• Akta Orang-Orang Papa tidak harus digunakan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan untuk menahan golongan gelandangan

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, Akta Orang Orang Papa Ops Qaseh pada 6 Julai, 2014

    Akta Orang-Orang Papa tidak harus digunakan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan untuk menahan golongan gelandangan

    Gelandangan di Kuala Lumpur akan menghadapi ancaman serius terhadap kebebasan mereka apabila “Ops Qaseh” dilancarkan pada hari Isnin ini. Operasi tersebut akan diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.1 Menterinya, Dato’ Seri Rohani Abdul Karim, telah berkata bahawa, ini akan menjadi satu operasi ‘komprehensif’ untuk “memastikan tidak akan ada lagi rakyat Malaysia yang mengemis dan berkeliaran di sekitar jalan-jalan tanpa mendapat perlindungan yang sesuai”. Tambahan pula, beliau melaporkan bahawa gelandangan tersebut akan “diberi penjagaan dan pemulihan selama tiga tahun dan boleh dikeluarkan awal di bawah dua syarat, seperti mana yang terkandung di dalam Seksyen 8 (1) Akta Orang-Orang Papa 1977: jika ia berpuas hati bahawa penghuni itu telah mendapat pekerjaan yang sesuai untuk menyenggara dirinya; atau kepada jagaan seseorang yang mahu dan berkebolehan menjaga dan menanggung penghuni itu dengan sepatutnya”.

    Di bawah Akta ini, Orang Papa bermaksud: “(a)seseorang yang didapati mengemis di sesuatu tempat awam dengan sebegitu cara hingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegusaran kepada orang yang lazim mengunjungi tempat itu atau pun hingga menimbulkan kacau ganggu; atau (b) seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam, sama ada atau tidak mengemis, yang mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau tidak dapat menyatakan hal dirinya atau memuaskan.” Seseorang gelandangan yang tidak mengemis akan jatuh di bawah kategori (b) Orang Papa menurut Akta ini.

    Seksyen 3 Akta Orang-Orang Papa (DPA) 1977 membolehkan seorang Majistret untuk mengarahkan seseorang gelandangan untuk tinggal di rumah kebajikan sehingga satu bulan. Seksyen 4 DPA membolehkan seseorang Majistret, berdasarkan syor seseorang pegawai kebajikan masyarakat, untuk memerintahkan seseorang gelandangan untuk kekal di rumah kebajikan sehingga tempoh 3 tahun dan perintah ini boleh dilanjutkan selama tiga tahun lagi. Ini bermakna, gelandangan tersebut boleh ditahan dengan paksaan untuk tempoh berpanjangan sehingga 6 tahun!

    Tambahan pula, menterinya berkata bahawa mereka yang ditahan di bawah Ops Qaseh tidak akan dibebaskan sehingga mereka telah menemui pekerjaan yang sesuai atau seseorang sukarelawan untuk menjaga mereka termasuk menyediakan mereka dengan perumahan seperti Seksyen 8 (1) DPA.

    Ramai gelandangan yang berada di Kuala Lumpur tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana terputus hubungan dengan ahli keluarga mereka. Memerintahkan mereka untuk mencari pekerjaan yang tetap atau mempunyai rumah kediaman sebelum mereka dibebaskan dari rumah-rumah kebajikan adalah satu bentuk kezaliman dan tindakan yang sangat culas. Sedangkan penjenayah yang telah dipenjarakan tidak dikehendaki untuk membuktikan bahawa mereka perlu mempunyai pekerjaan atau rumah kediaman sendiri sebelum mereka dibebaskan.

    Untuk meletakkan gelandangan di dalam rumah-rumah kebajikan, terutamanya jika ia adalah bertentangan dengan kehendak mereka, adalah satu bentuk pelanggaran hak politik. Menggunakan DPA untuk menahan gelandangan menjadikan mereka seperti seorang penjenayah, justeru ia mesti dikutuk.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.