• Mengecam tingkah laku ahli-ahli Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang tidak bertamadun dan bersifat mengancam termasuk merosakkan papan tanda DAP dan mengugut untuk membakar ibu pejabat DAP

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 22 Mei 2014

    Mengecam tingkah laku ahli-ahli Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang tidak bertamadun dan bersifat mengancam termasuk merosakkan papan tanda DAP dan mengugut untuk membakar ibu pejabat DAP

    Pada kira-kira 3 petang hari ini, sekumpulan 50 lebih ahli Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan telah berhimpun menunjuk perasaan di hadapan Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur atas kenyataan yang dibuat oleh ADUN DAP Seri Delima, RSN Nayer, di Pulau Pinang.

    Walaupun kami menyokong hak mana-mana kumpulan di Malaysia untuk mengadakan demonstrasi secara aman, tingkah laku ahli-ahli Pemuda UMNO tidak boleh diterima dan tidak bertamadun sama sekali. Mereka bukan sahaja telah menggunakan bahasa yang tidak bertamadun dan menjerit kepada saya dan kakitangan DAP Pusat yang berada di sana untuk menerima memorandum mereka, malah mereka juga merosakkan sebuah papan tanda DAP dan mengugut untuk membakar pejabat DAP.

    Mereka juga tidak menyerahkan memorandum mereka tetapi mengoyakkannya di depan saya dan melemparkannya ke muka saya. Selepas mengumpul sampul surat tersebut (lihat gambar yang dilampirkan), saya hanya dapat mencari separuh daripada memorandum itu di dalam sampul surat itu.

    Kami akan membuat laporan polis terhadap Pemuda Umno Wilayah Persekutuan atas tindakan mereka yang merosakkan harta benda DAP.

    Kami mengecam sekeras-kerasnya tingkah laku Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang tidak bertamadun serta bersifat mengugut dan kami meminta Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin meminta maaf atas kelakuan ahli-ahli Pemuda UMNO.

    Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang membantu mengekalkan keamanan dan keselamatan semasa demonstrasi ini walaupun terdapat beberapa orang Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang cuba membuat provokasi.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.