• EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam, Sallehin Mukhyi, perlu bekerjasama dengan JAIS untuk mengembalikan Al-Kitab Melayu dan Bup Kudus Iban BSM secepat mungkin tanpa perlu berunding dengan Peguam Negara

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 14 Jun 2014

    EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam, Sallehin Mukhyi, perlu bekerjasama dengan JAIS untuk mengembalikan Al-Kitab Melayu dan Bup Kudus Iban BSM secepat mungkin tanpa perlu berunding dengan Peguam Negara

    Dilaporkan semalam bahawa EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam, Sallehin Mukhyi, akan bertemu dan mendapatkan nasihat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, berhubung cara memulangkan Al-Kitab yang dirampas daripada Bible Society of Malaysia (BSM) pada bulan Januari lalu “mengikut undang-undang.”[1]

    Saya keliru mengapa Sallehin perlu bertemu dengan Peguam Negara berhubung perkara ini memandangkan Peguam Negara sendiri telah mengeluarkan kenyataan pada 11hb Jun 2014 bahawa kitab yang dirampas JAIS itu tidak tertakluk di bawah Seksyen 9(1)(1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di kalangan Orang Islam) 1988. Peguam Negara juga telah mengesahkan bahawa kitab-kitab tersebut juga tidak termasuk dalam senarai barang kawalan Kementerian Dalam Negeri dan tidak mengancam keselamatan negara. Mengikut penjelasan Peguam Negara, dakwaan tidak akan dibuat dan kes ini dikira selesai.[2]

    Selepas keputusan Peguam Negara, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengumumkan bahawa Sallehin dan penasihat undang-undang negeri Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman akan membantu JAIS memulangkan Al-Kitab dan Bup Kudus kepada BSM.[3] Pengumuman itu tidak menyebut pun keperluan mendapat nasihat Peguam Negara.

    Maka, Sallehin tidak patut mencari apa-apa alasan untuk menangguhkan pemulangan Al-Kitab itu. Beliau harus menggunakan kebijaksanaan serta budi-bicara beliau serta penasihat undang-undang negeri untuk bekerjasama dengan JAIS bagi memulangkan kitab milik BSM secepat mungkin. Proses pemulangan kitab-kitab kepada BSM seharusnya dibuat dengan aman, serta menggunakan kaedah yang dapat meningkatkan kepercayaan antara kerajaan Selangor, JAIS dan BSM. Ini akan menunjukkan kejujuran kerajaan negeri dalam mempromosikan hubungan yang harmoni antara mereka dan penganut pelbagai agama di Selangor. Semua ini boleh dilakukan tanpa apa-apa keperluan lagi untuk berunding dengan Peguam Negara yang akan melambatkan pengembalian Al-Kitab dan Bup Kudus kepada BSM yang sememangnya merupakan hakmilik mereka.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://www.therakyatpost.com/news/2014/06/13/seized-bibles-returned-way-taken/

    [2] http://www.agc.gov.my/pdf/Latest%20Info/press/KENYATAAN%20MEDIA%20PEGUAM%20NEGARA%20BERHUBUNG%20ISU%20RAMPASAN%20BIBLE%20OLEH%20JAIS.pdf

    [3] http://www.therakyatpost.com/news/2014/06/12/selangor-orders-seized-bibles-returned/

Leave a reply.