• Mengapa saya menyokong Dyana Sofya

    Mengapa saya menyokong Dyana Sofya

    Saya amat berbesar hati kerana berpeluang berkenalan dengan Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP untuk kerusi Parlimen Teluk Intan, selama lebih setahun sehingga hari ini. Dalam masa setahun ini, saya mendapati bahawa beliau seorang wanita muda yang pintar, bijak, rajin, sungguh berkebolehan, dan mempunyai masa depan yang cerah. Idealisme dan tenaga muda beliau turut menjadi ilham kepada saya. Saya yakin bahawa jika berjaya dipilih, beliau akan membanggakan pengundi-pengundi Teluk Intan sebagai Ahli Parlimen mereka. Berikut adalah tiga sebab mengapa saya menyokong pencalonan beliau di Teluk Intan.

    Pertama, beliau telah menunjukkan keupayaannya untuk berfikir secara kritis dan bebas terhadap beberapa isu nasional yang penting sekali. Malahan, beliau telah menunjukkan keupayaannya untuk mempertahankan pendapat sendiri walaupun menghadapi serangan ganas dari pengkritik beliau. Sebagai contoh, pada bulan September 2013, beliau telah mencadangkan bahawa rakyat bukan Melayu yang miskin harus diberi peluang untuk belajar di sebuah institusi pengajian tinggi yang serupa dengan UiTM, yang asalnya ditubuhkan dengan tujuan khusus untuk membantu rakyat Bumiputera dari latar belakang yang kurang bernasib baik untuk mengakses pendidikan tinggi. Walaupun Dyana tidak meminta agar UiTM dibuka kepada rakyat bukan Melayu, beliau telah diserang oleh ramai pegawai peringkat tinggi dan ahli politik termasuk seorang pemimpin UMNO Selangor dan bekas Menteri, Datuk Noh Omar, serta Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.[1] Saya sendiri rasa bahawa ramai Ahli Parlimen tidak dapat berdiri tabah menerima cabaran tersebut seperti mana Dyana telah lakukan dalam menghadapi semua serangan ini. Namun, Dyana tidak gentar dan mengekalkan kesabarannya.

    Malahan, selepas kejadian itu, Dyana tidak takut untuk mendedahkan kekarutan cadangan untuk menjadikan UiTM universiti ‘diraja’ untuk ‘melindungi’ status Bumiputera UiTM memandangkan satu cabangan UiTM – iaitu INTEC – sudah pun terbuka kepada golongan bukan Bumiputera.[2]

    Dyana juga tidak takut mendedahkan kesilapan pemimpin UMNO-BN seperti di mana beliau meminta Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi, agar tidak menjadikan Malaysia bahan ketawa melalui tuduhan bahawa Mat Sabu terlibat dalam pergerakan Syiah tanpa sebarang bukti yang jelas,[3]atau di mana beliau mengingatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar, bahawa Dr. Mahathir sendiri telah mempersoalkan dan mengkritik orang Melayu.[4]

    Beliau juga telah membangkitkan keperluan untuk rakyat Malaysia berfikir secara kritikal terhadap beberapa isu termasuk kepentingan Rukunegara kita,[5]kegagalan dan bahaya yang diundang oleh Biro Tatanegara (BTN) yang memberi kesan khususnya terhadap hubungan antara kaum, dan keperluan untuk memahami dan mengingati sejarah kita.[6]

    Sifat-sifat ini adalah sifat-sifat yang diperlukan oleh seseorang Ahli Parliamen – yang seharusnya merupakan seseorang yang tidak gentar mempersoalkan status quo dan membentangkan alternatif untuk menjadikan negara kita tempat yang lebih baik untuk semua warganya. Saya yakin mengatakan bahawa Dyana Sofya, dalam masa setahun sebagai setiausaha politik Lim Kit Siang, telah menyuarakan dan menulis pendapat tentang isu-isu nasional yang penting dengan jauh lebih substantif daripada Mah Siew Keong dalam masa 7 bulan beliau memegang jawatan Presiden GERAKAN.

    Kedua, beliau telah membuktikan keupayaan beliau dalam memikul tanggungjawab sebagai setiausaha politik Lim Kit Siang. Walaupun tidak berasal dari Johor, Dyana telah berpindah ke sana demi berkhidmat untuk pengundi-pengundi Gelang Patah dan menangani masalah mereka. Saya yakin bahawa beliau akan membawa tenaga dan pengalaman beliau untuk menangani masalah-masalah di kawasan Teluk Intan.

