• Tahniah kepada SEDA kerana berjaya menjalankan undi terbuka untuk Kuota Fit bagi Solar PV

    Kenyataan Media Bersama oleh Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua, dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah

    Tahniah kepada SEDA kerana berjaya menjalankan undi terbuka untuk Kuota Fit bagi Solar PV

    Hampir 2 tahun telah berlalu sejak pembongkaran Tony Pua dan Nurul Izzah bahawa peratusan Kuota FiT untuk Solar PV yang besar telah dianugerahkan kepada syarikat yang dikuasai oleh individu tertentu yang dikaitkan dengan seorang penjawat awam yang telah bersara.[1]

    Sistem aplikasi tersebut telah dibelenggu oleh sistem berkomputer yang berteraskan “first-come-first-served”. Namun, Pengerusi pada masa itu, Tan Sri Fong Chan Onn dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Badriyah Abdul Malek telah mempertahankan sistem tersebut sebagai ‘sistem yang adil’ walaupun dilempari pelbagai kritikan dan bantahan daripada pihak industri dan kami sendiri. Sistem “first-come-first-served” ini bukan sahaja membenarkan pihak-pihak tertentu membentuk strategi permohonan untuk memenangi peratusan kuota yang lebih besar, malah sistem komputer ini juga kerap kali rosak yang menyebabkan huru-hara dan hasil keputusan yang kurang memuaskan.

    Setelah SEDA membuat beberapa perubahan yang positif kepada sistem FiT, akhirnya semalam SEDA telah menggunakan kaedah undi terbuka untuk Kuota FiT untuk Solar PV.[2] Oleh itu, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif SEDA yang baru iaitu Ms. Catherine Ridu dan pasukannya atas inisiatif merombak proses pengundian yang berani ini. Ia akhirnya akan menjamin peluang yang saksama untuk semua pemohon yang layak dan berminat terhadap kuota lesen tenaga boleh baharu.

    Keluaran terkini iaitu 10mw daripada Kuota FiT untuk Solar PV bagi pemohon <425kWh bukan individu telah diadakan semalam pada 18hb Jun 2014 di Hotel Everly Putrajaya. Di sana, SEDA telah mengendalikan satu sesi undi terbuka yang turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air, Dato Seri Mahdzir bin Khalid serta Ketua Pegawai Eksekutif yang baru, Catherine Ridu dan yang paling penting, semua pemohon yang telah mengemukakan permohonan untuk Kuota FiT. Proses undi terbuka ini dikawal selia oleh Deloitte dan Co, sebuah syarikat audit dan wakil-wakil daripada pejabat Ketua Audit Negara, Institut Integriti Malaysia serta Persatuan Perusahaan Photovoltaic Malaysia (MPIA) yang hadir sebagai pemerhati untuk keseluruhan proses. Undi terbuka ini bermula pada jam 3 petang dan ia dibahagikan kepada 3 kotak – bagi kuota yang kurang dari 72kWh (Kategori A), bagi kuota antara 72kWh hingga 180kWh (Kategori B), dan bagi kuota dari 180kWh hingga 425kWh (Kategori C) – untuk memastikan pemohon-pemohon yang ‘kecil’ tidak ketinggalan untuk pembahagian kuota.

    Bagi Kategori A, sejumlah 42 permohonan telah berjaya dan diperuntukkan 1.5MW. Bagi Kategori B, sebanyak 13 permohonan berjaya dan diperuntukkan 2.145MW. Bagi Kategori C, sejumlah 18 permohonan berjaya dan diperuntukkan 6.8MW. Keputusan undi terbuka ini telah dipaparkan dalam laman web SEDA malam tadi, pada 18 Jun 2014.[3]

    Undi terbuka yang dilakukan di hadapan semua pihak yang berkepentingan serta juruaudit antarabangsa merupakan satu contoh yang kami harapkan boleh diikut oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

    Kami menggesa Ketua Eksekutif SEDA yang baru dan juga Menteri Tenaga, Teknologi dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk meneruskan sistem undi terbuka ini bagi kuota FiT yang lain yang terlebih langgan demi memastikan keadilan dan ketelusan sistem. Sekiranya SEDA atau Kementerian memberikan Kuota FiT Solar PV kepada permohonan bukan individu bagi >425kWh hingga 1MW melalui proses tertutup, ia akan seumpama ‘selangkah ke hadapan, dua langkah ke belakang’. (5MW akan diberikan kepada Sabah dan Labuan manakala 10MW akan diberikan kepada Semenanjung Malaysia).

    Kami juga menyeru Menteri untuk menghentikan semua rundingan terus bagi projek-projek berskala besar PV Solar demi memastikan keadilan dan ketelusan serta memberi jaminan bahawa proses rundingan terus bagi projek-projek mega PV Solar dengan 1MDB tidak akan diteruskan lagi, memandangkan bahawa terdapat laporan baru-baru ini bahawa 1MDB mungkin diberikan projek rundingan terus yang berjumlah 500MW![4]

    Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang

    Tony Pua, Ahli Perlimen PJ Utara

    Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai

     

    [1] http://tonypua.blogspot.com/2012/07/tan-sri-sidek-hassans-daughter-won.html dan http://www.nurulizzah.com/site/2012/07/23/media-statement-by-nurul-izzah-anwar-and-tony-pua-member-of-parliament-for-lembah-pantai-and-petaling-jaya-utara-in-petaling-jaya/

    [2] https://efit.seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000010100001000110&id=1294

    [3] http://seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&y=45&s=3906

    [4] http://www.businesstimes.com.sg/premium/top-stories/1mdb-holds-board-meeting-lucerne-20140614

Leave a reply.