• Suruhanjaya Keterangkuman Sosial boleh memainkan peranan dalam memantau dasar-dasar anti-kemiskinan serupa dengan peranan SUHAKAM yang memantau tindakan kerajaan dalam pelbagai bidang hak asasi manusia

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 10 April 2014

    Suruhanjaya Keterangkuman Sosial boleh memainkan peranan dalam memantau dasar-dasar anti-kemiskinan serupa dengan peranan SUHAKAM yang memantau tindakan kerajaan dalam pelbagai bidang hak asasi manusia

    Pada 27 Mac, dalam jawapan Parlimen beliau, Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU), Senator Abdul Wahid Omar, membalas cadangan saya tentang Akta Keteraangkuman Sosial / Social Inclusion Act (SIA) dengan berkata bahawa “Akta tersebut tidak diperlukan dan tidak akan dipertimbangkan.”[1] Ini sungguh mengecewakan memandangkan negara kita sedang menghadapi masalah kemiskinan yang serius.

    Walaupun tahap kemiskinan tegar di negara ini telah menurun dengan ketara semenjak 50 tahun yang lalu, hakikat bahawa 80% daripada 5.2 juta isi rumah layak untuk pusingan pertama pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menunjukkan bahawa kemiskinan relatif di negara ini masih perlu ditangani. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan, telah menyatakan bahawa 7.9 juta individu dan keluarga akan menerima BR1M 3.0 dan kerajaan akan menanggung perbelanjaan sebanyak RM4.5 bilion berbanding dengan RM3 bilion bagi BR1M 2.0 dan RM2.6 bilion bagi BR1M 1.0.[2]

    Akta Keterangkuman Sosial 2014 yang merupakan bil ahli swasta yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar dan disokong oleh saya, mencadangkan penubuhan satu Suruhanjaya Keterangkuman Sosial untuk memantau dasar-dasar anti-kemiskinan yang dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berbeza dan untuk memberi cadangan di mana diperlukan. Beberapa peranan Suruhanjaya ini hampir sama dengan peranan SUHAKAM dalam memantau rekod hak asasi manusia agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk aspek yang berbeza. Sebagai contoh, kedua-dua Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan aduan di mana ada diperlukan[3] dan kedua-dua Suruhanjaya juga mempunyai kuasa untuk menjalankan tinjauan dan penyelidikan untuk mengenalpasti masalah-masalah utama yang perlu ditangani.[4]

    Sebelum ini, SUHAKAM memantau pelbagai bidang hak asasi manusia termasuk mengkaji aduan tentang keganasan dan kezaliman polis, hak tanah orang asal, hak kanak-kanak, hak wanita dan meningkatkan kesedaran tentang hak asasi manusia di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Baru-baru ini, laporan tahunan SUHAKAM 2012 telah mengenalpasti kelemahan dalam pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah dan Kanun Keseksaan yang telah diluluskan pada tahun 2013. Usaha SUHAKAM telah menekan kerajaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab atas tindakannya termasuk menerbitkan respons kepada Laporan Tahunan SUHAKAM 2012.

    Suruhanjaya Keterangkuman Sosial boleh memainkan peranan yang serupa dengan SUHAKAM dalam mengetengahkan kelemahan yang sedia ada dalam langkah-langkah anti-kemiskinan yang dijalankan oleh kerajaan. Atas sebab ini, Akta Rangkuman Sosial 2014 seharusnya dibentangkan dan dibenarkan untuk dibahas oleh Ahli-Ahli Parlimen.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang


    [1] http://www.rakyattimes.com/index.php/news/333-government-rejects-the-social-inclusion-act

    [2] http://english.astroawani.com/news/show/br1m-3-0-over-70-of-new-eligible-recipients-did-not-register-ahmad-maslan-27815

    [3] Seksyen 20(1)(a) Akta Keterangkuman Sosial dan Seksyen 4(1)(d) Akta SUHAKAM

    [4] Seksyen 20(1)(b) Akta Keterangkuman Sosial dan Seksyen 4(2)a) Akta SUHAKAM

Leave a reply.