• Mampukah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia meyakinkan ibu bapa dan para pelajar bahawasanya kes ‘kebocoran’ kertas peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan peperiksaan STPM tidak akan terjadi lagi?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 11 September, 2014

    Mampukah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia meyakinkan ibu bapa dan para pelajar bahawasanya kes ‘kebocoran’ kertas peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan peperiksaan STPM tidak akan terjadi lagi?

    Kementerian Pelajaran telah mengumumkan semalam pada 10 September 2014 bahawa, tiga kertas peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains – 018, 028 dan 038 – telah dibocorkan secara “online”. Sehubungan dengan itu, peperiksaan tersebut telah ditangguhkan daripada 11 September 2014 kepada 30 September 2014 menyebabkan peperiksaan UPSR yang dijadualkan tamat pada hari ini iaitu 11 September 2014, hanya akan selesai pada 30 September 2014.

    Kecuaian Lembaga Peperiksaan ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada 472,853 pelajar Darjah Enam yang sedang menduduki peperiksaan UPSR di seluruh negara kerana seluruh keluarga mereka akan juga terkesan dengan permasalahan ini.[1] Pelajar-pelajar yang telah bersiap sedia daripada aspek mental untuk menamatkan peperiksaan UPSR dalam masa tiga hari kini terpaksa menunggu selama tiga minggu lagi. Sehubungan dengan itu, ibu bapa yang telah merancang aktiviti sepajang musim percutian bersama keluarga terpaksa menyusun semula perancangan mereka. Kesan yang terbesar ialah keyakinan para ibu bapa dan pelajar yang semakin merudum terhadap kerajaan dalam memastikan kerahsiaan dan integriti kertas peperiksaan daripada dibocorkan.

    Permohonan maaf di atas permasalahan kebocoran kertas peperiksaan tersebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia adalah tidak mencukupi. Beliau mesti memberikan jaminan bahawa kebocoran kertas peperiksaan UPSR tidak akan berlaku lagi bagi mata pelajaran Sains yang akan diambil pada 30 September nanti. Pada masa yang sama, jaminan bahawa tiada kebocoran kertas peperiksaan untuk peperiksaan PT3 yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober 2014,[2] kertas peperiksaan SPM yang bermula pada 3 November 2014 sehingga 2 Disember 2014 serta kertas peperiksaan STPM mesti diberikan. Integriti dan keselamatan bagi kertas peperiksaan PT3, SPM dan STPM adalah lebih penting kerana sekiranya berlaku kebocoran, keputusan untuk mengambil semula atau menangguhkan peperiksaan tersebut tidak relevan memandangkan masa yang terhad pada akhir tahun 2014.

    Mutakhir ini, dengan kemudahan telefon pintar dan teknologi salinan “softcopy” kertas peperiksaan memaksa Lembaga Peperiksaan untuk lebih bekerja keras bagi memastikan integriti kertas-kertas peperiksaan tersebut. Sebagai contoh, kertas peperiksaan PT3 akan dimuat turun[3] ke dalam komputer guru-guru di sekolah-sekolah dan menjadikan mereka sasaran mudah bagi penggodam serta pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu ‘mencuri’ kertas peperiksaan tersebut untuk kepentingan komersial dan peribadi. Justeru, selain salinan “hardcopy” kertas peperiksaan disimpan dengan selamat, salinan “softcopy’’ juga perlu dijaga dan disimpan dengan lebih selamat.

    Perlu diingat bahawa pada tahun 2013 terdapat khabar angin mengatakan bahawa beberapa kertas peperiksaan SPM telah bocor. Pada masa itu, Lembaga Peperiksaan menolak khabar angin ini dan membenarkan peperiksaan SPM untuk diteruskan seperti yang telah dirancang.[4] Sebagai respon terhadap khabar angin ini, Kementerian Pelajaran telah mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas berperanan untuk menyiasat khabar angin itu. Malangnya, sehingga hari ini tidak ada sebarang maklumat hasil penemuan jawatankuasa khas tersebut. Sekiranya jawatankuasa khas ini telah melaksanakan tugas mereka dengan baik, bukankah cadangan ataupun tindakan proaktif telah dirancang untuk mengelakkan kebocoran kertas peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains pada tahun ini?

    Timbalan Perdana Menteri boleh menunjukkan komitmen beliau bagi melindungi integriti dan keselamatan peperiksaan-peperiksaan utama di negara ini dengan berjanji untuk meletakkan jawatan sekiranya kertas peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM bocor sekali lagi pada masa depan. Adakah beliau berani dan bertanggungjawab untuk melakukan perjanjian tersebut?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/leaked-upsr-paper-to-be-investigated-under-official-secrets-act

    [2]http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/files/JADUAL%20PT3%202014.pdf

    [3]http://apps2.moe.gov.my/lponline/v1/images/bahan/pt3/2014/Surat%20Siaran%20Jadual%20Waktu%20Jadual%20Kerja%20Peraturan%20Pentadbiran%20Ujian%20Bertulis%20PT3%20Tahun%202014.pdf

    [4] [4] http://news.asiaone.com/news/malaysia/leaked-spm-papers-claim-will-be-investigated

Leave a reply.