• Menyambut Ketua Pegawai Eksekutif baru SEDA Ms. Catherine Ridu

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 7 Jun 2014

    Menyambut Ketua Pegawai Eksekutif baru SEDA Ms. Catherine Ridu

    Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ms. Catherine Ridu atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutifbaru Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada 2 Jun 2014.[1]Sektor Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Malaysia kini menghadapi pelbagai cabaran serta peluang dan saya berharap bahawa Ms. Ridu akan menggunakan pengalaman beliau sebagai Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Pengawalseliaan dan Industri di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk memastikan sektor tenaga boleh baharu di Malaysia terus berkembang secara mampan.

    SEDA telah ditubuhkan dengan ‘ketelusan, keterbukaan dan integriti’ sebagai satu daripada nilai-nilai terasnya dan setakat ini, SEDA adalah salah satu daripada agensi-agensi kerajaan yang cuba untuk mengekalkan nilai teras ini. Contohnya, nama-nama syarikat danKuotaTarif Galakan (Feed-in Tariff atau FiT) yang diperuntukkan kepada mereka diterbitkan di laman web SEDA.[2]

    Semalam, pada 6 Jun 2014, SEDA telah mengadakan taklimat untuk semua pembekal fotovoltaik solar (PV) / sistem panel solar di IOI Report untuk memberi maklumat terkini mengenai sistem giliran untuk permohonan FiT solar PV individu.[3] Dalam taklimat ini, SEDA mengakui dan meminta maaf atas penggantungan sistem e-FIT mereka yang pada mulanya bertujuan untuk mengedarkan nombor gilian untuk kuota PV solar individu tetapi akhirnya tergendala kerana terlalu ramai pemohon telah cuba untuk log masuk ke dalam sistem.[4]

    Dalam taklimat ini, SEDA telah mendedahkan bahawa terdapat sejumlah 3865 permohonan untuk kuota solar PV individu 8MW untuk 2014. Daripada jumlah aplikasi ini, seramai 1110 permohonan telah berjaya mendapatkan nombor giliran dan dengan itu kuota FiT untuk 2014. Seramai 296 lagi permohonan berjaya mendapatkan nombor giliran yang melayakkan mereka untuk kuota FiT bagi 2015. Namun, seramai 2459 pemohon lain tidak berjaya mendapatkan apa-apa nombor giliran mungkin kerana mereka tidak dapat log masuk ke sistem. SEDA sepatutnya menjangkakan bahawa ramai yang akan cuba log masuk ke dalam sistem memandangkan perkara yang sama telah berlaku apabila SEDA membuka sistem e-FiT pada kali pertama iaitu pada 1hb Disember 2011.[5]Akhirnya, kegagalan besar pihak SEDA ini telah menyebabkan rasa tidak puas hati dan syak wasangka di kalangan pembekal sistem bahawa peruntukan nombor giliran telah ‘dimanipulasi.’

    Akibat daripada ketidakupayaan SEDA untuk menguruskan sistem e-FIT bagi peruntukan nombor giliran, SEDA telah menjanjikan tindakan pemulihan berikut dalam taklimat tersebut:

    (i) Menyediakan nombor giliran untuk kuota 2015 dan 2016 bagi pemohon yang tidak menerima apa-apa nombor giliran akibat daripada ketidakupayaan mereka untuk log masuk ke dalam sistem

    (ii) Untuk menggunakan sistem pengundian (sama ada fizikal atau sistem berkomputer melalui penjana nombor rawak) yang akan dikendalikan oleh pihak ketiga yang bebas

    (iii) Menerbitkan senarai syarikat yang telah mendapat nombor giliran dan peruntukan FiT untuk 2014 dan 2015 (tertakluk kepada kelulusan undang-undang) untuk memastikanketelusan dan menyakinkan orang ramai bahawa tiada ‘muslihat’ dalam pemberian nombor-nombor giliran

    (iv) Mencadangkan kepada Kementerian bahawa 296 pemohon yang telah menerima nombor giliran untuk 2015 sebaliknya diberi kuota untuk 2014

    (v) Mempertimbangkan pemberian bayaran balik untuk pemohon yang ingin menarik diri daripada membida kuota FiT selepas gagal mendapatkan nombor giliran

    (vi) Mencadangkan kepada Kementerian bahawa kadar asas untuk solar PV (individu) bagi 2014 tidak akan berubah bagi 2015

    (vii) Berjanji untuk menghabiskan proses peruntukan kuota 2015 pada akhir tahun ini agar pembekal sistem boleh memulakan pemasangan pada 1hb Januari 2015.

    Saya berharap Ketua Pegawai Eksekutif baru SEDA, Ms. Ridu, boleh mengkotakan janji-janji yang telah dibuat semalam oleh Ketua Pegawai Operasi SEDA, Ir Dr Ali Askar dan pasukannya.

    Selain itu, saya meminta Ketua Pegawai Eksekutif baru untuk menjalankan yang berikut:

    (i) Menerbitkan akaun penuh Dana Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang berjumlah RM510 juta pada akhir tahun 2012. Perkara 27 Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 memerlukan SEDA menyediakan akaun Dana TBBB dan membentangkan jadual akaun ini di Parlimen. Namun, sehingga kini, akaun Dana TBB langsung tidak dibentangkan di Parlimen.[6] Orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana sumbangan mereka kepada Dana TBB – iaitu 1.6% daripada bil elektrik mereka – telah dan sedang dibelanjakan.

    (ii) Menerbitkan senarai penuh Kuota FiT yang telah dibatalkan akibat pemasangan yang gagal bagi memastikan ketelusan dan untuk membuktikan bahawa kuota yang dibatalkan telah dibuka semula untuk bidaan baru.

    (iii) Mempertimbangkan peruntukan semula beberapa kuota PV solar dari projek-projek besar iaitu <245kWh kepada kuota yang lebih kecil untuk memenuhi permintaan peserta-peserta kecil yang mungkin mewujudkan kesan pengganda yang lebih besar ke atas sektor PV solar dan akan memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna akhir.

    Dengan ini saya ingin mengirim salam kepada Ms. Ridu dan mengharapkan yang terbaik untuk beliau dalam masa khidmat beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru SEDA.

    Dr Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1] http://seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&y=45&s=3864

    [2] http://seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&s=1817

    [3] http://www.seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&s=2158&details=136

    [4] http://seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&y=45&s=3830

    [5] http://seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&y=45&s=1251

    [6] Akaun TBB adalah berbeza daripada Akaun SEDA yang telah pun dibentangkan di Parlimen sebagai sebahagian daripada laporan tahunan 2011 dan 2012 SEDA.

Leave a reply.