• Menyeru kerajaan tubuh Jawatankuasa Kerja Antara Kementerian untuk menangani isu gelendangan

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 13 Jun 2014

    Menyeru kerajaan tubuh Jawatankuasa Kerja Antara Kementerian untuk menangani isu gelendangan

    Menurut laporan berita semalam, kerajaan sedang merancang tindakan ops yang besar bagi menangani isu gelendangan dan pengemis di KL mulai bulan depan iaitu Julai 2014.[1] Tindakan ops ini akan dilancarkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan bantuan pihak polis, Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya (DBKL) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

    Namun, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri, Dauk Seri Rohani Abdul Karim, yang telah dilaporkan dalam pelbagai laporan berita menunjukkan bahawa beliau kurang memahami serta kurang empati terhadap masalah gelendangan.

    Rancangan “Ops Qaseh” adalah untuk membawa kesemua gelandangan untuk ‘diintegrasi semula’ di pusat tahanan Sungai Buloh di mana mereka akan diberikan ‘makanan, penginapan, kaunseling, kemudahan rekreasi, kesihatan dan latihan dalam bidang pertanian, kemahiran vokasional serta kraftangan.’Di samping hakikat bahawa rancangan ini seakan-akan ‘memenjarakan’ gelendangan – yang sebenarnya bukan jenayah –tiada jaminan pun bahawa ‘perkhidmatan’ komprehensif yang disenaraikan oleh Menteri akan disediakan dengan secukupnya di pusat penempatan tersebut. Contohnya, Anjung Singgah yang merupakan pusat perlindungan gelendangan di Jalan Hang Lekiu yang dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara tidak menggalakkan sama sekali. Sebelum ini, dua wartawan Akhbar Harian Metro pernah menyamar sebagai gelandangan dan telah pergi ke pusat penempatan Anjung Singgah tetapi telah dihalau kakitangan mereka yang termasuk pegawai RELA.[2]

    ‘Hakikat’ yang disedari Menteri iaitu bahawa ramai gelendangan sebenarnya ‘sihat tubuh badan dan sedar’ serta ‘ada yang cuba untuk menjimatkan wang yang sebanyak mungkin untuk dihantar balik ke rumah dan memakan makanan yang disediakan oleh penyumbang-penyumbang bagi merendahkan kos’ apabila beliau ‘turun padang’ jelas membuktikan bahawa beliau tidak memahami kerumitan masalah gelendangan yang sebenarnya. Seperti yang dijelaskan oleh artikel ini[3], terdapat banyak sebab mengapa seseorang itu kehilangan tempat tinggal, termasuk orang-orang yang kelihatan cergas dan sihat. Ini termasuk penyakit mental, hutang judi, masalah dadah dan alkohol, ditinggalkan anak-anak, melarikan diri daripada pasangan yang bersikap mendera, bekas banduan yang gagal mencari pekerjaan, warga asing yang tamat tempoh visa mereka, dan lain-lain. Ramai daripada mereka tidak boleh bercakap Bahasa Melayu atau buta huruf, yang bermakna bahawa mereka tiada akses kepada sumber-sumber kerajaan atau bantuan seperti BR1M. Sesetengah daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah pun.

    Oleh itu, anggapan Menteri bahawa gelendangan boleh mendapatkan pekerjaan di pasar raya dan pasar raya besar yang kini diisi oleh warga asing selepas mereka telah ‘dipulihkan’ jelas silap. Hanya kerana beberapa pekerjaan ini adalah jenis pekerjaan berkemahiran rendah seperti ‘mengatur barang-barang, mengatur troli dan menyapu’, tidak bermakna bahawa setiap dan semua gelendangan boleh mengambil pekerjaan ini.[4]Akhir sekali, tindakan Menteri untuk meminta badan-badan bukan kerajaan yang sedang memberi makanan dan lain-lain jenis bantuan kepada gelendangan Kuala Lumpur ‘mengarahkan kerja amal mereka ke rumah-rumah dan tempat-tempat lain yang memerlukan bantuan, bukan di jalan-jalan’ jelas menunjukkan bahawa Menteri tidak mahu bekerjasama atau memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki NGO dalam rangka menangani masalah gelandangan. Kedua-dua wartawan Harian Metro yang dihalau dari Anjung Singgah telah mendapatkan rawatan yang lebih baik di pusat perlindungan yang diuruskan oleh badan-badan bukan kerajaan. Ini membuktikan bahawa kerajaan seharusnya menyokong usaha-usaha badan-badan bukan kerajaan dan bukannya cuba untuk menghentikan kerja mereka.

