• Adakah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sengaja mengurangkan aktiviti kitar semula untuk memastikan bekalan sisa pepejal yang berterusan untuk loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong?

    Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 13 April 2014

    Adakah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sengaja mengurangkan aktiviti kitar semula untuk memastikan bekalan sisa pepejal yang berterusan untuk loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong?

    Dalam jawapan kepada soalan Parlimen saya tentang anggaran jumlah sisa di Kuala Lumpur yang dijangka akan dihasilkan pada tahun 2020, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), yang berada di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, telah menganggarkan bahawa unjuran jumlah sampah pada tahun 2020 adalah 3200 tan sehari yang mewakili peningkatan tahunan antara 3% hingga 3.5%.

    Jawapan ini amat berbeza dengan Pelan Bandar KL 2020[1] yang telah diwartakan sebelum ini dan draf Pelan Bandar KL 2020 yang akan diwartakan. Draf terakhir Pelan Bandar KL 2020 membayangkan bahawa menjelang tahun 2020, 40% daripada jumlah sisa pepejal akan dikitar semula dan penjanaan sisa bagi setiap orang akan dikurangkan kepada 0.6kg/hari setiap tan (Lampiran 1). Mengikut unjuran ini,  kira-kira 1320 tan sisa pepejal akan dihasilkan setiap hari bagi 2.2 juta penduduk yang dianggarkan menetap di Kuala Lumpur mengikut draf Pelan Bandar KL 2020, iaitu 40% daripada 3200 tan yang dianggarkan oleh JPSPN dalam jawapan Parlimen.

    Adakah ini bermakna bahawa JPSPN sedang merancang untuk gagal mencapai sasaran kitar semula yang dinyatakan dalam Pelan Bandar KL 2020? Adakah terdapat niat yang tersembunyi supaya usaha-usaha kitar semula ini gagal agar bekalan sisa pepejal yang berterusan dan stabil akan dapat disalurkan ke loji Sisa kepada Tenaga (WtE) yang bakal dibina di Taman Beringin, Kepong nanti?

    Adakah ini sebab mengapa Kementerian sedang mengutamakan pembinaan loji WtE di Taman Beringin berbanding dengan kedua-dua tapak yang dikenal pasti sebagai pusat kitar semula di Taman Lindungan Melati dan Chan Show Lin dalam Pelan Bandar KL 2020? (Lampiran 2)

    Soal Selidik Pra-Kelayakan (Pre-Qualification Questionnaire atau PPQ) yang dikeluarkan kepada pembida yang berpotensi bagi projek loji WtE di Taman Beringin, Kepong telah menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia akan menjamin bekalan sisa pepejal yang berjumlah sekurang-kurangnya 1000 tan sehari untuk pemegang konsesi yang menang bidaan tersebut. Salah satu soalan yang dikemukakan oleh pembida yang berpotensi adalah apa yang akan berlaku jika sisa pepejal yang dipungut DBKL berkurangan semasa tempoh konsesi tersebut. Jawapan yang diterima ialah bahawa “Kerajaan Malaysia buat masa ini hanya berniat untuk merancang penyampaian jumlah bahan buangan yang telah dinyatakan” – iaitu 1000 tan sehari – “dan satu mekanisma akan diusahakan bagi menangani sebarang kekurangan” (Lampiran 3). Ini mungkin bermakna bahawa kontrak yang akan ditandatangani akan merangkumi suatu mekanisma pampasan jika jumlah sisa pepejal yang diserahkan kepada pemegang konsesi adalah kurang daripada 1000 tan sehari. Sifat ‘penjelasan’ dalam kenyataan kerajaan hanya menguatkan lagi persepsi bahawa kerajaan tidak serius dalam mengurangkan sisa pepejal melalui promosi 3R – iaitu Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse) dan Kitar Semula (Recycle).

    Pengesahan lanjut bahawa Kementerian tidak serius dalam mengurangkan sisa melalui 3R juga boleh dilihat dalam pengakuan kepada pembida yang berpotensi bahawa “proses pengasingan tidak akan dijalankan semasa pemungutan” (Lampiran 4). Maksudnya, Kementerian LANGSUNG TIDAK BERNIAT untuk mengasingkan sisa pepejal pada sumbernya dalam masa 3 tahun ini iaitu apabila loji WtE dijangka siap, walaupun bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Chor Chee Heung, telah berkata seawal tahun 2011 bahawa pengasingan sisa pepejal perbandaran pada sumbernya akan dijalankan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.[2]Malah, Seksyen 74 (1) Akta ini memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara untuk menguatkuasakan pengasingan sisa pepejal termasuk di peringkat sumbernya.[3]

    Jawapan Parlimen dan juga maklumat daripada Soal Selidik Pra-Kelayakan dan penjelasan berikutnya hanya membuktikan bahawa Kementerian memang tiada niat untuk melaksanakan 3R secara serius, bersepadu dan menyeluruh bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal di Kuala Lumpur tetapi sebaliknya berniat membiarkan jumlah sisa pepejal bertambah untuk memastikan pembekalan sisa pepejal yang berterusan kepada loji Sisa kepada Tenaga (WtE) di Taman Beringin, Kepong dan kemungkinan besar di tempat-tempat lain di mana pembinaan insinerator sedang dirancang termasuk Sungai Udang di Melaka dan Bukit Payong di Johor.

    Saya menyeru Menteri untuk menjelaskan perkara-perkara berikut:

    (i) Apakah sasaran untuk kadar kitar semula dan penjanaan sisa pepejal per kapita untuk Kuala Lumpur menjelang tahun 2020 dan apakah tindakan konkrit yang sedang diambil demi mencapai matlamat ini?

    (ii) Adakah Kementerian telah menggugurkan rancangan untuk mengasingkan sisa pepejal pada sumbernya?

    (iii) Bilakah Kementerian akan mengumumkan rancangan untuk kedua-dua tapak kitar semula di Taman Lindungan Melati dan Jalan Chan Show Lin, seperti yang dikenal pasti dalam Pelan Bandar KL 2020?

    Saya menyeru Menteri untuk meneruskan kempen 3R secara agresif dan menggunakan Akta Pengurusan dan Pembersihan Awam 2007 sepenuhnya untuk mencapai sasaran kitar semula yang telah pun ditetapkan dalam Pelan Bandar Raya KL 2020 sebelum mempertimbangkan pembinaan loji Sisa kepada Tenaga (WTE) di Taman Beringin, Kepong.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Pelan KL City 2020 menunjukkan sasaran kitar semula dan pengeluaran sisa pepejal pada tahun 2020

    Lampiran 2: Pelan KL City 2020 menunjukkan rancangan untuk tapak insinerator Taman Beringin serta kemudahan pusat kitar semula di Taman Lindungan Melati dan Chan Show Lin

    Lampiran 3: Penjelasan tentang dokumen PPQ mengenai jumlah minimum sisa pepejal yang dijamin

    Lampiran 4: Pengesahan bahawa pemisahan sampah tidak akan dijalankan semasa pemungutan

     


    [1]  http://klcityplan2020.dbkl.gov.my/eis/?page_id=491

    [2] http://www.thestar.com.my/story.aspx/?file=%2f2011%2f3%2f1%2fnation%2f20110301150815&sec=nation

    [3] Ketua Pengarah boleh memberi arahan bertulis sebagaimana yang difikirkannya patut kepada mana-mana orang berkenaan dengan pengasingan, pengendalian dan penstoran apa-apa sisa pepejal terkawal dalam milikan orang itu bagi maksud memastikan pematuhan Akta ini.

Leave a reply.