• Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan perlu menunaikan janji beliau ketika di Parlimen untuk mendedahkan semua dokumen-dokumen berkenaan Loji Sisa-kepada-Tenaga yang dicadangkan di Taman Beringin

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 15 Julai 2014

    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan perlu menunaikan janji beliau ketika di Parlimen untuk mendedahkan semua dokumen-dokumen berkenaan Loji Sisa-kepada-Tenaga yang dicadangkan di Taman Beringin

    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini menulis melalui laman sosial Twitter beliau bahawa Loji Sisa-kepada-Tenaga di Taman Beringin Kepong akan dibina secara Inisiatif Pembiayaan Persendirian dengan kos pembinaan yang ditanggung oleh tender yang berjaya. Kerajaan hanya perlu membayar upah per tan dengan tidak menanggung perbelanjaan modal bagi loji tersebut.1

    Sekiranya perkara ini berlaku, Menteri mesti mendedahkan bayaran tip per tan Loji Sisa-kepada-Tenaga agar perbandingan boleh dilakukan dengan upah per tan yang dibayar oleh DBKL sekarang. Menurut pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Negara, Dato Dr Nadzri Yahaya, anggaran yuran yang dibayar oleh DBKL berjumlah RM84 (termasuk kos pengangkutan). Jika upah per tan yang akan dibayar jauh lebih tinggi berbanding upah per tan semasa, penduduk Kuala Lumpur akan menjadi mangsa dengan terpaksa membayar kadar cukai taksiran yang lebih tinggi.

    Saya ingin mengingatkan Menteri bahawa kos operasi per tan bagi insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi dan Cameron Highlands semuanya melebihi RM200 dengan yang tertinggi ialah RM363 per tan di Cameron Highlands.2 Jika kos modal bagi insinerator ini dimasukkan, maka kos per tan akan jauh lebih tinggi daripada RM200.

    Semua maklumat tersebut termasuk anggaran upah per tan adalah seperti yang dinyatakan di dalam dokumen tender (atau Request for Proposal /RfP) bagi loji sisa-kepada-tenaga yang dicadangkan. Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS melalui laman sosial Twitter beliau memaklumkan kepada saya pada tarikh 7 Julai 2014 bahawa “RfP dijadualkan akan diterbitkan pada minggu ke-3 bulan Julai 2014”. Apabila saya bertanya kepada pengarah tersebut melalui laman sosial Twitter sama ada RFP ini akan diterbitkan di laman web UKAS atau tidak, beliau tidak memberi sebarang maklum balas.

    Saya ingin mengingatkan Menteri tentang jawapan beliau semasa di Parlimen pada 26 November 2013 ketika perbahasan bajet di mana beliau berkata – “So, once we – tender ini adalah tender antarabangsa, tender terbuka antarabangsa yang akan diiklankan dan akan pamerkan segala data Yang Berhormat hendakkan. You know Yang Berhormat, kita tidak mahu seperti mana yang saya katakana, kita mahu yang terbaik untuk rakyat dan penduduk Kuala Lumpur.” (pg. 176, DR26112013)

    Setakat ini dalam perbincangan kami yang panjang di laman sosial Twitter, Menteri tidak menyatakan sebarang kata putus sama ada tender atau dokumen-dokumen RFP akan diterbitkan untuk tatapan awam. Saya menyeru Menteri untuk mengotakan janji yang telah dibuat di Parlimen iaitu dokumen-dokumen tender akan didedahkan kepada umum dan begitu juga untuk identiti pembida loji sisa-kepada-tenaga. Kegagalan pihak Menteri untuk melakukan sedemikian bermakna beliau telah memungkiri janji dan jelas membuktikan bahawa kementerian sememangnya menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan rakyat.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.