• Penjelasan mengapa DAP tidak meminta pengiraan semula atau membantah percanggahan dalam jumlah undi seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 6 Jun 2014

    Penjelasan mengapa DAP tidak meminta pengiraan semula atau membantah percanggahan dalam jumlah undi seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan

    Ramai penyokong Pakatan telah bertanya mengapa DAP tidak meminta pengiraan semula undi berasaskan majoriti kecil 238 undi yang diraih oleh calon BN. Ramai penyokong Pakatan juga telah bertanya mengapa DAP tidak membantah percanggahan perbezaan dalam jumlah undi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya selepas penutupan pengundian dan jumlah undi selepas keputusan diumumkan.

    Terlebih dahulu, izinkan saya membuat penjelasan atas isu permintaan pengiraan semula.

    Menurut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, Perkara 25, Seksyen 13, jika perbezaan antara jumlah undi untuk kedua-dua calon pertama adalah kurang daripada 4% daripada jumlah pengundi, maka calon itu atau ejen pilihan raya atau ejen mengira undi boleh meminta pengiraan semula. Akan tetapi, permintaan ini hanya boleh dibuat di peringkat pusat mengundi individu dan perlu dilakukan sebelum Borang 14 – yang merupakan dokumen penentu untuk keputusan di setiap pusat mengundi – dikeluarkan.

    Memandangkan ejen pengiraan undi kami di setiap pusat pengundian merupakan individu yang berpengalaman, maka arahan tidak dikeluarkan kepada setiap daripada mereka untuk meminta pengiraan semula jika perbezaan adalah kurang daripada 4%. (Terdapat 7 saluran atau aliran mengundi di mana perbezaan adalah sama atau kurang daripada 4%.) Kami yakin bahawa ejen-ejen kami yang berpengalaman telah menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan ketelusan dan ketepatan undian di pusat pengundian masing-masing.

    Di samping itu, pengiraan semula di mana-mana pusat pengundian, mengikut Perkara 25, Seksyen 13, tidak boleh termasuk undi rosak atau ditolak. Pengiraan semula hanya boleh dibuat untuk undi sah yang bermaksud bahawa peluang untuk mengubah jumlah undi akhir adalah sangat tipis dan mungkin tidak cukup untuk mengatasi majoriti 238 undi. Selain itu, seandainya pengiraan semula dibuat, keputusan undi mungkin akan memberikan hasil yang bertentangan iaitu lebih banyak undi mungkin boleh diperolehi oleh calon BN.

    Setelah Borang 14 telah dikeluarkan di pusat pengundian, pengiraan semula undi individu tidak boleh diminta lagi. Satu-satunya perkara yang DAP boleh lakukan adalah untuk meminta Pegawai Pengurus menyemak kembali penjumlahan undi mengikut Borang 14. DAP memang telah mengumpul KESEMUA Borang 14 daripada ejen pengiraan undi kami dan mengesahkan bahawa keputusan akhir seperti yang diumumkan oleh SPR sememangnya betul dan selaras dengan Borang 14 kami.

    Kedua, mengapa DAP tidak membangkitkan isu percanggahan jumlah undi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya selepas penutupan pengundian dan jumlah undi terakhir selepas keputusan diumumkan?

    Pada kira-kira 5:30 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa jumlah keluar mengundi pada hari tersebut adalah seramai 39,850 pengundi. Apabila jumlah 392 undi awal ditambahkan, jumlah undi keseluruhan akan menjadi 40,242 jika pengumuman SPR adalah betul. Apabila keputusan akhir diumumkan, jumlah undi adalah 40,619 (BN memperolehi 20,157 undi, DAP memperolehi 19,919 undi dan terdapat 543 undi rosak). Ini memberikan percanggahan sebanyak 377 undi iaitu perbezaan antara apa yang asalnya diumumkan SPR (40,242) dan keputusan akhir (40,619). Angka ini melebihi majoriti kemenangan calon BN iaitu sebanyak 238 undi.

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, telah menulis kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Dato Seri Abdul Aziz, untuk meminta penjelasan atas percanggahan dalam jumlah pengundi yang diumumkan pada awalnya dan jumlah akhir pengundi selepas keputusan diumumkan. Kami sedang menunggu jawapan ini sebelum perbincangan lanjut dengan peguam parti. Peguam kami telah menasihatkan kami untuk tidak berkata apa-apa sehingga mendapat jawapan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya. Setiausaha Agung memang berniat menyiasat kebenaran perkara ini dengan Suruhanjaya Pilihan Raya.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

1 Comment

  1. choonleong liew says: June 6, 2014 at 5:52 pmReply

    Its ok we have lose this time but we r not losers to those cheaters

Leave a reply.