• Adalah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, James Dawos Mamit, tidak bercakap benar apabila beliau berkata bahawa pelepasan dioksin dari insinerator sisa berbahaya Bukit Nanas dipantau sekali setiap bulan?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 5 April 2014

    Adalah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, James Dawos Mamit, tidak bercakap benar apabila beliau berkata bahawa pelepasan dioksin dari insinerator sisa berbahaya Bukit Nanas dipantau sekali setiap bulan?

    Dalam jawapan beliau mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen penyokong kerajaan semasa perbahasan titah ucapan Yang DiPertuan Agung baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, James Dawos Mamit telah berkata bahawa pengukuran tahap lepasan dioksin dari insinerator sisa berbahaya di Bukit Nanas, Negeri Sembilan dilakukan sekali setiap bulan. Inilah jawapan beliau apabila saya bertanya kepadanya beberapa kerap tahap lepasan dioksin dari insinerator itu diukur. Sebelum itu, Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong, juga membangkitkan soalan sama ada insinerator sisa berbahaya di Bukit Nanas akan dipindahkan apabila kontrak pengendalian fasiliti tersebut yang telah diberi kepada Kualiti Alam tamat pada 28 Februari 2015.

    Saya terus memaklumkan Menteri bahawa menurut laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS), tahap dioksin di insinerator hanya diambil setahun sekali dan bukan sebulan sekali. Kemudian, Timbalan Menteri berkata bahawa jawapan beliau diberi berdasarkan sejarah pengendalian insinerator sisa berbahaya di Kuching.

    Saya terkejut apabila saya membaca Laporan Tahunan Kelestarian UEM-Enviro bagi tahun 2012 dan 2011 iaitu syarikat induk Kualiti Alam Sdn Bhd yang mengendalikan insinerator sisa berbahaya di Bukit Nanas, Negeri Sembilan. Muka surat 75 dalam laporan tahun 2012 melaporkan bahawa stesen pemantauan cerebong-cerebong – yang memantau komposisi lepasan dari insinerator – “mencatatkan beberapa bahan gas berbahaya termasuk dioksin dan furan. Gas-gas ini mungkin telah dihasilkan melalui pembakaran sisa berjadual.”[1]

    Namun, apabila saya meneliti keputusan pemantauan yang diterbitkan pada muka surat 82 laporan itu, TIADA SEBARANG PENGUKURAN dibekalkan untuk tahap dioksin dan furan. (Lampiran 1 di bawah) Saya mendapati masalah yang sama wujud dalam laporan 2011. Muka surat 50 laporan 2011 melaporkan bahawa lepasan dioksin dan furan diperhatikan tetapi tahap dioksin dan furan itu TIDAK DITERBITKAN.[2] (Lampiran 2 di bawah)

    Dalam erti kata lain, tahap dioksin dan furan yang dilepaskan insinerator sisa berbahaya terbesar di Semenanjung Malaysia bukan sahaja TIDAK diukur setiap bulan, malah tahap dioksin dan furan tidak pun diterbitkan SEKALI PUN dalam Laporan Kemampanan Alam Sekitar 2011 dan 2012 syarikat yang mengendalikan insinerator tersebut.

    Adakah ini bermakna bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS), yang berada di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, gagal sepenuhnya untuk menjalankan tugas penguatkuasaan yang merupakan tanggungjawabnya? Jika ya, dapatkah kita mempercayai bahawa JAS akan menguatkuasakan standard kualiti udara bagi loji ‘Sisa kepada Tenaga’ (WtE) yang bakal dibina di Taman Beringin, Kepong?

    Saya menyeru Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli untuk membekalkan maklumat yang berkaitan dengan pengukuran tahap lepasan dioksin dan furan dari insinerator sisa berbahaya di Bukit Nanas, Negeri Sembilan dari 2011 ke 2013 serta kekerapan pengukuran ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Keputusan Pemantauan Lepasan Cerobong dari Laporan Kemampanan Alam Sekitar 2012 UEM Enviro – Tiada sebarang pengukuran dioksin dan furan yang diterbitkan

    Lampiran 2: Keputusan Pemantauan Lepasan Cerobong dari Laporan Kemampanan Alam Sekitar 2011 UEM Enviro – Tiada sebarang pengukuran dioksin dan furan yang diterbitkan


    [1] http://www.kualitialam.com/wp-content/files_flutter/1372134827UEMEnvironmentSustainabilityReport2012_forwebsite1.pdf (Sisa berjadual merupakan istilah yang juga bermaksud sisa berbahaya)

    [2] http://www.kualitialam.com/wp-content/files_flutter/1343385728UEMEEnvironmentSustainabilityReport2011.pdf

Leave a reply.