb September dan juga kertas soalan Bahasa Inggeris untuk sekolah kebangsaan yang didapati bocor pada 11hb September dan juga terpaksa diduduki semula pada 30hb September.

    Pada 11hb September pula, dilaporkan bahawa kertas Matematik UPSR juga telah bocor. Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dipetik berkata bahawa sisasatan akan dijalankan terhadap khabar angin tersebut.

    Semalam pada 22hb September 2014, rakyat Malaysia menerima dua lagi kejutan dengan pengumuman bahawa kertas UPSR Matematik dan juga kertas UPSR Bahasa Tamil telah didapati bocor. Hakikat bahawa Kementerian Pendidikan mengambil masa 10 hari untuk mendedahkan kes ini sungguh memalukan dan tidak dapat diterima. Dengan itu, pelajar Darjah 6 yang menduduki UPSR terpaksa “menderita” selama 9 hari lagi untuk menduduki semula peperiksaaan kertas Matematik dan Tamil pada 9 Oktober. Peperiksaaan UPSR yang dijadualkan untuk tamat pada 11hb September kini terpaksa dihabiskan pada 9hb Oktober iaitu hampir 1 bulan lewat daripada tarikh asal.

    Akibatnya, hampir setengah juta pelajar Darjah 6 dan keluarga terjejas jadual harian mereka dan juga menerima gangguan mental kerana terpaksa menduduki semula beberapa kertas UPSR.

    Memandangkan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Na’imah Ishak dan juga Timbalan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Wan Ilias Wan Salleh telah “diberikan tugas lain”[1], adakah Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh juga harus “diberikan tugas lain” atas kegagalan mereka untuk menyiasat dengan cepat kes kebocoran soalan UPSR ini? Mengapakah tiada sebarang pelan kontingensi untuk menghadapi kemungkinan lagi kertas soalan bocor supaya pelajar tidak perlu menunggu sehingga 9hb Oktober untuk menduduki semula peperiksaan tersebut?

    Rakyat Malaysia, terutamanya pelajar dan ibu bapa yang terlibat, berhak mendapat jawapan yang jujur ​​dan telus dari kedua-dua Menteri Pendidikan tentang kemelut UPSR ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/exam-syndicate-officials-reassigned-not-suspended-says-ministry-sec-gen#sthash.AoO6Iiov.dpuf

Leave a reply.