• Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Seri’ Rohani Abdul Karim mesti menunaikan janji beliau dan membenarkan ahli-ahli Parlimen melawat Desa Bina Diri di Sungai Buloh

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 17 Julai 2014

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Seri’ Rohani Abdul Karim mesti menunaikan janji beliau dan membenarkan ahli-ahli Parlimen melawat Desa Bina Diri di Sungai Buloh

    Pada Ahad 13 Julai 2014, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Seri’ Rohani Abdul Karim berkata, “Fakta yang diputar belit adalah kita akan menangkap mereka (gelandangan) dan mereka akan dimasukkan ke dalam penjara. Itu tidak benar dan kami tidak akan berbuat sedemikian. Parti-parti pembangkang mendakwa yang mereka hendak pergi ke Desa Bina Diri (pusat penempatan gelandangan) di Sungai Buloh bagi melihat kemudahan yang disediakan. Mereka merasakan pusat tersebut adalah sebuah penjara. Oleh itu, kehadiran mereka amat dialu-alukan.”[1]

    Pada 23 Jun 2014, saya telah menghantar surat kepada Menteri untuk memohon kebenaran mengadakan lawatan rasmi bagi ahli Parlimen yang berminat. Saya juga telah menghubungi setiausaha sulit Menteri, Encik Reza-Rizvy Ahmad pada 7 Julai 2014. Seingat saya, telah berulang kali saya membuat permintaan tersebut. Sehingga hari ini, sungguhpun Menteri telah berjanji seperti yang dinyatakan di dalam akhbar The Star untuk menyambut mana-mana parti pembangkang melawat pusat penempatan tersebut, saya masih lagi tidak menerima apa-apa maklum balas yang positif daripada Menteri mahupun setiausaha peribadinya.

    Tujuan lawatan kami adalah untuk mendapatkan maklumat seperti berikut:

    (i) Adakah gelandangan tersebut ditempatkan berdasarkan kemahuan mereka sendiri?

    (ii) Adakah gelandangan tersebut diberikan sebarang keperluan asas untuk membantu membangunkan keadaan mereka? Keperluan asas tersebut termasuklah penjagaan kesihatan mental daripada profesional dan sebarang rawatan perubatan yang perlu.

    (iii) Sekiranya gelandangan ini mampu untuk bekerja, adakah mereka akan diberikan sebarang khidmat latihan dan pekerjaan yang bersesuaian?

    (iv) Adakah gelandangan tersebut dibantu untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan?

    (v) Adakah kemudahan yang disediakan di DBD cukup untuk menampung golongan gelandangan ini?

    Lawatan mesti dijalankan kerana ada laporan yang mengatakan bahawa golongan gelandangan ini ditempatkan di DBD dengan cara paksaan tanpa kemahuan mereka sendiri.[2] Adakah Menteri berani untuk menunaikan janjinya iaitu membenarkan ahli Parlimen pembangkang melawat DBD Sungai Buloh? Atau ini akan menjadi satu lagi bukti janji tidak ditepati oleh kerajaan BN?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/07/13/Sleepless-over-the-homeless-Woman-Family-and-Community-Development-Minister-Datuk-Seri-Rohani-Abdul/

    [2] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/homeless-beg-to-be-freed-from-sungai-buloh-centre

Leave a reply.