• Mengapakah kuota 30MW Tarif Galakan (‘Feed-in-Tariff’ atau FiT) bagi tenaga geoterma diperuntukkan kepada Tawau Green Energy (TGE) yang majoritinya dimiliki oleh pemimpin UMNO Sabah melalui rundingan terus?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 2 Mei 2014

    Mengapakah kuota 30MW Tarif Galakan (‘Feed-in-Tariff’ atau FiT) bagi tenaga geoterma diperuntukkan kepada Tawau Green Energy (TGE) yang majoritinya dimiliki oleh pemimpin UMNO Sabah melalui rundingan terus?

    Di Malaysia, terdapat permintaan tinggi terhadap kuota FiT disebabkan jumlah yang terhad dan pulangan kewangan yang bakal diperolehi daripada sumber tenaga boleh baharu.  Sistem E-FIT yang dirangka oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (Sustainable Energy Development Authority atau SEDA), yang telah memakan kos jutaan ringgit, seharusnya menyediakan platform yang lebih telus dalam memperuntukkan kuota FIT dalam pelbagai kategori termasuk biogas, biomas, hidro dan solar PV.

    Namun, salah satu keputusan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini menunjukkan bahawa sistem E-FIT sememangnya telah digantikan dengan proses rundingan terus dalam penganugerahan 30MW tenaga geoterma kepada Tawau Green Energy (TGE) yang berpangkalan di Sabah.

    Tawau Green Energy (TGE) yang sedang dalam proses membina loji tenaga geoterma yang pertama di Malaysia, iaitu di kawasan Apas Kiri di daerah Tawau, telah mengumumkan penganugerahan kuota FiT oleh KeTTHA pada 8hb November 2013.[1] Hal ini telah disahkan oleh jawapan bertarikh 18hb November yang diterima oleh rakan sekerja saya, YB Chan Foong Hin, ADUN Sri Tanjung di Dewan Undangan Negeri Sabah (Lampiran 1). Namun, berita ini langsung tidak diumumkan di laman web SEDA!

    Carian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada bulan September 2013 telah mengesahkan bahawa pemegang saham majoriti (52%) Tawau Green Energy ialah Yamani Hafez bin Musa yang merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian Sipitang dan juga anak kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman. Dalam carian yang terbaru pada Mei 2014, pemegang saham utama telah ditukar kepada Awang Kading Tang, bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah dan timbalan ketua bahagian UMNO bagi Sandakan. (Lampiran 2)

    Saya menyeru Menteri, Maximus Ongkili, dan juga Ketua Pegawai Eksekutif SEDA, Badriyah Haji Abdul Malek untuk menjawab soalan-soalan berikut:

    1. Adakah kuota FIT 30MW bagi tenaga geoterma ini dianugerahkan kepada Tawar Green Energy melalui rundingan terus?
    2. Bagaimana kuota geoterma 30MW ini dapat dianugerahkan pada 8hb November 2013 memandangkan warta yang memperkenalkan tenaga geoterma sebagai salah satu kategori dalam Jadual Akta Tenaga Boleh Baharu hanya diterbitkan pada 24hb Disember 2013?
    3. Adakah Menteri telah mengatasi SEDA dan membuat keputusan untuk menganugerahkan kuota FIT kepada Tawau Green Energy (TGE)?
    4. Apakah kadar bagi kuota FIT untuk tenaga geoterma ini?
    5. Adakah lebih banyak kes rundingan terus akan diputuskan oleh Menteri KeTTHA terutamanya bagi kuota PV solar melebihi 425 kwH yang mempunyai permintaan yang tinggi?

    Dalam taklimat yang diberi oleh Ketua Pegawai Operasi SEDA, Ir Dr Ali Askar, beliau telah menyatakan bahawa permohonan untuk kuota PV solar yang melebihi 425kwH perlu diserahkan secara manual dan kuota ini akan diputuskan oleh Menteri. Jika benar, ia akan menjadi satu penghinaan terhadap sistem E-FIT yang hanya dikenakan kepada syarikat kecil yang memohon kuota kurang daripada 425kwH dan kuota yang lebih besar akan diputuskan oleh Menteri mengikut budi bicaranya.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Jawapan kepada YB Chan Foong Hin, ADUN Sri Tanjong, pada 18hb November 2013 di DUN

    Lampiran 2: Pemegang syer majoriti untuk Tawau Green Energy (TGE) dari carian syarikat pada September 2013 dan Mei 2014

    Carian Suruhanjaya Syarikat dari September 2013 yang menunjukkan Yamani Hafez bin Musa sebagai pemegang syer majoriti 52% untuk Tawau Green Energy


    Carian Suruhanjaya Syarikat dari Mei 2014 yang menunjukkan Awang Kadin Tang sebagai pemegang syer majoriti 52% untuk Tawau Green Energy


    [1] http://www.tgepower.com/announcement.html

Leave a reply.