• Adakah JAIS akan menghalang umat Islam daripada menghadiri upacara agama atau majlis perayaan masyarakat bukan Islam?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 5 Jun 2014

    Adakah JAIS akan menghalang umat Islam daripada menghadiri upacara agama atau majlis perayaan masyarakat bukan Islam?

    Saya mengaku terkejut dan terkilan membaca maklum balas Timbalan Ketua Pengarah JAIS Ahmad Zaki Arshadapabila beliau diminta memberikan justifikasi atas tindakan JAIS untuk ‘menyerbu’ atau menganggu sebuah majlis perkahwinan Hindu di Petaling Jaya pada Ahad 1hb Jun. Beliau dilaporkan berkata bahawa:

    “Sebagai contoh, jika Rafael Nadal datang ke Malaysia dan pergi ke gereja, kami perlu siasat kerana dia mempunyai nama Islam. Jadi jangat cepat membuat kesimpulan,” katanya merujuk kepada pemain tenis nombor satu dunia itu.[1]

    Saya bertanggapan bahawa ia amat melucukan untuk Timbalan Ketua Pengarah Jais Ahmad Zaki Arshad mendakwa nama Rafael Nadal mirip kepada orang Islam, sedangkan setahu saya nama Rafael mahupun nama Nadal merupakan nama yang digunakan secara meluas di serata dunia. Menggunakan Rafael Nadal sebagai contoh nama Islam jelas menunjukkan kejahilan Timbalan Pengarah JAIS.

    Malahan, ramai warganegara Malaysia bukan Islam terutamanya dari Sabah dan Sarawak mempunyai nama mirip kepada orang Melayu / Islam. Sebagai contoh Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Senator Idris Jala mempunyai nama seperti orang Islam walaupun beliau sebenarnya adalah penganut Kristian Kelabit dari Bario, Sarawak. Adakah Jais akan menyiasat seseorang dengan nama Idris Jala jika seseorang membuat laporan individu itu hadir ke mana-mana gereja di Selangor?

    Ketiga, Timbalan Pengarah JAIS seperti membayangkan JAIS akan menyiasat setiap laporan tentang kehadiran orang Islam Selangor di rumah ibadat bukan-Islam. Adakah salah untuk orang Islam menziarahi gereja atau tokong Cina atau kuil Hindu terutamanya semasa musim pesta atau perayaan? Contohnya, seorang pekerja The Rocket, iaitu akhbar Parti Tindakan Demokratik, telah mengadakan majlis perkahwinan beliau di gereja di Subang Jaya baru-baru ini. Ketika itu, lagu Kristian dinyanyikan dan petikan Bible dibaca. Ramai pekerja Melayu DAP, termasuk daripada Roketkini iaitu akhbar versi Bahasa Melayu kami, telah menghadiri upacara perkahwinan di gereja tersebut. Apakah JAIS akan menyerbu atau mengganggu majlis itu jika mereka menerima laporan tentang kehadiran orang Islam di majlis perkahwinan tersebut? Adakah bukan Islam di Selangor sekarang dilarang menjemput kawan Melayu ke majlis perkahwinan atau perayaan yang diadakan di rumah ibadat bukan Islam? Haruskah ahli-ahli politik Islam di Malaysia berhenti menghadiri apa-apa fungsi di tempat-tempat ibadat bukan Islam kerana tindakan menjemput ahli-ahli politik Islam untuk acara-acara ini boleh ditafsirkan sebagai tindakan berdakwah oleh orang bukan Islam?

    Serbuan yang bersifat sungguh tidak sensitif serta kenyataan jahil Timbalan Ketua Pengarah JAIS Ahmad Zaki Arshad menunjukkan JAIS gagal sepenuhnya untuk mengambil kira perasaan penganut bukan Islam, dan keterlaluan dalam menyiasat laporan berkaitan mereka. JAIS sepatutnya menghormati kesucian tempat ibadat bukan Islam dan meminta kebenaran kerajaan negeri terlebih dulu seperti yang telah pun dijanjikan, bukannya menggunakan pendekatan ‘buat dahulu, fikir kemudian’ semasa bertindak ke atas kes-kes yang membabitkan orang bukan Islam.[2]

    Tindakan JAIS dalam hal ini, ditambah dengan insiden rampasan Alkitab Melayu dari Persatuan Alkitab Malaysia (Bible Society of Malaysia) awal tahun ini serta serbuan ke atas DUMC, sebuah gereja di Petaling Jaya pada tahun 2011, hanya mengukuhkan persepsi bahawa masyarakat bukan Islam di Selangor kini ‘terkepung’ dan akan mengeruhkan hubungan antara kaum bukan sahaja di Selangor malahan juga di seluruh negara Malaysia.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/jais-denies-raiding-hindu-temple-says-wanted-to-speak-to-bride-about-her-re

    [2]https://my.news.yahoo.com/mb-jais-action-embarrassment-072636971.html

Leave a reply.