• Sistem ‘Satu Orang, Satu Undi, Berdasarkan Kaum’ yang dicadangkan oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, akan memburukkan dan dan bukannya memperbaiki masalah etnik di Malaysia

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 1 April, 2014

    Sistem ‘Satu Orang, Satu Undi, Berdasarkan Kaum’ yang dicadangkan oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, akan memburukkan dan  dan bukannya memperbaiki masalah etnik di Malaysia

    Semalam, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, telah mencadangkan sistem pilihan raya berprinsip ‘satu orang, satu undi, berdasarkan bangsa’ di mana pengundi-pengundi akan mengundi wakil dari bangsa yang sama misalnya orang Melayu mengundi wakil Melayu, orang Cina mengundi wakil Cina dan orang India mengundi wakil India. Menteri mendakwa bahawa cadangan ini akan mengurangkan masalah perkauman di negara ini.

    Cadangan Menteri adalah lucu bukan hanya kerana ia adalah tidak demokratik, tidak mengikut perlembagaan dan menyokong ‘pilihan raya apartheid, tetapi kerana ia juga akan memburukkan dan bukannya memperbaiki hubungan kaum di negara ini. Jika wakil Melayu hanya diundi oleh pengundi Melayu, mereka tentunya akan hanya mewakili pandangan pengundi Melayu mereka. Begitu juga bagi wakil Cina yang diundi oleh pengundi Cina, wakil India yang diundi oleh pengundi India, wakil Iban yang diundi oleh pengundi Iban, wakil Kadazan yang diundi oleh pengundi Kadazan dan sebagainya. Ini bermakna bahawa tiada insentif pilihan raya untuk wakil-wakil mempertimbangkan pandangan pengundi yang bukan dari bangsa mereka sendiri. Ini tentu akan memburukkan polarisasi kaum dan bukannya mengurangkan masalah perkauman.

    Bandingkan keadaan tersebut dengan situasi sekarang di mana wakil-wakil rakyat dari kawasan etnik bercampur atau heterogen seperti kawasan Parlimen saya sendiri iaitu Serdang (49% Cina, 40% Melayu, 10% India, 1% Lain-lain) di mana saya perlu mendengar pandangan dan pendapat daripada pengundi-pengundi dari semua kaum. Malah, ramai wakil Pakatan Rakyat, terutamanya di kawasan bandar, yang lebih etnik heterogen atau bercampur, telah diundi oleh pengundi-pengundi dari semua kaum dan dengan itu perlu mengambil kira pelbagai pandangan politik terhadap pelbagai isu. Jika sistem pilihan raya berasaskan bangsa dan perwakilan dilaksanakan, wakil rakyat tidak perlu menghadiri perayaan agama dan budaya kaum-kaum lain kerana ini mereka bukan ‘pengundi sendiri’! Perlukah seseorang wakil Melayu melawat sebuah kuil Cina, kuil India atau gereja jika semua pengundi mereka adalah Melayu? Perlukah seseorang wakil Cina berbuka puasa dengan orang Melayu di surau dan masjid jika semua pengundi mereka adalah Cina?

    Saya menyeru Menteri, yang mendakwa mempunyai PhD, untuk mendedahkan kepada rakyat Malaysia apa jenis kajian yang telah beliau jalankan demi membuktikan bahawa sistem ‘apartheid pilihan raya’ ini akan mengurangkan masalah kaum di Malaysia. Saya juga menyeru Menteri untuk memaklumkan kepada semua rakyat Malaysia negara mana yang telah berjaya melaksanakan sistem ‘apartheid pilihan raya’ ini dan berjaya mengurangkan masalah perkauman.

    Jika Menteri gagal menampilkan bukti yang mencukupi untuk menunjukkan kebolehkerjaan cadangan beliau, ia akan mengesahkan bahawa beliau tidak layak menjadi Menteri yang bertanggungjawab bagi Suruhanjaya Pilihan Raya. Saya mengulangi gesaan saya agar beliau meletakkan jawatan dengan segera dan jika beliau tidak berbuat demikian, untuk Perdana Menteri sendiri meminta beliau meletakkan jawatan.

    Cadangan Menteri juga disokong oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Muktar, semasa perbahasan parlimen pagi ini. Memandangkan cadangan ini disokong secara terus-terang oleh dua Ahli Parlimen UMNO, saya menyeru Perdana Menteri untuk menjelaskan sama ada cadangan ini turut disokong sepenuhnya oleh UMNO. Saya menyeru pemimpin-pemimpin parti bukan UMNO yang lain di dalam BN untuk juga menjelaskan sama ada mereka menyokong cadangan Menteri.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.