• Apakah status siasatan ke atas kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah II Kastam Diraja Malaysia, Datuk Shaharuddin Ibrahim setahun selepas kejadian tersebut?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 9 Mei 2014

    Apakah status siasatan ke atas kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah II Kastam Diraja Malaysia, Datuk Shaharuddin Ibrahim setahun selepas kejadian tersebut?

    Pada 26 April 2013, semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13, Timbalan Ketua Pengarah II Kastam Diraja Malaysia, Datuk Shaharuddin Ibrahim telah ditembak mati ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Putrajaya.[1] Pada masa itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, telah dipetik berkata bahawa “Kita tidak boleh menerimanya apabila pegawai penguatkuasa menjadi mangsa. Penjahat ini seolah-olah mencabar pihak berkuasa.” Walau bagaimanapun, setahun selepas pembunuhan tersebut, tiada maklumat baru yang timbul dalam siasatan terhadap pembunuhan beliau.

    Pada tahun lepas, anak Shaharuddin menyuarakan rasa syak beliau bahawa pembunuhan bapanya berkaitan dengan kerja penyiasatannya terhadap sindiket penyeludupan kereta di Langkawi. Pada Ogos 2013, Mohd Akhtar Shaharuddin menyuarakan rasa kecewa beliau kerana 4 bulan selepas pembunuhan bapanya, polis tidak menunjukkan apa-apa kemajuan dalam penyiasatan mereka.[2] Menurut Mohd Akhtar, sehingga akhir bulan April dia tidak menerima sebarang panggilan daripada pihak polis tentang status terkini siasatan mereka.

    Pejabat saya dan pejabat rakan sekerja saya, Teresa Kok, telah menerima banyak aduan dan laporan daripada peniaga kereta terpakai yang telah membeli kereta dari Langkawi dengan rekod kastam dan JPJ yang sepatutnya tetapi kemudian mendapati bahawa rekod kastam telah dipalsukan. Mereka hanya sedar bahawa mereka ditipu apabila menerima surat dari kastam yang meminta mereka membayar cukai eksais dan import berjumlah puluhan ribu ringgit untuk setiap kereta. Beberapa peniaga ini telah membeli jumlah kereta yang banyak, yang bermaksud bahawa jumlah hutang kepada Kastam boleh mencapai beratus-ratus ribu ringgit. Peniaga-peniaga tersebut telah membuat laporan polis dan juga laporan kepada SPRM mengenai kes mereka tetapi setakat ini pihak polis dan juga SPRM belum memberi sebarang maklum balas.

    Kes seperti bukannya berlaku sekali-sekala sahaja. Jabatan Kastam sendiri telah membuat kenyataan pada 21 Mac 2013 bahawa “Kami telah mengesan 368 kenderaan yang asalnya didaftarkan di Langkawi dan kemudiannya di Kawasan Utama Kastam menggunakan borang pengisytiharan kastam yang disyaki palsu tanpa pembayaran duti kastam dan cukai.”[3]

    Pada minggu lepas, beberapa peniaga ini telah ditawarkan ‘diskaun’ 50% oleh Kastam untuk menjelaskan hutang duti dan cukai dengan ancaman bahawa kereta mereka akan dirampas jika mereka tidak membayar jumlah cukai yang tertunggak. Ini sungguh tidak adil kerana menyusahkan mangsa dan bukannya menghukum mereka yang bertanggungjawab dalam kes penipuan tersebut.

    Saya menyeru Kastam Diraja Malaysia untuk tidak merampas kenderaan daripada peniaga-peniaga kereta tersebut sehingga siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak polis dan juga SPRM terhadap isu borang ikrar kastam palsu.

    Selain itu, saya menyeru Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, untuk bertanggungjawab terhadap keluarga Allahyarham Shaharuddin Ibrahim dengan mencuba sedaya upaya untuk menyiasat pembunuhan beliau dan memaklumkan keluarganya tentang status terkini penyiasatan tersebut. Janganlah menghalang keluarga “Encik Bersih” daripada mendapat keadilan yang sepatutnya.[4]

    Pada masa ini, para mangsa seakan-akan sedang dihukum atau tidak dimaklumkan tentang apa-apa manakala penjenayah yang sebenar dibenarkan berkeliaran bebas.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    [1]http://www.nst.com.my/top-news/senior-customs-officer-shot-dead-1.265533

    [2]http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/customs-officers-murder-related-to-car-smuggling-in-langkawi-says-son

    [3]http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/03/22/Customs-tracking-hundreds-of-Langkawiregistered-cars-with-falsified-papers/

    [4]http://www.thesundaily.my/node/219998

Leave a reply.