• Tegakkan kebebasan akademik demi mempertingkatkan penyelidikan dan kecemerlangan akademik

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming pada 30 Jun 2014

    Tegakkan kebebasan akademik demi mempertingkatkan penyelidikan dan kecemerlangan akademik

    Saya membaca dengan resah hati berita hari ini bahawa jawatan Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan sebagai Pengarah untuk Pusat Universiti Malaya bagi Demokrasi dan Pilihan Raya(UMcedel) tidak diperbaharui. Laporan berita tersebut juga menimbulkan spekulasi bahawa keputusan ini disebabkan tekanan politik atas kajian penyelidikan Profesor Redzuan yang kononnya memburukkan imej BN serta program-program yang membabitkan ahli politik, termasuk Ahli-Ahli Parlimen, daripada Pakatan Rakyat.[1]

    Saya sendiri telah dijemput oleh UMCedel untuk menyertai forum sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2013 demi berkongsi penemuan analisis saya. Forum ini telah dipengerusikan oleh Profesor Redzuan dan ahli-ahli panel lain yang dijemput, termasuk Datuk Saifuddin Abdullah, bekas Ahli Parlimen Temerloh dan Shamsul Iskandar, Ahli Parlimen yang baru untuk Bukit Katil. Nurul Izzah juga telah dijemput untuk forum ini tetapi tidak mengambil bahagian sebagai ahli panel.[2] Penglibatan jenis ini dengan BN dan juga ahli-ahli politik Pakatan Rakyat seharusnya menjadi sebahagian daripada agenda penyelidikan di mana-mana institusi atau pusat yang mengkaji dan melakukan penyelidikan mengenai pilihan raya di Malaysia.

    Di samping itu, kerja-kerja penyelidikan kaji selidik yang dilakukan oleh UMCedel, di bawah pimpinan Profesor Redzuan, harus dipuji kerana berani mengerakkan agenda bagi kajian penyelidikan pilihan raya yang masih di peringkat awal di Malaysia. Harus dinyatakan bahawa UMCedel sebenarnya telah membuat ramalan yang tepat dalam meramalkan kemenangan undi popular untuk Pakatan Rakyat dan kemenangan kerusi majoriti untuk BN pada PRU ke-13.[3] Walaupun terdapat ruang sah untuk mengkritik metodologi yang digunakan UMCEDEL dalam kaji selidik, tidak ada sebab sah untuk menghukum Profesor Redzuan hanya kerana hasilnya tidak memihak kepada BN.

    Yang malang sekali, keputusan untuk tidak memperbaharui jawatan Profesor Redzuan sebagai Pengarah UMCedel sangat berlawanan dengan semangat semasa, iaitu ketika negara sedang menyambut berita baik tentang tiga ahli akademik yang mendapat pengiktirafan Ahli Sains Paling Berpengaruh Dunia 2014, iaitu Prof Dr Abdul Latif Ahmad (USM), Prof Dr Ishak Hashim (UKM) dan Prof Saidur Rahman (UM).[4] Kebebasan akademik, terutamanya bagi bidang sains sosial yang menyentuh subjek sensitif melibatkan politik, merupakan sebahagian penting daripada kegiatan penyelidikan di mana-mana universiti.

    Jika benar Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Zaini Ujang, bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku ke atas Profesor Redzuan, ia merupakan hari paling menyedihkan untuk kebebasan akademik negara memandangkan Dr. Zaini adalah bekas ahli akademik di UTM dan beliau seharusnya tahu nilai kebebasan akademik.

    Saya menyeru Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato Seri Idris Jusoh, untuk memberi komitmen penuh ke arah menegakkan kebebasan akademik di semua institusi pengajian tinggi awam serta swasta dan untuk menegaskan kepada semua penjawat awam dan naib canselor bahawa kebebasan akademik merupakan bahagian paling penting dalam usaha meningkatkan taraf akademik dan pendidikan negara. Ahli-ahli akademik yang menjalankan penyelidikan akademik yang sah termasuk dalam bidang politik dan sains politik tidak patut dihukum hanya kerana keputusan penyelidikan tidak memihak kepada pemerintah.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/um-professor-resigns-following-orders-from-education-ministry

    [2]http://umcedel.um.edu.my/images/umcedel/berita/UMcedel%20FOCUS.pdf

    [3]http://www.malaysiakini.com/news/228206

    [4]http://sciencewatch.com/sites/sw/files/sw-article/media/worlds-most-influential-scientific-minds-2014.pdf

Leave a reply.