• Adakah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sengaja memperlahankan usaha pendaftaran pengundi baru agar kurang tekanan untuk SPR menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam proses persempadanan yang akan datang, terutama di kawasan yang memihak kepada Pakatan?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 12 Jun 2014

    Adakah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sengaja memperlahankan usaha pendaftaran pengundi baru agar kurang tekanan untuk SPR menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam proses persempadanan yang akan datang, terutama di kawasan yang memihak kepada Pakatan?

    Pada 10 Jun 2014, saya meminta Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menghuraikan sama ada ia akan memperbaharui status Penolong Pendaftar (Assistant Registrars atau ARO) parti-parti politik supaya parti-parti politik boleh memulakan semula tugas mereka untuk mendaftarkan pengundi baru. Hampir semua ARO untuk DAP belum lagi diperbaharui selepas 2013 yang bermaksud bahawa kami tidak dapat menjalankan aktiviti pendaftaran pengundi semasa acara awam kita. Ketidakpembaharuan ARO bukan sahaja menjejaskan DAP tetapi juga parti-parti politik yang lain.

    Jawapan Menteri yang bertanggungjawab ke atas SPR, iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim, telah menjelaskan bahawa tiada perancangan untuk memperbaharui status ARO dari parti-parti politik. Menurut jawapan tersebut, SPR sedang menyelaraskan proses pendaftaran pengundi-pengundi. Saya juga ada baca laporan SPR tidak ingin memperbaharui status ARO kerana ada sebahagian yang menyalahgunakannya untuk mendaftar pengundi tanpa pengetahuan mereka, serta memberikan insentif wang kepada sesiapa yang mendaftar.

    Jawapan Menteri sungguh tidak memuaskan kerana ia tidak menghadapi hakikat bahawa bilangan pengundi baru telah merosot secara konsisten sejak suku pertama 2013. Jadual 1 menunjukkan bahawa jumlah pengundi baru pada suku pertama 2013 adalah 104,222, jumlah pengundi yang telah tukar alamat adalah 31,070 manakala jumlah pengundi yang dikeluarkan adalah 31,807. Jumlah pertambahan dalam bilangan pengundi (yang baru didaftarkan tambah dengan yang tukar alamat tolak yang telah dikeluarkan) adalah 10,422 pada suku pertama 2013. Sejak itu, jumlah itu berkurangan pada setiap suku. Untuk suku kedua, pertambahan pengundi adalah 47,671 dan suku ketiga pula hanya 8,434. Bermula suku keempat 2013, jumlah pertambahan adalah negatif iaitu -7941, yang bermakna jumlah pengundi dalam daftar berkurang. Yang terbaru, iaitu untuk suku pertama 2014, jumlahnya adalah -11,565.

    Jadual 1: Jumlah Pertambahan / Berkurangan Pengundi Berdaftar (Suku / Q1 2013 ke Q1 2014)

    Antara sebab jumlah pengundi berkurang adalah kerana SPR tidak aktif mendaftarkan pengundi baru. SPR dulu telah bergantung kepada parti-parti politik untuk membantu SPR menjalankan pendaftaran. Namun, memandangkan parti-parti politik kini tidak ada status ARO, maka kami tidak dapat mendaftarkan pengundi lagi. Ini merupakan sebab penting mengapa jumlah pengundi berdaftar baru telah berkurang semenjak suku pertama 2013.

    Kita tidak boleh mengelak daripada mengesyaki SPR sengaja memperlahan penambahan pengundi, kerana banyak pengundi baru ada di kawasan bandar yang menyokong Pakatan dalam Pilihanraya Umum lalu. Ini bermakna kurang tekanan untuk mereka menambah kerusi Parlimen dan DUN pada persempadanan semula akan datang. Saya menyeru SPR agar memperbaharui semula status ARO parti-parti politik dan hanya mengambil tindakan kepada ARO yang telah menyalahgunakan status mereka untuk membuat pendaftaran pengundi palsu, bukannya menghukum semua parti-parti politik atas kesalahan segelintir ARO yang tidak bertanggungjawab. Hanya dengan bantuan parti politik SPR dapat mendaftar lebih banyak pengundi baru dan mengurangkan bilangan pemilih layak yang tidak berdaftar. Melainkan jika SPR bercadang untuk melaksanakan pengundian automatik, di mana ARO tidak diperlukan lagi.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Soalan dan Jawapan tentang ARO dari Shahidan Kassim, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Leave a reply.