• Agak lama sebelum hudud boleh dibahaskan sebagai Rang Undang-undang Ahli Persendirian

    Banyak kata-kata yang telah diluahkan dan juga banyak spekulasi yang telah timbul mengenai Rang Undang-undang Ahli Persendirian yang mungkin dibawa ke Parlimen oleh Ahli Parlimen PAS bagi membolehkan undang-undang hudud diperkenalkan di negara ini. Namun, terdapat ramai yang kurang sedar bahawa proses untuk meletakkan kertas Rang Undang-undang Ahli Persendirian ke atas meja setiap Ahli Parlimen sememangnya panjang dan sukar sekali.

    Sebelum sesi Parlimen baru-baru ini, Ahli Parlimen Sungai Siput iaitu Dr Jeyakumar telah cuba mengemukakan Rang Undang-undang Ahli Persendirian yang bertajuk Akta Keterangkuman Sosial. Saya telah menyokong bil tersebut sebagai Ahli Parlimen Serdang. Kami telah menghantar draf Rang Undang-undang tersebut dan dokumen-dokumen yang berkaitan beberapa minggu sebelum bermulanya sesi Parlimen bagi bulan Mac. Namun, Rang Undang-undang itu langsung tidak dimasukkan ke dalam kertas perintah yang menyenaraikan semua undang-undang yang akan dibahaskan dan diluluskan serta usul-usul oleh Ahli Parlimen yang individu.

    Ramai yang mungkin tertanya – apa sebenarnya intipati Akta Keterangkuman Sosial? Pendek kata, akta ini mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Keterangkuman Sosial yang terdiri daripada ahli-ahli yang dicalonkan oleh Parlimen untuk mengawasi serta memberi input mengenai isu-isu dan dasar-dasar ketidaksamaan sosial dan kemiskinan.

    Bayangkan Suruhanjaya Keterangkuman Sosial sebagai sesuatu yang mirip dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia atau SUHAKAM tetapi di mana bidang tanggungjawab adalah berkaitan dengan kemiskinan dan bukan hak asasi manusia. Sejak penubuhannya, SUHAKAM telah mewujudkan kesedaran tentang pelbagai aspek pencabulan hak asasi manusia termasuk penyeludupan manusia, keganasan polis semasa perhimpunan Bersih dan hak tanah orang asli. Adalah menjadi harapan kami bahawa Suruhanjaya Keterangkuman Sosial boleh melakukan perkara yang sama untuk isu-isu kemiskinan.

    Memandangkan bahawa 80% daripada isi rumah Malaysia dilaporkan telah menerima bantuan BR1M 1.0 kerana pendapatan mereka terlalu rendah, penubuhan Suruhanjaya Rangkuman Sosial bukannya suatu cadangan yang tidak munasabah. Mengapakah pula Rang Undang-undang kami tidak diterima?

    Kami diberitahu bahawa Akta Keterangkuman Sosial tidak mengikut Seksyen 49 (2) Peraturan Mesyuarat kerana ia telah melanggar Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan yang membincangkan peranan Majlis Raja-Raja termasuk keperluan untuk berunding dengan badan ini atas dasar-dasar yang menjejaskan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak. Kami agak bingung kerana Rang Undang-undang kami jelas menyatakan bahawa Suruhanjaya Keterangkuman Sosial perlu dan akan mengambil kira Perkara 153.

    Namun, selepas membuat beberapa pindaan kecil, kami akan cuba untuk memperkenalkan akta ini sekali lagi sebagai Rang Undang-Undang Ahli Persendirian dalam sesi Parlimen akan datang pada bulan Jun.

    Jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat boleh mencari alasan untuk menolak Akta Keterangkuman Sosial kerana ia tidak selaras dengan Perlembagaan, maka akan terdapat lebih sebab untuk menolak Rang Undang-undang Ahli Persendirian yang berkaitan dengan hudud kerana apa yang akan dicadangkan memerlukan pindaan Perlembagaan dan juga pindaan beberapa akta lain termasuk Kanun Keseksaan.

    Jika sesuatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian – sama ada Akta Keterangkuman Sosial atau bil hudud – diterima oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, ia akan diterbitkan sebagai salah satu perkara dalam Kertas Perintah yang menyatakan urusan Dewan dalam urutan keutamaan. Urusan kerajaan akan diberi keutamaan dan diterbitkan di bahagian atas kertas perintah itu. Ini termasuk belanjawan tambahan dan bil-bil yang perlu diluluskan. Hanya selepas urusan kerajaan itu selesai, barulah usul Ahli Parlimen yang individu dari kedua-dua belah pihak Dewan akan mendapat perhatian.

    Namun, oleh kerana urusan kerajaan selalunya tidak habis dibahas, ini menyebabkan urusan bukan kerajaan termasuk perbahasan Rang Undang-undang Ahli Persendirian hampir selalu tidak mendapat perhatian.

    Sudah tentu Yang di-Pertua Dewan Rakyat boleh menggunakan kuasanya untuk membolehkan rang undang-undang hudud untuk diberi keutamaan supaya ia boleh dibahaskan dalam Dewan. Namun, ini merupakan langkah yang berisiko atas dua sebab. Pertama, ia akan menetapkan satu duluan pada masa depan untuk Rang Undang-undang Ahli Persendirian atau usul oleh Ahli Parlimen yang individu untuk dibahaskan sebagai urusan kerajaan. Kedua, dan lebih penting lagi, undi untuk rang undang-undang ini boleh memecahkan Dewan mengikut agama dan kaum dan merupakan situasi yang sudah pasti ingin dielakkan oleh BN.

    Yang pastinya, jika rang undang-undang hudud ini dibahaskan, mendiang Karpal Singh akan menyampaikan pidato yang bersemangat dan tajam demi menyokong prinsip-prinsip Perlembagaan, hak-hak dan prinsip keadilan manusia, dan akan tegas menolak hudud. Walaupun beliau tidak bersama kita lagi, kami dalam DAP akan sentiasa membawa semangat dan pendirian tegas beliau untuk melindungi keluhuran Perlembagaan sekular dalam hati kita dan melalui undi kami di Parlimen.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Rencana ini diterbitkan oleh The Star Online.

Leave a reply.