• Keputusan kerajaan untuk menarik balik permohonan biasiswa JPA ke luar negara bagi pelajar-pelajar bukan dermasiswa yang berjaya masuki universiti ranking 50 teratas adalah satu pengkhianatan besar

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 26 Ogos 2014

    Keputusan kerajaan untuk menarik balik permohonan biasiswa JPA ke luar negara bagi pelajar-pelajar bukan dermasiswa yang berjaya masuki universiti ranking 50 teratas adalah satu pengkhianatan besar

    Pada 16 April 2012, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Menteri Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan media tentang jenis tawaran biasiswa yang terbuka kepada pelajar lepasan SPM.[1] Dalam kenyataan media tersebut, TPM telah mengumumkan bahawa biasiswa JPA ke luar negara – Program Ijazah Luar Negara (PILN) – akan dibuka untuk pelajar-pelajar yang tidak berjaya mendapatkan 9A + dalam keputusan SPM (atau dikenali sebagai pelajar-pelajar bukan dermasiswa). Pelajar dermasiswa adalah pelajar yang telah berjaya memperoleh keputusan SPM iaitu 9A + atau lebih.

    Antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh kementerian bagi para pelajar bukan dermasiswa layak mendapatkan biasiswa ialah PNGK sekurang-kurangnya 3.5 atau yang setaraf, mendapatkan tawaran tanpa syarat daripada universiti ranking 10 terbaik dunia untuk bidang perubatan, pergigian dan farmasi dan bagi kursus-kursus lain ialah tawaran tanpa syarat daripada universiti ranking 50 terbaik dunia.

    Pengumuman ini memberi harapan kepada ramai pelajar bukan dermasiswa di samping motivasi untuk bekerja keras dalam program-program pra-universiti seperti STPM, A-Level, Matrikulasi atau International Baccalaureate (IB) dan seterusnya layak untuk memohon biasiswa PILN tersebut. Sebelum pengumuman ini dibuat, pelajar yang gagal untuk mendapatkan 9A + atau lebih sewaktu peperiksaan SPM langsung tidak mempunyai sebarang peluang memperoleh biasiswa JPA ke luar negara. Justeru pengumuman tersebut ibarat bulan jatuh ke riba buat para pelajar bukan dermasiswa.

    Biasiswa PILN untuk para pelajar bukan dermasiswa sepatutnya telah dibuka kepada pelajar-pelajar yang memasuki universiti pada tahun 2014. Bagi pelajar yang memohon untuk universiti yang terkemuka di Australia, surat tawaran kemasukan akan diperolehi pada akhir 2013. Bagi pelajar yang memohon untuk universiti yang terkemuka di United Kingdom, Amerika Syarikat, Eropah dan Asia, mereka akan mendapat surat tawaran kemasukan bermula dari April 2014.

    Sehingga Jun 2014, masih tidak ada sebarang berita dari JPA berkenaan pembukaan biasiswa PILN untuk pelajar-pelajar bukan dermasiswa menyebabkan sebahagian daripada mereka telah menulis kepada akhbar tempatan untuk mengetengahkan permasalahan tersebut.[2] Kebimbangan utama mereka akhirnya disahkan apabila sebahagian daripada mereka telah ke JPA pada bulan Julai yang lepas dan diberitahu bahwa skim PILN untuk pelajar-pelajar bukan dermasiswa telah dibatalkan kerana kekurangan dana.

    Bayangkan kekecewaan para pelajar tersebut lebih-lebih lagi mereka yang mendapat tawaran ke universiti 50 terbaik dunia dalam bidang masing-masing sesuai dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri. Mereka langsung tidak diberikan peluang untuk memohon biasiswa tersebut apatah lagi dipanggil untuk sesi temuduga.

    Adakah Timbalan Perdana Menteri menipu para pelajar dengan membatalkan skim biasiswa JPA ke luar negara untuk pelajar bukan dermasiswa yang diumumkan dua tahun yang lepas tanpa sebarang makluman awal? Adakah Kementerian menyedari bahawa peruntukan RM2.12 bilion untuk biasiswa JPA dalam dan luar negara pada 2012 tidak mencukupi untuk menampung pelajar-pelajar bukan dermasiswa memandangkan 1609 pelajar yang berjaya mendapat 9A+ atau lebih telah ditawarkan biasiswa dermasiswa dan kemudiannya diberi keutamaan untuk biasiswa luar negara?

    Kerajaan perlu mempunyai dasar yang konsisten dalam urusan biasiswa JPA yang membenarkan semua pemohon yang berkelayakan sekurang-kurangnya berjaya dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga agar mereka berpeluang menunjukkan bahawa mereka layak untuk mendapatkan tajaan biasiswa JPA ke luar negara. Berjanji mengenai sesatu perkara dan memungkiri janji tersebut setalah 2 tahun sangat tidak boleh diterima dan ini merupakan satu lagi contoh janji-janji tidak dipenuhi atau “Janji Tidak Ditepati” oleh kerajaan persekutuan BN.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.moe.gov.my/en/kenyataan-media-view?id=2549&

    [2]http://www.thestar.com.my/Opinion/Letters/2014/06/16/What-happened-to-scholarship-scheme/

Leave a reply.