• Kerajaan Negeri Selangor tidak harus lupa kawasan-kawasan yang terjejas oleh gangguan bekalan air disebabkan permintaan yang tinggi dan kekurangan kapasiti di loji rawatan air

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 20 Jun 2014

    Kerajaan Negeri Selangor tidak harus lupa kawasan-kawasan yang terjejas oleh gangguan bekalan air disebabkan permintaan yang tinggi dan kekurangan kapasiti di loji rawatan air

    Kami menyambut baik jaminan Negeri Selangor bahawa tidak akan ada catuan air semasa musim kemarau di negeri ini yang disebabkan oleh fenomena cuaca El Nino.[1] Kami mengharap inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk pengepaman air daripada kolam bekas perlombongan, pembenihan awan di kawasan-kawasan yang terpilih dan Hybrid Off-River Augmentation System (HORAS) akan membuahkan hasil dalam mencegah keperluan untuk mencatu air dalam masa akan datang.[2]

    Pada masa yang sama, kami menggesa kerajaan negeri untuk tidak melupakan masalah air di kawasan-kawasan yang tidak dibekalkan air daripada Empangan Selangor termasuklah Balakong dan Bangi. Pada 17hb Jun 2014, satu gangguan air yang serius telah diumumkan oleh Syabas di kawasan Hulu Langat yang menjejaskan sehingga 33,446 isi rumah.[3] Gangguan ini berpunca daripada penurunan aras air di sesetengah kolam termasuk Kolam Terminal Bangi, Kolam Tasik Kesuma, Kolam Bandar Teknologi, Kolam Bangi Golf, Kolam Semenyih Baru dan Kolam Kajang Utama, yang semuanya memperoleh bekalan air daripada Loji Rawatan Air di Semenyih. Penurunan aras air ini telah menyebabkan permintaan tinggi yang melebihi kapasiti bekalan air daripada Loji Rawatan Air Semenyih.

    Gangguan air di kawasan-kawasan yang tidak dibekalkan oleh Empangan Selangor meliputi 40% dari jumlah isi rumah negeri ini. Gangguan ini tidak dapat diatasi dengan cara pengepaman air ke dalam Sungai Selangor. Kami menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk tidak melupakan masalah gangguan air yang serius di kawasan-kawasan tersebut dan menyediakan perancangan yang menyeluruh untuk mengatasi masalah ini, yang termasuk tetapi tidak terhad kepada langkah-langkah yang berikut:

    (i)             Menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Air berperingkat tinggi yang terdiri daripada Menteri Besar, EXCO-EXCO, ADUN-ADUN yang dipilih dan pegawai-pegawai kerajaan untuk mencari penyelesaian tambahan bagi masalah air.

    (ii)           Mewujudkan satu pasukan penyelia air bagi kawasan-kawasan yang mudah terdedah kepada gangguan air dan menyediakan sumber-sumber yang mencukupi.

    (iii)         Melaksana polisi penjimatan air yang lebih tegas seperti menghentikan semua operasi pencucian kereta haram serta menyediakan insentif untuk sistem penyimpanan air di projek-projek perumahan baru.

    (iv)          Memperkenalkan program pendidikan penjimatan air yang lebih agresif di kawasan-kawasan setempat.

    (v)           Bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (DOE) untuk melaksanakan standard yang tegas bagi pembuangan sisa-sisa kilang dan loji-loji pemulihan sistem kumbahan yang menyalurkan efluen ke sungai-sungai seperti Sungai Langat.

    Gaya pemikiran dan langkah yang pro-aktif akan meyakinkan penduduk-penduduk Selangor bahawa kerajaan negeri sedang berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan gangguan air dan mencegah keperluan untuk catuan air dilaksanakan nanti.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

     

    [1] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/selangor-guarantees-no-water-rationing-in-near-future

    [2] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/we-have-enough-water-for-dry-spell-says-luas

    [3] http://www.syabas.com.my/press-release/gangguan-bekalan-air-tidak-berjadual-di-wilayah-hulu-langat-akibat-permintaan-tinggi-dan-kekurangan-bekalan

Leave a reply.