• Setakat mana ‘pencapaian’ yang digariskan dalam Laporan Tahunan 2013 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) boleh dipercayai memandangkan Kementerian Pendidikan tidak dapat menjelaskan bagaimana PT3 akan menggantikan PMR mulai tahun ini?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 23hb Jun 2014

    Setakat mana ‘pencapaian’ yang digariskan dalam Laporan Tahunan 2013 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) boleh dipercayai memandangkan Kementerian Pendidikan tidak dapat menjelaskan bagaimana PT3 akan menggantikan PMR mulai tahun ini?

    Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas usaha beliau untuk menunaikan janji yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu untuk menyediakan laporan tahunan tentang perlaksanaan PPPM. Laporan Tahunan 2013 PPPM yang disediakan oleh Unit PADU di Kementerian Pendidikan menonjolkan pelbagai kejayaan yang dicapai dalam tahun pertama pelaksanaan PPPM.[1]

    Malangnya, ia memang sukar bagi saya untuk mempercayai pencapaian ini memandangkan Kementerian telah gagal menyelesaikan satu isu yang jauh lebih asas – iaitu untuk menjelaskan kepada guru-guru, ibu bapa dan pelajar bagaimana PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) akan menggantikan PMR (Penilaian Menengah Rendah) bagi pelajar-pelajar Tingkatan 3.

    Dalam jawapan lisan Parlimen yang telah saya terima pada 18hb Jun yang lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Haji Idris Jusoh, telah menjelaskan bahawa dua surat pekeliling telah dikeluarkan oleh Kementerian untuk menjelaskan PT3 dan telah dimuat naik ke laman web Lembaga Peperiksaan (LP) – www.moe.gov.my/lp. (Lampiran 1). Malangnya, inilah hasil yang telah saya dapati apabila cuba melawat laman web LP pada pukul 10:15 pagi hari ini. Saya telah cuba untuk mengakses laman web ini sejak Khamis lalu (18hb Jun 2014), tetapi langsung tidak berjaya.

    Saya berjaya menjumpai laman web alternatif untuk Lembaga Peperiksaan – http://www.lp.edu.my/ – tetapi apabila saya klik pada halaman PMR, inilah hasil yang telah saya dapati.

    Satu surat pekeliling bertarikh 31 Mac 2014, yang dikeluarkan oleh Kementerian, menggariskan dengan lebih terperinci bagaimana PT3 akan menggantikan PMR.[2] Peperiksaan berpusat tidak akan wujud lagi dan PMR akan digantikan dengan peperiksaan sekolah yang berdasarkan instrumen dan panduan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak LP. Garis panduan pelaksanaan PT3 sepatutnya dinyatakan secara terperinci di laman web LP. Namun, hampir tiga bulan selepas pengeluaran surat pekeliling ini dan selepas Menteri merujuk kepada laman web LP dalam jawapan parlimen beliau, baik garis panduan mahupun laman web LP pun tidak boleh diakses.

    Ketidaktentuan tentang pelaksanaan PT3 telah menyebabkan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng, pada 15hb Jun, meminta Lembaga Peperiksaan memberi taklimat kepada guru-guru bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PT3.[3]

    Jikalau guru-guru sendiri mempunyai kerisauan terhadap pelaksanaan PT3, saya hanya boleh bayangkan kekeliruan ibu bapa kepada pelajar-pelajar Tingkatan 3. Dalam kajian keluarga berpendapatan rendah yang dikendalikan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), salah satu penemuan utama adalah jurang maklumat di antara rancangan kerajaan dan maklumat yang diterima oleh golongan miskin. Jurang maklumat ini pasti akan termasuk rancangan untuk menggantikan PMR dengan PT3 walaupun jaminan telah diberikan oleh Menteri bahawa wakil-wakil dari semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGs) di seluruh negara akan diberi taklimat mengenai perubahan ini.

    Jikalau Kementerian tidak dapat menjelaskan dan melaksanakan sesuatu yang begitu asas seperti PT3, setakat mana ‘pencapaian’ yang disenaraikan dalam Laporan Tahunan 2013 PPPM dapat dipercayai?

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Jawapan Parlimen Dato Seri Haji Idris Jusoh tentang PT3 pada 18hb Jun 2014

    [1] http://www.padu.edu.my/files/AR/PADU_AR_2013_BM.pdf

    [2]http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/circularfile/2014/circularfile_file_001134.pdf dan http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/circularfile/2014/circularfile_file_001135.pdf

    [3]http://www.therakyatpost.com/news/2014/06/15/union-wants-exam-board-brief-teachers-pt3-exam/ dan http://www.sinarharian.com.my/nasional/nutp-gesa-lpm-perjelas-pelaksanaan-pt3-1.290306

Leave a reply.