    Saya menyeru kerajaan Malaysia supaya menubuhkan Jawatankuasa Kerja Antara Kementerian bagi menyelaras usaha yang komprehensif dan sistematik untuk memahami dan kemudian menangani isu gelendangan dan bukannya mengambil ‘pendekatan berat’ dengan mengisytiharkan ‘perang’ ke atas gelendangan di jalan-jalan KL. Sebagai contoh, di United Kingdom, satu Jawatankuasa Kerja Antara Kementerianyang terdiri daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kehakiman, Menteri Pertahanan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran, Jabatan Kerja dan Pencen, serta Jabatan Kesihatan telah berkumpul bersama-sama untuk menggubal pelan yang komprehensif bagi menamatkan masalah ‘tidur kasar’ di UK.[5]

    Dalam pelan ini, Perdana Menteri David Cameron telah mengakui bahawa:

    “Laman-laman ini mengandungi pengiktirafan bahawa cara menangani isu tidur kasar adalah bukan sahaja dengan menyediakan rumah-rumah. Pendekatan yang diambil bertujuan menangani punca-punca gelendangan yang lebih luas, dari masalah perpecahan keluarga serta penyakit mental kepada masalah ketagihan dadah dan alkohol. Masalah gelendangan adalah kompleks dan pelbagai, dan itulah sebabnya mengapa Menteri-menteri dari seluruh kerajaan telah berkumpul bersama-sama untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja ini. Kami sedang membawa semua jabatan Whitehall yang relevan untuk mencuba menangani masalah ini secara kolektif.”

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa laporan dibikin juga mengakui bahawa:

    “Namun, pada akhir hari kami yang bekerja di Whitehall sebenarnya bukan orang yang membantu mencegah warga biasa daripada menjadi gelendangan – sebaliknya, mereka yang bekerja di ‘hujung tajam’ sebenarnya yang membantu membawa perubahan ini. Tindakan yang paling berjaya untuk menangani masalah gelendangan adalah tindakan yang berakar umbi dalam masyarakat tempatan – iaitu pihak berkuasa tempatan yang bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan masyarakat setempat, badan amal dan perniagaan. Kita mesti membebaskan orang dari birokrasi yang tidak diperlukan supaya mereka boleh bekerja bersama-sama dan menjadi satu contoh baik Masyarakat Besar yang bertindak.”

    Dalam konteks Malaysia, Jawatankuasa Kerja Antara Kementerian mestilah terdiri dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Menteri Wilayah Persekutuan dan Pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur. Jawatankuasa kerja ini harus terlibat dengan pihak berkepentingan, termasuk badan-badan bukan kerajaan yang membantu memberi pertolongan setiap hari kepada gelandangan. Tanpa strategi berkesan, tidak mustahil gelandangan yang dibawa ke Sungai Buloh pada bulan hadapan akan kembali semula ke jalanan sekitar Kuala Lumpur dan mungkin keadaan mereka menjadi makin buruk berbanding dengan sebelum mereka ditangkap.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/06/12/Ministry-to-clean-up-the-streets-Swoop-on-beggars-and-homeless-planned/

    [2]http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/02/25/No-shelter-for-homeless-man-Undercover-reporter-turned-away-from-govtrun-welfare-centre/ and http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/HentiketirisanAnjungSinggah/Article/index_html

    [3]http://www.thestar.com.my/Lifestyle/Features/2014/06/09/Nowhere-to-goMaking-a-case-for-the-homeless/

    [4]http://www.therakyatpost.com/news/2014/06/11/jobs-available-homeless-choose-beg-wait-free-food/

    [5]https://www.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/6261/1939099.pdf

Leave a reply.