    Ketika berada di Johor, Dyana juga telah menghadapi isu-isu baru dan mencuba kaedah baru untuk menangani isu-isu tersebut. Sebagai contoh, walaupun dia bukan peminat besar reptilia dan hidupan liar, beliau telah mengambil masa untuk melawat kawasan paya bakau di Sungai Pulai untuk memahami kepentingan tanah bencah. Dengan berbuat demikian, beliau bukan sahaja berpeluang memahami keperluan memelihara kawasan tersebut demi kepentingan alam sekitar malah juga kepentingan tanah bencah tersebut dalam memelihara kehidupan rakyat, termasuk nelayan, yang tinggal berhampiran tanah bencah ini.[7]Untuk menangani masalah ini, Dyana, bersama dengan rakan-rakan sekerja DAP beliau di Johor dan sebuah badan bukan kerajaan tempatan iaitu Jaring, telah menggerakkan sekumpulan kira-kira 100 sukarelawan untuk menanam 500 anak pokok bakau untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan untuk memelihara tanah bakau ini.[8]

    Di samping itu, Dyana juga telah mengambil inisiatif baru untuk mendekati pengundi Melayu dengan menghubungkan mereka dengan beberapa wakil DAP. Sebagai contoh, keluarga beliau sendiri telah menjadi tuan rumah kepada Howard Lee, ADUN DAP Pasir Pinji.[9] Saya sendiri mendapat manfaat daripada program ini apabila Dyana menghubungkan saya denganMuhaimin, seorang pelajar kursus masakan dan juga pemain gemar DOTA.Saya bermalam di rumah Muhaimin di Datok Keramat, KL, memerhatikannya bermain DOTA dengan rakan-rakan dunia siber,dan juga berlepak di kedai mamak dengan beberapa rakan-rakan sekolah menengah Muhaimin termasuk Umar Azmi, seorang aktivis pelajar yang ditahan semasa pergerakan Occupy Dataran pada tahun 2012.(kanan sekali dalam gambar di bawah).[10]

    Ketiga, Dyana telah secara konsisten menunjukkan keinginan yang besar untuk terus belajar dan mempertingkatkan dirinya. Beliau sentiasa terlibat dengan rakan-rakan sekerjanya yang lebih berpengalaman di ibu pejabat DAP di KL dan di peringkat negeri untuk mengisi jurang dalam pengetahuan sendiri. Beliau kerap menghadiri persidangan dan seminar mengenai pelbagai isu ekonomi, pendidikan dan alam sekitar untuk mendapat pengetahuan baru. Malahan, beliau sentiasa bersedia untuk memikul projek dan cabaran baru. Sebelum dinamakan sebagai calon, beliau telah mengemukakan cadangan untuk menghidupkan semula ‘Kuiz Kenegaraan’ sebagai satu cara untuk meningkatkan pendedahan kepada serta pengetahuan terhadap perlembagaan kita, sejarah, seni dan budaya, agama, pemimpin-pemimpin negara, dasar-dasar kerajaan dan hubungan antarabangsa. Namun, tidak seperti usaha-usaha sebelum ini, beliau telah mencadangkan satu format untuk Kuiz ini yang akan diputuskan oleh proses perundingan “pendekatan dari bawah ke atas” yang akan membuat kuiz ini sesuatu cerminan masyarakat Malaysia yang sebenar.

    Sememangnya idea-idea dan cara-cara baru untuk melihat cabaran yang sedia ada di Malaysia seperti ini adalah amat perlu di setiap peringkat kerajaan. Dyana adalah nafas udara segar dalam landskap politik Malaysia yang akan merangsang angin perubahan, bermula di Teluk Intan dan kemudiannya merebak ke seluruh negara.

    Saya menyeru pengundi Teluk Intan untuk mengundi Dyana berdasarkan kebolehan beliau, keupayaan beliau, idea dan idealisme serta semangat dan tenaga muda beliau, dan juga kesabaran dan kematangan beliau. Saya menyeru pengundi Teluk Intan untuk membuang undi demi masa depan politik Malaysia. Saya menyeru pengundi Teluk Intan untuk membuang undi demi memecahkan benteng kaum, agama, bahasa, budaya, jantina dan umur di negara tercinta ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/uitm-tetap-hak-melayu-bumiputera-kata-naib-canselor-uitm and http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/is-helping-fellow-malaysians-racist-kit-siangs-aide-asks-noh-omar

    [2]http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/uitm-jadi-universiti-diraja-cadangan-tidak-masuk-akal-kata-setiausaha-polit

    [3]http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/zahid-hamidi-stop-making-malaysia-a-laughing-stock-dyana-sofya

    [4]http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/ex-top-cop-hanif-wrong-dr-mahathir-had-criticised-malay-rights-in-1965-say

    [5]http://www.malaysiakini.com/letters/255356

    [6] http://www.malaysiakini.com/letters/258939

    [7]http://www.malaysiakini.com/letters/257766

    [8]http://www.malaysiakini.com/letters/259683 and http://www.roketkini.com/2014/04/13/ole-ole-dari-hutan-paya-bakau/

    [9]https://www.facebook.com/notes/impian-malaysia/program-anak-angkat-bersama-howard-lee-chuan-how-adun-pasir-pinji/530157803700535

    [10]https://www.facebook.com/notes/impian-malaysia/program-anak-angkat-bersama-dr-ong-kian-ming-ahli-parlimen-serdang/530156563700659

Leave a reply.