• MAIS telah melanggar Perlembagaan dan tidak mematuhi undang-undang dengan keengganan mengembalikan Alkitab BSM malah mendesak supaya Alkitab dilupuskan

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, 16 Jun 2014

    MAIS telah melanggar Perlembagaan dan tidak mematuhi undang-undang dengan keengganan mengembalikan Alkitab BSM malah mendesak supaya Alkitab dilupuskan

    Selepas pengumuman Peguam Negara bahawa kes Alkitab Melayu dan Bup Kudus Iban Persatuan Alkitab Malaysia (BSM) telah ditutup, tindakan wajar yang patut diambil oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ialah untuk mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengembalikan Alkitab yang dirampas kepada BSM.

    Namun, MAIS bukan sahaja enggan meminta JAIS untuk mengembalikan Alkitab tersebut, malah mereka telah mengambil langkah tambahan untuk meminta supaya Alkitab ini dilupuskan. MAIS telah mengeluarkan 2 kenyataan media dalam tiga hari untuk mempertahankan tindakan JAIS menyerbu pejabat BSM dan tidak mengembalikan Alkitab selepas pengumuman Peguam Negara.

    Malangnya, MAIS telah menggunakan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan undang-undang negeri untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam” dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Tahun 1988, sebagai alasan untuk serbuan JAIS dan desakan yang berterusan supaya Alkitab ini tidak dikembalikan kepada BSM.

    Tetapi sehingga hari ini, baik JAIS mahupun MAIS gagal menghasilkan sebarang bukti menunjukkan Alkitab BSM digunakan untuk tujuan menyebarkan agama Kristian di kalangan penganut Islam di Malaysia! Peguam Negara juga tidak merujuk kepada apa-apa bukti ataupun siasatan yang dihasilkan oleh JAIS sebagai pengesahan bahawa BSM berniat menggunakan Alkitab ini untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan penganut Islam di Malaysia. Tambahan pula, Peguam Negara telah memutuskan bahawa ‘buku-buku yang dirampas bukan merupakan tulisan di bawah Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan DiKalangan Orang Islam) 1988. Ini bermaksud bahawa penerbitan Alkitab BSM bukan satu kesalahan dan BSM tidak boleh didakwa untuk ini!

    Tanpa sebarang bukti bahawa Alkitab BSM telah atau pun akan digunakan untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan penganut Islam di Malaysia, kegagalan MAIS untuk meminta JAIS mengembalikan Alkitab kepada BSM sebenarnya melanggar Perlembagaan.

    Tambahan pula, dalam kenyataan yang bertarikh 14hb Jun, MAIS telah mendesak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di Selangor untuk mendapatkan perintah pelupusan untuk bukti dalam kes ini iaitu Alkitab BSM, mengikut Seksyen 407A Kanun Acara Jenayah (CPC).

    Desakan meminta pelupusan Alkitab di bawah Kanun Acara Jenayah sememangnya melanggar undang-undang, kerana Peguam Negara sendiri telah memutuskan bahawa tiada undang-undang yang dilanggar dengan penerbitan Alkitab BSM!

    Oleh itu, MAIS dan JAIS perlu bekerjasama untuk memastikan pemulangan kesemua Alkitab BSM kepada pemiliknya. Langkah pertama yang perlu diambil MAIS dan JAIS adalah memulangkannya dan memastikan semua yang dirampas dalam keadaan baik serta tidak rosak mahupun dilupuskan.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.