• Menyeru Seluruh Rakyat Malaysia Untuk Menyokong Kebebasan Beragama Untuk Kumpulan Minoriti Di Seluruh Dunia

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 3 Julai 2014

    Menyeru Seluruh Rakyat Malaysia Untuk Menyokong Kebebasan Beragama Untuk Kumpulan Minoriti Di Seluruh Dunia

    Dilaporkan semalam bahawa kerajaan pusat di Beijing, China telah mengharamkan kakitangan awam, pelajar dan guru-guru di kawasan majoriti muslim Xinjiang untuk berpuasa pada bulan Ramadan.[1] Pengharaman terhadap penjawat awam, pelajar dan guru-guru yang beragama Islam untuk berpuasa pada bulan Ramadan sebenarnya memaksa mereka untuk mengingkari salah satu daripada lima Rukun Islam. Ini amat bertentangan dengan prinsip dan hak kebebasan beragama iaitu kebebasan seseorang individu untuk mengamalkan agama yang dipercayainya.

    Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penindasan terhadap minoriti Islam di China melalui arahan memaksa kakitangan awam, pelajar dan guru-guru yang beragama Islam untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan.

    Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong hak penduduk Islam di Xinjiang untuk berpuasa di bulan Ramadan. Saya juga menyeru kepada orang bukan Islam di Malaysia untuk menunjukkan solidariti menyokong kebebasan beragama untuk golongan minoriti di seluruh dunia dengan berpuasa selama sehari di bulan Ramadan bersama-sama dengan rakan-rakan kita yang beragama Islam.

    Hari ini merupakan hari yang kelima saya berpuasa pada bulan Ramadan untuk tahun yang ke-2 saya berbuat demikian. Sebagai seorang yang bukan Islam, saya sangat menghargai peluang dan menjunjung tinggi hak untuk berpuasa di bulan Ramadan. Ia juga merupakan sebagai satu kaedah untuk memahami dan merasai pengalaman berpuasa bersama rakan-rakan saya yang beragama Islam.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.scmp.com/news/china/article/1544914/china-bans-xinjiang-officials-and-schools-participating-ramadan

Leave a reply.