• “Pemain Besar” (‘big boys’) boleh menggunakan proses perundingan secara langsung untuk tenaga boleh baharu manakala peserta lain terpaksa bersaing sesama sendiri untuk kuota yang lebih kecil

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 25 April 2014

    “Pemain Besar” (‘big boys’) boleh menggunakan proses perundingan secara langsung untuk tenaga boleh baharu manakala peserta lain terpaksa bersaing sesama sendiri untuk kuota yang lebih kecil

    Pada 11hb April 2014, taklimat yang diberi oleh Ir Dr Ali Askhar Sher Mohamad, Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mengenai perubahan kepada proses permohonan FiT telah mendedahkan bahawa proses penyerahan secara atas talian (online submission) tidak akan digunakan lagi untuk kuota solar PV yang melebihi 425 kW tetapi akan digantikan dengan sistem permohonan secara manual (manual application).[1] Cadangan perubahan ini disebabkan arahan dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan butiran spesifik mengenai proses permohonan masih sedang dikaji oleh pihak Kementerian.

    Walaupun mungkin terdapat beberapa sebab yang sah mengapa permohonan patut dikemukakan dan dikaji secara manual – seperti untuk memeriksa tahap pematuhan dan mengkaji aspek teknikal permohonan – hakikat bahawa SEDA dan KeTTHA belum lagi memuktamadkan proses bidaan dan permohonan sememangnya menimbulkan banyak kebimbangan.

    Adakah ini akan membawa kepada situasi di mana, misalnya, Kementerian mempunyai kuasa untuk menentukan syarikat-syarikat yang akan dianugerahkan kuota FiT untuk projek-projek solar yang besar? Mungkinkah ini juga akan menghasilkan projek-projek yang dirundingkan secara terus antara pemilik projek dan Kementerian?

    Jadual 1: FiT Kuota yang baru dari 2014 hingga 2017

    Menurut taklimat sama yang diberi oleh Ketua Pegawai Operasi SEDA, kuota 30MW untuk Kuasa Geoterma sepatutnya diagihkan dalam tahun 2016 (Lihat Jadual 1 di atas). Adakah ia hanya suatu kebetulan bahawa Tawau Green Energy (TGE) Sdn Bhd, loji kuasa geoterma yang pertama di Malaysia, dijangka akan menambahkan 30MW kepada grid Sabah pada suku ke-2 tahun 2016?[2]

    Dilaporkan pada Mac 2014[3] bahawa:

    “Pada November tahun lepas, TGE telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Baharu (REPPA) untuk 21 sen setiap jam kilowatt dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk membekalkan 30 MW kepada grid SESB dari loji kuasa geoterma. Mereka berharap untuk berpindah ke FiT dengan kelulusan daripada SEDA Malaysia.”

    Adakah ini bermakna bahawa SEDA memang telah membuat keputusan untuk menganugerahkan kuota 30MW FiT ini kepada Tenaga Hijau Tawau (TGE) melalui rundingan secara langsung dan bukan melalui tender terbuka? Adakah syarat-syarat untuk kontrak ini lebih lumayan daripada kontrak 21 sen bagi setiap kWj yang ditandatangani dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)?

    Di samping itu, kuota 15MW FIT akan diperuntukkan kepada biomas (sisa pepejal) pada tahun 2017. Adakah ia juga hanya kebetulan bahawa tahun 2017 adalah tarikh jangkaan pentauliahan loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong? Adakah ini bermakna bahawa KeTTHA dan SEDA sudahpun tahu teknologi mana yang akan dipilih untuk loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong dan ia akan melibatkan pembakaran sisa secara langsung? (Sebagai contoh, jika sistem pencernaan anaerobik dicadangkan, ia akan menggunakan biogas dan bukannya kuota FiT biomas).

    Mengapa pula mereka yang membida untuk projek-projek yang lebih kecil seperti kuota Solar PV FIT untuk individu perlu mengemukakan permohonan mereka secara online, mendapatkan nombor giliran dan kemudian melalui proses pengundian terbuka manakala “pemain besar” (‘big boys’) tidak dipaksa untuk melalui proses yang serupa, yang sememangnya terbuka dan telus?

    Perkembangan ini berlaku sejurus selepas keputusan dibuat untuk menganugerahkan 1MDB satu projek ladang solar 50MW di Kedah melalui rundingan terus.[4] Walaupun projek ini tidak dibiayai oleh kuota FIT, namun kita haruslah mengambil perhatian terhadap hakikat bahawa jumlah 50MW jauh melebihi peruntukan agregat bagi Solar PV untuk individu, bukan individu dan projek-projek komuniti untuk tahun 2014 yang hanya mencapai jumlah setakat 40MW!

    Saya menyeru Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk mematuhi prinsip-prinsip keterbukaan dan ketelusan untuk semua peserta dan pihak berkepentingan dalam sektor tenaga boleh baharu dan bukannya memberi keutamaan dan akses hanya kepada “pemain besar” (‘big boys’).

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang


    [1] http://seda.gov.my/?omaneg=00010100000001010101000100001000000000000000000000&s=27

    [2] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/04/07/Malaysias-first-geothermal-plant-set-to-boost-green-energy/

    [3] http://www.greenprospectsasia.com/content/malaysia%E2%80%99s-first-geothermal-plant-takes

    [4] http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2014/04/23/1MDB-and-US-firm-in-solar-tieup-Both-parties-will-jointly-invest-in-countrys-largest-50MW-solar-farm/

Leave a reply.